PETALING JAYA: Pemanasan air laut bukan sahaja mengurangkan stok ikan di lautan, malah mengakibatkan saiz ikan yang lebih kecil dan melupuskan spesies tertentu, satu kajian tempatan mendedahkan.
Banjir dan kemarau yang melanda juga secara langsung atau tidak langsung menjejas hasil tangkapan nelayan, kata pakar.
Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar, berkata apabila suhu permukaan laut meningkat, kekuatan ribut tropika akan meningkatkan kekerapan ribut di tengah laut.
“Ini secara langsung memberi kesan kepada risiko nelayan turun ke laut untuk menangkap ikan. Ini adalah fenomena global, kerana kajian terbaru menunjukkan bahawa perubahan iklim mempengaruhi stok ikan, memberi kesan buruk terhadap terumbu karang, menyebabkan pelunturan karang serta mengubah komposisi dan kepelbagaian spesies.
“Dalam konteks ini, adalah penting untuk memahami kesan peristiwa ekstrem seperti peningkatan suhu, kenaikan paras laut, banjir, kemarau dan taufan untuk meramal dan memahami dinamik stok ikan dan implikasinya terhadap sistem pengeluaran makanan pada masa depan.
“Kesan kejadian ini di lautan dan pesisiran pantai tampak sudah menjejas stok ikan,” katanya kepada The Star.
Pemerhatian tersebut adalah berdasarkan hasil kajian makmal terhadap perubahan iklim yang dijalankan oleh Institut Bioteknologi Marin UMT.
Prof Mazlan berkata kesan perubahan iklim adalah lebih besar di kawasan tropika Asia yang menyaksikan suhu lebih tinggi menyumbang kepada pengurangan stok ikan.
Memetik contoh, beliau berkata ikan siakap liar semakin berkurang dan ikan-ikan yang dijual di pasaran domestik ketika ini merupakan ikan ternakan.
“Kajian kami mendapati saiz badan ikan kini lebih kecil berbanding 20 tahun lalu akibat aktiviti menangkap ikan secara berlebihan dan kesan perubahan iklim.
“Pemancingan berlebihan menyebabkan ikan kecil ditangkap sebelum ia membesar dan pemanasan laut menjejaskan telur dan pembiakan ikan,” katanya sambil menambah saiz pelbagai jenis ikan telah mengecil kira-kira 10 peratus.
Pensyarah kanan teknologi peralatan menangkap ikan dan ekologi perikanan UMT, Encik Mohd Fazrul Hisham Abd Aziz, berkata perubahan iklim dan aktiviti penangkapan ikan yang tidak terkawal telah menyebabkan penurunan hasil tangkapan ikan di Terengganu.
“Kenaikan suhu secara mendadak boleh menyebabkan kehilangan habitat dan spesies marin.
“Peralihan arus laut dan perairan yang semakin panas mengubah taburan stok ikan dan mengubah struktur ekosistem,” tambahnya.
Beliau berkata perubahan iklim juga mungkin menghalang anak-anak ikan daripada mendapatkan bekalan makanan awal yang paling penting – plankton dan zooplankton.
Beliau mengesahkan saiz ikan semakin mengecil berbanding saiz purata pelbagai jenis ikan.
“Pembiakan ikan bergantung kepada makanan, habitat, faktor ekologi dan faktor persekitaran seperti kualiti air dan perubahan suhu laut,” kata beliau lagi.
Menurutnya, perubahan suhu yang disebabkan oleh perubahan iklim mungkin mengubah kualiti makanan dan pengedaran ikan.
Beliau berkata nelayan pantai di Terengganu mendapati hasil tangkapan mereka semakin berkurangan sejak 2022 akibat perubahan iklim yang berlaku.
“Dulu, nelayan mampu menangkap 100 kilogram hanya dalam satu perjalanan, tetapi kini mereka hanya mendapat antara dua dengan empat kilogram saja,” tambahnya.
“
“Kajian kami mendapati saiz badan ikan kini lebih kecil berbanding 20 tahun lalu akibat aktiviti menangkap ikan secara berlebihan dan kesan perubahan iklim. Pemancingan berlebihan menyebabkan ikan kecil ditangkap sebelum ia membesar dan pemanasan laut menjejaskan telur dan pembiakan ikan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg