DAMSYIK: Kejatuhan rejim Presiden Bashar al-Assad telah mencetuskan harapan baru dalam kalangan keluarga mangsa yang hilang selama bertahun-tahun di Syria.
Selama lebih sedekad, puluhan ribu rakyat Syria dilaporkan hilang tanpa sebarang penjelasan, dipercayai diculik, dipenjarakan, dan diseksa dalam rangkaian penjara besar Encik Assad.
Kini, dengan pembebasan tahanan dari pelbagai penjara di seluruh negara, ribuan rakyat Syria bergegas ke Penjara Sednaya, salah satu penjara paling terkenal dan menakutkan di Syria, untuk mencari ahli keluarga yang hilang atau sekurang-kurangnya mengetahui nasib mereka.
“Kami hanya mahu tahu apa yang berlaku kepada mereka. Adakah mereka masih hidup atau sudah tiada?” kata Cik Aisha, seorang wanita yang mencari abangnya yang hilang sejak 2012.
Penjara Sednaya, terletak di puncak bukit di pinggir Damsyik, dikelilingi pagar berduri dan ladang yang dipenuhi periuk api.
Dalam beberapa hari terakhir, ratusan tahanan dilaporkan keluar dari penjara itu setelah pemberontak menyerbu kompleks tersebut.
Namun, bagi ramai yang tiba di sana, kekecewaan menyelubungi apabila mereka gagal menemui orang yang mereka cari.
Khabar angin tentang kewujudan sel rahsia tiga tingkat di bawah tanah mula tersebar, mendorong usaha untuk menyelamatkan sesiapa sahaja yang masih dipenjara.
Selama dua hari, pemberontak dan pasukan penyelamat menggunakan jentolak dan peralatan berat untuk memecahkan lantai konkrit dengan harapan untuk membebaskan lebih ramai tahanan.
Pada 10 Disember, ratusan rakyat Syria berhimpun di bilik mayat sebuah hospital di Damsyik, tempat 38 mayat dari Penjara Sednaya telah dibawa.
Sebahagian daripada mereka membawa gambar saudara-mara yang hilang dengan harapan ada yang mengenali wajah mereka.
Ada yang dalam keadaan terdesak, memecahkan pintu peti sejuk mayat terbuka, menarik keluar laci besar, dan membuka kain yang menutup tubuh mayat.
“Kami hanya mahu jawapan, walaupun jawapan itu pahit,” kata seorang lelaki yang mencari abangnya.
Keadaan mayat yang ditemui memberi bukti tersembunyi tentang kekejaman yang dialami tahanan di penjara tersebut.
Walaupun kejatuhan rejim Encik Assad membawa harapan baru kepada ramai rakyat Syria, ia juga mendedahkan ‘kesakitan’ yang mendalam selama bertahun-tahun.
Penjara seperti Sednaya menjadi simbol kekejaman rejim lama, tetapi juga harapan untuk keadilan bagi ribuan yang telah menderita.
Seorang wanita, Cik Fatimah, yang kehilangan suaminya berkata: “Saya tidak tahu jika saya akan menemui suami saya. Tetapi sekarang, sekurang-kurangnya, kami ada harapan untuk mencari jawapan.”
Pada 9 Disember, Kremlin mengesahkan Presiden Russia Vladimir Putin telah membuat keputusan untuk memberi suaka kepada Assad.
“Beliau telah dilindungi dengan selamat. Ini menunjukkan bahawa Russia bertindak seperti yang diperlukan dalam situasi luar biasa seperti ini,” kata Timbalan Menteri Luar Russia, Encik Sergei Ryabkov, dalam wawancara bersama NBC News.
Ketika ditanya sama ada Russia akan menyerahkan Encik Assad untuk diadili, Encik Ryabkov menjawab:
“Russia bukan pihak kepada konvensyen yang menubuhkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg