TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata Israel akan mengenakan “harga yang tinggi” terhadap Houthi, kumpulan yang sealiran dengan Iran, selepas ia melancarkan peluru berpandu yang mencapai tengah Israel buat kali pertama pada 15 September.
Houthi, yang menguasai utara Yaman, melancarkan serangan itu menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik baru, menurut jurucakap tenteranya, Encik Yahya Sarea.
Peluru berpandu tersebut dilaporkan menempuh jarak 2,040 kilometer dalam hanya 11 setengah minit.
Peluru berpandu itu dikesan dan dipintas oleh sistem pertahanan Israel, menyebabkan ia musnah di udara dan serpihannya jatuh di beberapa kawasan, termasuk ladang dan berhampiran stesen kereta api.
Tiada kematian dilaporkan, namun sembilan orang cedera ringan ketika cuba mencari perlindungan.
Bunyi dentuman kuat kedengaran di sekitar Tel Aviv dan kawasan tengah Israel pada 6.35 pagi waktu tempatan.
Agensi berita imelaporkan terdapat kepulan asap di kawasan lapang di tengah Israel.
Dalam satu mesyuarat Kabinet mingguan, Encik Netanyahu berkata Houthi sepatutnya memahami bahawa Israel tidak akan berdiam diri terhadap serangan tersebut.
Beliau turut merujuk kepada serangan balas Israel di pelabuhan Hodeidah, Yaman, pada Julai, selepas serangan dron Houthi yang menyasarkan Tel Aviv.
Encik Netanyahu berkata: “Sesiapa yang perlukan peringatan, sila lawat pelabuhan Hodeidah.”
Sejak perang di Gaza bermula pada Oktober 2023, Houthi berulang kali melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin.
Pada Julai, dron Houthi mengena Tel Aviv, mengakibatkan seorang lelaki terbunuh dan empat cedera.
Serangan balas Israel terhadap sasaran tentera Houthi di kawasan berhampiran pelabuhan Hodeidah menyebabkan enam orang terkorban dan 80 cedera.
Sejak serangan pertama Houthi menembusi ruang udara Israel pada Mac, peluru berpandu mereka tidak pernah mencapai jauh ke dalam Israel.
Namun, Encik Yahya memberi amaran lebih banyak serangan akan dilancarkan ke atas Israel, terutama menjelang ulang tahun pertama operasi Hamas pada 7 Oktober.
Beliau menambah, serangan tersebut adalah tindak balas menyusuli serangan Israel di bandar Hodeidah.
Dalam satu kenyataan lain, Timbalan Ketua Pejabat Media Houthi, Encik Nasruddin Amer, berkata peluru berpandu mereka mencapai Israel selepas 20 peluru berpandu pencegah gagal menghalangnya.
Encik Amer menyifatkan serangan itu sebagai “permulaan” kepada lebih banyak serangan yang akan datang. – Agensi berita.
Serangan itu juga berlaku dalam konteks ketegangan yang semakin meningkat di kawasan sempadan utara Israel, tempat kumpulan Hezbollah di Lebanon memberi amaran kepada Israel bahawa sebarang peperangan akan membawa kerugian besar kepada kedua-dua pihak.
Hezbollah menyatakan mereka tidak mahu berperang, tetapi bersedia membalas jika Israel melancarkan serangan.
Israel kini berdepan dengan cabaran dari pelbagai arah, termasuk di Gaza dan di sempadan utara, manakala serangan dari Houthi menambahkan lagi tekanan kepada keadaan yang semakin genting. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg