JAKARTA: Polis telah menamakan Aulia Rakhman, seorang pelawak yang berpangkalan di Lampung, sebagai suspek menghina agama, selepas dia didakwa membuat komen menghina Nabi Muhammad dalam satu persembahan pada acara kempen untuk calon presiden, Encik Anies Baswedan.
“Setelah menyoal tujuh saksi dan lima pakar, didapati pelawak berinisial AR itu disyaki melakukan kekufuran agama,” kata jurucakap Polis Lampung, Komander Kanan Umi Fadillah.
Beliau menambah, suspek telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Lampung untuk siasatan lanjut sejak 8 Disember.
Aulia mempersembahkan skit pada 7 Disember, sebelum acara utama – perbincangan umum antara Encik Anies dengan pelajar universiti.
Sketsanya dirakam dan dikongsi di media sosial, mencetuskan bantahan daripada penonton Islam.
“Mari kita periksa di penjara, berapa ramai orang yang bernama Muhammad di sana?
“Nampaknya nama Muhammad telah menjadi penting sekarang – semua orang (dengan nama itu) berada dalam penjara,” kata Aulia dalam skit yang dirakamkan, seperti dipetik detiknews.
Kumpulan advokasi Lingkar Nusantara (Lisan) Lampung melaporkan kejadian itu kepada polis.
Sebelum disoal siasat Polis Lampung, Aulia memuat naik video permohonan maaf di akaun media sosial miliknya.
Katanya, dia tidak berniat menghina Nabi Muhammad, menyatakan kekesalan dan memohon maaf kepada semua umat Islam yang terhina dengan kata-katanya.
Memberi reaksinya, Encik Billy David, jurucakap pasukan kempen Anies-Muhaimin (Amin), berkata pasukannya akan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Kami menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan hasil daripada laporan yang dibuat oleh kumpulan Lisan terhadap Aulia.
“Ini adalah amaran kepada Pasukan Kebangsaan Amin untuk lebih selektif dalam menyusun bahan sebelum sesuatu acara,” kata Encik Billy, seperti dilaporkan detiknews. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg