Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelantikan Presiden Joseph Aoun bawa harapan baru di Lebanon?

Feb 3, 2025 | 5:30 AM
Presiden Lebanon, Joseph Aoun (kanan), menerima kunjungan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan al-Saud, di Istana Presiden di Baabda pada 23 Januari 2025. Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi pertama seorang diplomat kanan Arab Saudi ke Beirut dalam tempoh 15 tahun.
Presiden Lebanon, Joseph Aoun (kanan), menerima kunjungan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan al-Saud, di Istana Presiden di Baabda pada 23 Januari 2025. Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi pertama seorang diplomat kanan Arab Saudi ke Beirut dalam tempoh 15 tahun. - Foto EPA-EFE

BEIRUT: Setelah dua tahun kekosongan jawatan, Parlimen Lebanon akhirnya melantik Encik Joseph Aoun sebagai Presiden, mencetuskan harapan baru untuk membangunkan semula negara yang dilanda peperangan.

Encik Aoun dipilih oleh parlimen Lebanon pada 10 Januari menamatkan lebih dua tahun kekosongan politik sejak Presiden Michel Aoun meninggalkan jawatannya pada Oktober 2022.

Pelantikan ini bukan sahaja membuka lembaran baru untuk negara itu tetapi turut mendedahkan perubahan dalam keseimbangan kuasa dalaman politiknya.

“Saya mengajak semua pihak membincangkan dasar pertahanan menyeluruh yang membolehkan negara mengakhiri pendudukan Israel dan menangkis serangan,” kata Encik Aoun dalam ucapan perasmiannya di parlimen.

Beliau turut berjanji membina semula kawasan yang musnah akibat serangan Israel, termasuk selatan Lebanon, wilayah Bekaa, pinggir selatan Beirut dan kawasan lain yang terjejas di seluruh negara.

Hezbollah dan Pergerakan Amal, sering dirujuk sebagai “duo Shia” atau dua sekutu Syiah sebelum ini lantang menentang pencalonan Encik Aoun. Namun, mereka akhirnya menyokong Encik Aoun, yang menandakan satu perubahan dalam pendekatan politik mereka.

Menurut pakar Timur Tengah, Profesor Imad Salamey dari Universiti Amerika Lebanon:

“Perubahan serantau, ketidakpuasan domestik yang semakin meningkat, dan keperluan untuk legitimasi antarabangsa telah mengehadkan pengaruh mereka, memaksa mereka untuk berkompromi daripada berkonfrontasi.”

Keputusan ini turut dipengaruhi kelemahan ketenteraan Hezbollah selepas perang selama 13 bulan dengan Israel serta kejatuhan rejim Assad di Syria, yang melemahkan Paksi Penentangan yang disokong Iran.

Profesor Salamey menjelaskan:

“Keinginan ‘duo Shia’ untuk berkompromi menunjukkan kemampuan mereka yang semakin berkurang untuk mempengaruhi syarat secara sepihak.”

Encik Aoun mendapat sokongan kuat daripada kuasa asing, termasuk Amerika Syarikat, Arab Saudi, dan Perancis. Diplomasinya mencerminkan usaha antarabangsa untuk menstabilkan Lebanon.

Encik Michael Young, editor Diwan Carnegie Middle East, menyatakan bahawa tekanan daripada negara-negara Arab memaksa Hezbollah dan Amal menerima pencalonan Encik Aoun.

“Negara-negara Arab sedar bahawa hanya mereka yang dapat membina semula kawasan majoriti Syiah yang musnah, bukan Iran,” kata Encik Young.

Kerugian akibat perang dengan Israel dianggarkan mencecah AS$20 bilion ($27.1 bilion) terutama di kawasan Beirut selatan, Bekaa dan wilayah selatan Lebanon.

Selain itu, Profesor Salamey menegaskan bahawa Encik Aoun dianggap sebagai tokoh yang boleh mengembalikan kepercayaan terhadap institusi Lebanon. “Pemilihan beliau merupakan langkah ke arah pelaksanaan Resolusi 1701 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” tambahnya, merujuk kepada perjanjian gencatan senjata antara Hezbollah dan Israel.

Pelantikan Encik Aoun memberi sinar harapan kepada negara yang sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang berlarutan.

Sejak 2019, lebih separuh daripada populasi Lebanon hidup dalam kemiskinan akibat amalan rasuah dan kelembapan reformasi.

Menurut Encik Young: “Kelas politik di Lebanon korup dan hanya mementingkan kepentingan mereka sendiri.”

Komuniti antarabangsa telah menangguhkan bantuan kepada Lebanon selama bertahun-tahun kerana reformasi struktur yang diperlukan tidak pernah dilaksanakan.

Namun, dengan tekanan kewangan yang semakin meningkat, ada ruang untuk menggerakkan perubahan ekonomi.

“Aoun tidak mempunyai kuasa eksekutif langsung ke atas reformasi, tetapi kepimpinannya boleh mengembalikan kepercayaan terhadap institusi negara dan menarik bantuan asing,” kata Profesor Salamey.

Emcik Joseph Aoun, sebagai bekas Komander Angkatan Tentera Lebanon, dianggap sebagai tokoh penyatuan. Profesor Salamey menyatakan bahawa Angkatan Tentera Lebanon (LAF) adalah salah satu institusi yang masih berfungsi dengan baik sejak kejatuhan negara pada 2019.

“Aoun menikmati kredibiliti nasional, tidak seperti komander tentera sebelumnya, kerana beliau berjaya mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap LAF,” tambah Encik Young.

Seperti yang dikatakan oleh Profesor Salamey:

“Kepimpinan Aoun mampu membuka jalan untuk reformasi dan menarik bantuan asing, yang penting untuk membina semula negara.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg