Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelari maraton ikonik dikatakan berusia lebih 100 tahun maut dirempuh kenderaan

Jul 15, 2025 | 4:40 PM
Pelari maraton pemecah rekod, Fauja Singh (kanan), yang berusia 101 tahun, bersalaman dengan para peminat sebelum memulakan larian 10km di Standard Chartered Marathon Singapura pada 2 Disember 2012. Beliau mengambil masa satu jam setengah untuk menamatkan laluan tersebut.
Pelari maraton pemecah rekod, Fauja Singh (kanan), yang berusia 101 tahun, bersalaman dengan para peminat sebelum memulakan larian 10km di Standard Chartered Marathon Singapura pada 2 Disember 2012. Beliau mengambil masa satu jam setengah untuk menamatkan laluan tersebut. - Foto The New Paper

LONDON: Dunia sukan pada 13 Julai meratapi pemergian Fauja Singh, tokoh legenda larian maraton yang dikenali kerana pencapaiannya yang luar biasa pada usia lanjut. Beliau dilaporkan meninggal dunia pada usia yang dikatakan mencecah 113 tahun selepas dilanggar sebuah kenderaan ketika berjalan di kampung halamannya di Beas Pind, Punjab, India.

Fauja, yang kembali ke India semasa pandemik, menghembuskan nafas terakhir di hospital, menurut bekas jurulatihnya, Harmander Singh.

Fauja Singh mula menarik perhatian dunia pada tahun 2011 apabila beliau mencatatkan pencapaian luar biasa dalam dunia sukan veteran. Dalam tempoh empat hari, beliau memecahkan lapan rekod dunia bagi kategori usia 95 tahun ke atas dalam kejohanan di Toronto, Canada. Beliau menyertai acara dari jarak 100 meter hingga 5,000 meter.

“Beliau berehat antara acara hanya dengan duduk dan minum teh,” kata Doug Smith, pengerusi bersama Ontario Masters Athletics. “Apa yang lebih mengagumkan, beliau betul-betul berlari — kedua-dua kakinya terangkat dari tanah. Ia luar biasa.”

Hanya tiga hari kemudian, Fauja menjadi individu yang dikatakan berusia 100 tahun pertama yang berjaya menamatkan maraton sejauh 42.2 kilometer di Toronto Waterfront Marathon dalam masa 8 jam 25 minit. Walaupun masa larian sebenar ialah 8:11:05, beliau mengambil 14 minit untuk sampai ke garisan mula kerana kesesakan peserta.

Namun, rekod itu tidak disahkan kerana ketiadaan sijil kelahiran dan bantuan yang diterimanya di garisan penamat. Walaupun begitu, semangat dan keazaman Fauja tidak pernah diragui oleh ramai pihak.

“Bagi saya, dia sah,” kata Doug Smith. “Tetapi kami tidak boleh sahkan rekod dunia tanpa sijil kelahiran. Ia akan buka ruang kepada kekeliruan.”

Dilahirkan pada 1 April 1911 (mengikut catatannya sendiri), Fauja membesar dalam sebuah keluarga petani. Beliau tidak mula berjalan sehingga umur lima tahun dan digelar “Stick” kerana kakinya yang kurus dan lemah. Tidak pernah bersekolah, Fauja bekerja di ladang dan berkahwin serta mempunyai enam orang anak.

Kehidupannya diselubungi tragedi apabila isterinya meninggal dunia pada 1992, diikuti kematian anak perempuan ketika bersalin dan anak lelaki yang maut dalam ribut pada 1994.
Tragedi tersebut membawa beliau ke dunia larian.

Pada usia sekitar 80-an, beliau mula berlari dan menyertai maraton pertamanya di London pada tahun 2000, mencatatkan masa 6 jam 54 minit. Beliau kemudiannya menyertai maraton di New York dan Toronto, serta menjadi wajah dalam kempen iklan Adidas. Gelaran “Turbaned Tornado” disematkan kepadanya oleh media.

“20 batu pertama tidaklah sukar,” katanya kepada wartawan. “Untuk enam batu terakhir, saya berlari sambil berbicara dengan Tuhan.”

Fauja dikagumi bukan sahaja kerana ketahanannya, tetapi juga gaya hidupnya yang sihat — mengamalkan diet vegetarian dan menjauhi rokok serta alkohol. Beliau meneruskan berjalan sehingga 10 batu setiap hari di East London sehingga tahun-tahun akhir hidupnya. Perlumbaan terakhirnya ialah acara 10km di Hong Kong pada 2012.

“Larian memberi beliau sebab untuk hidup. Ia beri arah baharu selepas semua kehilangan,” kata Harmander Singh.

Pada tahun 2020, kisah hidup beliau diangkat dalam buku kanak-kanak berjudul Fauja Singh Keeps Going, hasil tulisan Simran Jeet Singh. Buku tersebut dianggap buku bergambar kanak-kanak pertama daripada penerbit utama yang menampilkan kisah seorang Sikh.

“Saya kini berumur 108 tahun. Itu bermakna saya mungkin lebih 100 tahun lebih tua daripada kamu,” tulis Fauja dalam kata pengantar buku itu. “Boleh kamu percaya?”

Walaupun usia sebenarnya kekal misteri, impak Fauja Singh terhadap dunia sukan veteran dan inspirasi hidup sihat di usia emas tetap tidak dapat dinafikan. Sebagai penghormatan, Ratu Elizabeth II pernah menghantar telegram kepadanya sempena ulang tahun ke-100 dan ke-105.

“Mungkin kita tak tahu usianya yang sebenar,” kata Harmander. “Tapi kalau kerajaan British beri dia pencen, itu dah cukup baik bagi saya.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg