CILVEGOZU (Turkey): Rakyat Syria beratur di sempadan Turkey pada 11 Disember untuk pulang ke rumah masing-masing selepas pemberontak menggulingkan Presiden Bashar al-Assad.
Bagi kumpulan pelarian itu, ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’ memandangkan kehidupan yang kembali menjanjikan di tanah air sendiri.
“Kami tidak mempunyai sesiapa di sini. Kami mahu pulang ke Latakia untuk bersatu semula dengan keluarga kami,” kata Encik Mustafa ketika beliau bersiap untuk memasuki Syria bersama isteri dan tiga anak lelakinya di pintu sempadan Cilvegozu di selatan Turkey.
Berpuluh-puluh lagi rakyat Syria yang senasib dengannya sedang menunggu untuk menyeberang.
Encik Mustafa melarikan diri dari Syria pada 2012, setahun selepas konflik di sana bermula, kerana mengelak daripada kewajiban menyertai tentera di bawah rejim Encik Assad.
Selama bertahun-tahun beliau bekerja dengan pendapatan kurang daripada gaji minimum di Turkey, katanya.
“Sekarang kami boleh kembali ke Syria dan insya-Allah, kami akan mempunyai kehidupan yang lebih baik di negara sendiri,” tambahnya sambil menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan baru di Syria.
Perang saudara yang berpunca daripada pemberontakan 2011 terhadap rejim Encik Assad telah mengorbankan ratusan ribu orang manakala jutaan lagi melarikan diri ke luar negara.
Turkey, yang menempatkan 3 juta rakyat Syria, telah melanjutkan waktu pembukaan pintu sempadan Cilvegozu berhampiran bandar Aleppo yang dirampas pemberontak pada akhir November.
Pintu sempadan kedua dibuka di Yayladagi berdekatan Hatay pada 10 Disember.
Ankara menaksirkan antara 350 dengan 400 rakyat Syria menyeberangi sempadan setiap hari sebelum pemberontakan meletus pada 2024.
Jumlah itu meningkat hampir seganda apabila pemberontakan berlaku pada lewat November dan Ankara menjangkakan angkanya terus melonjak selepas tumbangnya rejim Encik Assad.
Turkey telah bertahun-tahun menyokong tentera pembangkang Syria tetapi menafikan terlibat dalam serangan pemberontak yang menamatkan perang saudara selama 13 tahun.
Sekitar 100 trak sedang menunggu untuk menyeberangi sempadan, membawa barangan termasuk berpuluh-puluh kereta terpakai.
Pasukan keselamatan Turkey membantu menguruskan aliran manusia, manakala kumpulan bantuan menawarkan makanan ringan kepada kanak-kanak serta teh dan sup kepada orang dewasa. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg