Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelawat lebihi tempoh visa diberi 30 hari tinggalkan Saudi

Jul 29, 2025 | 1:35 PM
Pihak berkuasa Arab Saudi memberi tempoh 30 hari bagi pelawat yang melebihi tempoh visa mereka, meninggalkan negara itu untuk mengelak daripada dikenakan hukuman.
Pihak berkuasa Arab Saudi memberi tempoh 30 hari bagi pelawat yang melebihi tempoh visa mereka, meninggalkan negara itu untuk mengelak daripada dikenakan hukuman. - Foto AFP

RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi telah mengumumkan inisiatif bagi membolehkan pelawat yang melebihi tempoh visa yang ditetapkan, meninggalkan negara itu dalam masa 30 hari.

Direktorat Am Pasport (Jawazat) dalam satu kenyataan mengisytiharkan bahawa semua pelawat di Arab Saudi, yang tinggal di luar tempoh sah visa mereka, akan diberi tempoh 30 hari untuk meninggalkan negara itu.

Semua kategori visa pelawat dilindungi di bawah tempoh penangguhan selama 30 hari itu.

Ini termasuk pemegang visa lawatan keluarga, visa lawatan perniagaan, visa lawatan tunggal atau berbilang kemasukan ke negara itu.

Tempoh penangguhan itu berkuatkuasa mulai 26 Julai 2025 dan sah untuk tempoh 30 hari sahaja.

Namun, langkah melanjutkan visa pelawat itu disertakan dengan syarat seperti pemegang perlu melunaskan denda dan yuran tertunggak selaras dengan peraturan Arab Saudi, lapor agensi berita Gulf News.

Dalam satu kenyataan, Direktorat Am Pasport menyatakan individu yang layak boleh meminta pelepasan melalui perkhidmatan “Tawasul” di platform digital “Absher” Kementerian Dalam Negeri Saudi.

Pelawat di Arab Saudi telah digesa memanfaatkan tawaran tersebut dengan segera mengatur pelepasan mereka dalam jangka masa yang ditetapkan dan sekali gus mengelakkan daripada dikenakan penalti selanjutnya, lapor agensi itu, memetik pegawai sebagai menyatakan demikian.

Penangguhan visa pelawat adalah sebahagian daripada usaha Arab Saudi yang lebih luas untuk mengawal selia pemastautin dan memastikan proses berlepas yang lebih lancar bagi pelawat yang tinggal melebihi tempoh sah visa mereka atas sebab-sebab tertentu.

Inisiatif itu, yang pertama kali diperkenalkan pada Jun, bertujuan menyelaraskan prosedur keluar dan menggalakkan pematuhan terhadap peraturan imigresen.

Di bawah dasar itu, yang berkuat kuasa pada 26 Jun, mereka yang tinggal lebih masa diberi tempoh 30 hari untuk menyelesaikan denda dan yuran pentadbiran sebelum meninggalkan negara itu, tanpa mengira jenis atau klasifikasi visa mereka.

Pihak berkuasa Arab Saudi menyatakan perbuatan tinggal melebihi tempoh visa adalah satu kesalahan serius di bawah undang-undang pemastautin dan perjalanan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg