Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemangku PM Thai bertindak bubar Parlimen

Langkah itu cetus kemungkinan Thailand adakan pilihan raya baru sebelum akhir 2025
Sep 3, 2025 | 3:09 PM
Phumtham Wechayachai, thailand, parlimen
Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, telah mengemukakan dekri pembubaran Parlimen selepas parti pembangkang terbesar negara itu menyokong calon saingan bagi jawatan perdana menteri. - Foto EPA-EFE

BANGKOK: Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, telah bertindak untuk membubarkan Parlimen negara itu selepas parti pembangkang terbesar menyokong calon saingan bagi jawatan perdana menteri, meningkatkan prospek menamatkan kebuntuan politik di negara tersebut.

Keputusan itu – yang berpotensi melanggar undang-undang – boleh menyaksikan Thailand mengadakan pilihan raya baru sebelum akhir 2025, hanya dua tahun selepas kali terakhir undian pilihan raya umum diadakan pada Mei 2023.

Kekosongan kuasa telah menjejas pejabat tertinggi Thailand sejak 29 Ogos, apabila Perdana Menteri, Cik Paetongtarn Shinawatra, digulingkan oleh Mahkamah Perlembagaan kerana pelanggaran etika.

Parti Pheu Thai pimpinannya – masih mentadbir dalam kapasiti sementara – telah merayu parti pembangkang terbesar, Parti Rakyat, untuk menyokong calon barunya menjadi perdana menteri.

Parti Rakyat sebaliknya mengisytiharkan sokongannya kepada taikun konservatif Encik Anutin Charnvirakul daripada Parti Bhumjaithai.

Sejurus kemudian, Setiausaha Agung Pheu Thai, Encik Sorawong Thienthong, berkata Encik Phumtham “telah mengemukakan dekri pembubaran Parlimen”.

Sama ada kerajaan sementara Thailand itu mempunyai kuasa membubarkan Parlimen adalah persoalan yang hangat diperkatakan.

Namun, mengikut Perlembagaan Thailand, jika Raja memperkenankan pembubaran Parlimen, pilihan raya mesti diadakan antara 45 dengan 60 hari kemudian.

“Kemungkinan pilihan raya akan berlaku dalam beberapa bulan akan datang,” kata Profesor Titipol Phakdeewanich, yang mengajar sains politik di Universiti Ubon Ratchathani.

“Pilihan raya mungkin penyelesaian terbaik buat negara kerana kini hampir mustahil untuk membentuk kerajaan biasa.”

Parti Rakyat juga berkata sokongannya terhadap Encik Anutin adalah bersyarat kepada pembubaran Parlimen dalam tempoh empat bulan, bermakna peningkatannya ke jawatan tersebut mungkin membawa kepada pilihan raya baru juga, walaupun pada skala masa lebih lama.

Encik Anutin memberitahu pemberita bahawa beliau mendapat sokongan 146 Anggota Parlimen (AP) daripada tujuh kumpulan dan parti dalam usahanya menjadi perdana menteri.

Beliau berkata beliau komited dengan syarat yang ditetapkan Parti Rakyat.

Keputusan Parti Rakyat untuk menyokong Encik Anutin daripada Parti Bhumjaithai ke atas calon parti Pheu Thai agak penting kerana ia menguasai hampir satu pertiga kerusi Dewan Rakyat.

Pemimpin Parti Rakyat, Encik Natthaphong Ruengpayawut, berkata parti itu memutuskan untuk menyokong Encik Anutin sebagai perdana menteri bagi menghalang kembalinya kerajaan campuran yang tidak lagi layak memerintah.

“Terdapat risiko bahawa pakatan lama akan kembali dan telah gagal mentadbir negara dalam tempoh dua tahun lalu, dan risiko kembalinya pelaku rampasan kuasa sebagai perdana menteri,” katanya, merujuk kepada Encik Prayut Chan-o-cha, jeneral yang merampas kuasa pada 2014 dan kekal layak menjadi perdana menteri, walaupun telah bersara.

Pheu Thai juga telah cuba mendapatkan sokongan Parti Rakyat bagi calon mereka sendiri untuk kembali ke pejabat perdana menteri.

Hanya calon yang dicalonkan sebagai bakal perdana menteri pada pilihan raya 2023 layak bagi jawatan tersebut, dan kekacauan kepimpinan sekarang telah menyaksikan bilangan pemimpin berpotensi menjadi perdana menteri berkurangan kepada hanya lima orang.

Parti Rakyat menggantikan parti Move Forward yang memenangi kerusi terbanyak pada pilihan raya 2023, selepas berkempen untuk mengurangkan pengaruh ketenteraan dan memperbaharui undang-undang lese majeste (berkaitan keluarga diraja) di Thailand.

Usaha melonggarkan undang-undang fitnah diraja menyebabkan parti Move Forward dibubarkan melalui perintah mahkamah, tetapi mana-mana pilihan raya baru boleh menyaksikan Parti Rakyat menghidupkan semula kempen itu. – AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg