Topic followed successfully
Go to BHkuPemandu pendakian kongsi saat akhir sebelum letusan gunung korbankan pendaki
Pemandu pendakian kongsi saat akhir sebelum letusan gunung korbankan pendaki
Pemandu pendakian kongsi saat akhir sebelum letusan gunung korbankan pendaki
HALMAHERA UTARA: Seorang pemandu pendakian Indonesia yang membawa sekumpulan pendaki ke Gunung Dukono menceritakan detik cemas apabila mereka terperangkap dalam letusan gunung berapi itu pada 8 Meil lalu, yang mengorbankan tiga pendaki termasuk dua warga Singapura.
Encik Reza Selang berkata beliau terselamat daripada dihempap batu besar yang dimuntahkan dari kawah gunung berapi itu, namun batu tersebut menghempap dua pendaki lain yang berada betul-betul di sebelahnya.
“Tiada kata-kata yang mampu digambarkan. Sampai sekarang saya masih rasa hancur dan sukar percaya apa yang berlaku,” katanya kepada BBC menerusi panggilan telefon pada 11 Mei.
Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan dua warga Singapura dan seorang rakyat Indonesia maut dalam letusan tersebut, manakala pendaki lain berjaya dipindahkan dengan selamat dari gunung yang terletak di Pulau Halmahera, Maluku Utara, itu.
Kumpulan seramai 20 pendaki terdiri daripada warga Singapura dan Indonesia itu mendaki hingga ke puncak walaupun pihak berkuasa sebelum ini mengeluarkan amaran larangan pendakian. Gunung Dukono dilaporkan meletus lebih 200 kali sejak akhir Mac lalu.
Pihak berkuasa berkata permit pendakian ke gunung itu sudah dihentikan sejak 17 April dan orang ramai dilarang berada dalam radius empat kilometer dari kawah gunung berkenaan. Amaran turut dipasang melalui media sosial dan papan tanda di pintu masuk laluan pendakian.
Bagaimanapun, Encik Reza mendakwa beliau tidak mengetahui larangan tersebut ketika memulakan ekspedisi berkenaan.
Beliau berkata penduduk kampung tempatan yang sering membantunya membawa kumpulan pendaki ke Dukono juga tidak memaklumkan mengenai larangan itu.
Encik Reza, yang mengendalikan syarikat pelancongan di Maluku Utara, berkata beliau dihubungi pada 2025 oleh Encik Timothy Heng, seorang warga Singapura yang menganjurkan ekspedisi pengembaraan, untuk membawa kumpulan pendaki ke Gunung Dukono dan beberapa gunung lain di kawasan itu.
Menurutnya, ketika kumpulan itu mula mendaki pada petang 7 Mei, keadaan gunung kelihatan tenang.
“Tiada tanda aktiviti gunung berapi. Tiada letusan atau apa-apa. Semuanya normal,” katanya.
Keadaan juga masih tenang pada pagi 8 Mei ketika mereka tiba di puncak gunung.
Encik Reza berkata beliau menerbangkan dron untuk memeriksa keadaan kawah dan mendapati tiada asap atau tanda aktiviti berbahaya. “Saya beritahu mereka boleh naik ke kawah tetapi perlu turun semula selepas itu,” katanya.
Seramai 14 pendaki termasuk Encik Timothy naik menghampiri kawah manakala Encik Reza dan beberapa yang lain menunggu di bawah.
Pada jam 7.40 pagi waktu tempatan, Encik Reza berkata beliau sekali lagi menerbangkan dron untuk memantau kumpulan itu.
Namun seminit kemudian, Gunung Dukono tiba-tiba meletus.
“Dalam masa satu minit berlaku dua letusan. Letusan pertama hanya mengeluarkan asap. Selepas kira-kira 15 hingga 20 saat, letusan kedua berlaku dan menghamburkan material gunung berapi,” katanya.
Encik Reza berkata semua pendaki mula bertempiaran lari menuruni gunung.
Menerusi rakaman dron, beliau ternampak seorang pendaki warga Singapura, Allahyarham Shahin Muhrez Abdul Hamid, terbaring berhampiran kawah.
Beliau segera berlari naik untuk menyelamatkan Allahyarham Shahin, manakala Encik Timothy yang pada awalnya sudah mencari perlindungan turut berpatah balik untuk membantu.
“Kami menarik Shahin turun ketika batu-batu jatuh di kiri dan kanan kami,” katanya.
Tidak lama kemudian, sebongkah batu besar selebar kira-kira dua meter dimuntahkan dari kawah dan melantun ke arah mereka. “Timothy menoleh ke belakang dan dalam sekelip mata dia terus memeluk Shahin,” kata Encik Reza.
Batu besar itu kemudian menghempap Encik Timothy dan Allahyarham Shahin hingga meragut nyawa mereka di tempat kejadian.
Encik Reza berkata beliau tergamam selama kira-kira seminit sebelum akhirnya melarikan diri menuruni gunung.
Beliau kemudian menghubungi pihak berkuasa yang segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan dua warga Singapura serta seorang lagi pendaki Indonesia, Cik Angel Krishela Pradita, yang hilang.
Mayat Cik Angel ditemui berhampiran puncak pada 9 Mei, manakala mayat mendiang Timothy dan Allahyarham Shahin berjaya dibawa turun pada 10 Mei.
Dalam rakaman video yang diberikan kepada BBC oleh pegawai penyelamat, petugas dilihat menggali abu gunung berapi tebal di bawah batu besar bagi mengeluarkan serpihan tulang mangsa.
Pendaki yang terselamat dihantar ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan sebelum warga Singapura yang lain pulang ke negara mereka.
Sejak tragedi itu, pihak berkuasa menutup sepenuhnya semua laluan masuk ke Gunung Dukono dan memberi amaran bahawa sebarang pelanggaran larangan pendakian akan dikenakan tindakan. Pihak berkuasa turut menjalankan siasatan dan membayangkan kemungkinan berlaku kecuaian oleh pengendali pelancongan atau individu tertentu.
Encik Reza berkata beliau sudah disoal siasat polis dan menyerahkan rakaman dron sebagai bukti.
Dalam kenyataan rasmi, Polis Halmahera Utara menyatakan ekspedisi tersebut “disyaki melanggar peraturan”. Dua individu yang dikaitkan dengan syarikat pelancongan Reza kini disiasat sebagai saksi.
“Penyiasat masih meneliti peranan setiap individu dalam menganjurkan pendakian berbahaya ini,” menurut kenyataan polis.
Encik Reza berkata beliau bersedia menerima apa sahaja akibat undang-undang. “Apa sahaja akibat undang-undang, saya perlu terima sama ada saya bersedia atau tidak,” katanya.
Beliau turut mengakui berasa amat bersalah terhadap keluarga mangsa.
“Saya rasa sangat bersalah terhadap mangsa dan keluarga mereka. Saya rasa mahu pergi ke Singapura dan melutut di depan ibu bapa mangsa untuk memohon maaf,” katanya.
