RIYADH: Arab Saudi menyambung semula pengeluaran visa Umrah bermula Selasa, 10 Jun, sekali gus membuka laluan untuk ketibaan jemaah antarabangsa ke kota suci Makkah dan Madinah, hanya beberapa hari selepas berakhirnya musim Haji yang disifatkan antara paling selamat dan tersusun dalam sejarah terkini.
Kementerian Haji dan Umrah mengesahkan bahawa musim Umrah baru akan bermula, dan kumpulan pertama jemaah luar negara dijangka tiba pada Rabu, 11 Jun.
Menurut kalendar rasmi kementerian itu, pengeluaran visa akan bermula pada 10 Jun bersamaan 14 Zulhijjah 1446H.
Langkah ini diumumkan selepas kejayaan musim Haji yang menyaksikan kehadiran lebih 1.6 juta jemaah dari seluruh dunia.
Seperti kelaziman, pengeluaran visa Umrah dihentikan beberapa minggu sebelum Haji untuk memastikan kelancaran ibadah tahunan itu.
Pada Isnin, 9 Jun ribuan jemaah mula meninggalkan Makkah selepas menyelesaikan ibadah Haji, sebahagiannya menuju ke Madinah sambil membawa kenangan yang bermakna.
Pihak berkuasa Haji di Madinah telah memulakan pelaksanaan pelan operasi musim kedua, dengan menjangkakan ketibaan ribuan jemaah dalam masa terdekat.
“Pasukan Khas Keselamatan Haji dan Umrah di Madinah telah bersedia sepenuhnya menerima ketibaan jemaah dari Makkah.
“Perancangan kami memberi tumpuan kepada kelancaran pergerakan jemaah, kemasukan dan keluar dari Madinah serta pengurusan trafik bagi mengurangkan kesesakan,” kata jurucakap pasukan kepada Agensi Berita Saudi (SPA).
Kehadiran keselamatan ditingkatkan di laluan utama, bantuan dan panduan turut disediakan, serta pasukan kecemasan ditempatkan dalam keadaan siap siaga.
Badan-badan kerajaan dan sukarelawan juga meningkatkan kesiapsiagaan di pusat penerimaan jemaah, pintu masuk, dan tapak-tapak bersejarah.
Usaha pengangkutan, bimbingan, layanan tetamu dan penjagaan kesihatan diselaraskan secara bersepadu 24 jam.
“Usaha ini mencerminkan komitmen kepimpinan Arab Saudi untuk memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah dalam perjalanan antara Makkah dengan Madinah,” tambah kenyataan SPA.
Sementara itu, seramai 2,443 jemaah dari lebih 100 negara yang mengikuti Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci juga kini berada di Madinah.
Sepanjang tempoh di sana, mereka akan menunaikan solat di Masjid Nabawi, menziarahi Masjid Quba, dan meneroka lokasi bersejarah utama.
“Kami bersyukur atas perkhidmatan luar biasa yang diberikan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan. Perjalanan kami antara Makkah dengan Madinah sangat lancar,” kata seorang ahli jemaah dari Afrika Utara.
Sebelum tiba di Madinah, jemaah ini menyempurnakan semua rukun Haji termasuk wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, melontar jamrah di Mina, serta tawaf wada di Masjidil Haram.
Sebagai sebahagian daripada pelan penutupan Haji, program pemindahan jemaah dari penginapan ke lapangan terbang Madinah diselaraskan oleh Jawatankuasa Haji dan Ziarah bersama agensi berkaitan bagi memastikan pelepasan penerbangan tepat pada masanya.
Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz di Madinah mencatatkan kejayaan fasa ketibaan sebelum Haji, dengan menerima 719,400 jemaah – 49 peratus daripada jumlah keseluruhan jemaah melalui udara musim ini.
Jabatan Imigresen turut mengesahkan kesiapsiagaan di semua pintu masuk darat, laut dan udara, dengan sokongan sistem keselamatan moden serta kakitangan terlatih.
Menteri Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik, Encik Saleh Al-Jasser, turut membuat lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah untuk meninjau proses keberangkatan jemaah.
“Kami komited untuk memastikan pengalaman perjalanan yang lancar, selamat dan setaraf piawaian antarabangsa,” katanya dalam kenyataan rasmi. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg