Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penumpang kirim pesanan terakhir kepada keluarga sebelum pesawat terhempas

CEO Jeju Air mohon maaf kepada keluarga mangsa; menara kawalan lapangan terbang beri amaran ‘serangan’ burung beberapa minit sebelum pesawat terhempas
Dec 29, 2024 | 6:21 PM
Ahli keluarga penumpang pesawat Jeju Air 2216 tidak dapat menahan emosi semasa menanti berita di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, di Korea Selatan.
Ahli keluarga penumpang pesawat Jeju Air 2216 tidak dapat menahan emosi semasa menanti berita di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, di Korea Selatan. - Foto REUTERS

“Patutkah saya meninggalkan kata-kata terakhir saya?”

Demikian kata-kata terakhir salah seorang penumpang pesawat Jeju Air 2216 yang dikirimkan menerusi mesej pesanan ringkas kepada ahli keluarganya pada 9 pagi, sejurus sebelum pesawat itu terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan pada 29 Disember.

Sebelum kemalangan itu, penumpang tersebut telah berkata pesawat tersebut “tidak dapat mendarat kerana terdapat burung di atas sayap”.

Ahli keluarga penumpang itu, yang berkongsi pesanan itu dengan agensi berita Korea, News1, berkata penumpang tersebut masih tidak dapat dihubungi sejak itu.

Pesawat Jeju Air yang membawa 181 orang – 175 penumpang dan enam anak kapal dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand, ke Muan, Korea Selatan, terhempas semasa ia cuba mendarat, merempuh penghadang dan terbakar.

Dua kru dilaporkan dapat diselamatkan, tetapi yang lain disahkan terkorban, menurut agensi berita Korea, Yonhap. Dua kru yang terselamat itu kini dirawat di hospital dengan kecederaan sederhana hingga parah, kata ketua pusat kesihatan awam tempatan.

Antara mereka yang maut dalam pesawat itu termasuk dua wanita Thailand, berusia 22 dan 45 tahun, menurut jurucakap kerajaan Thailand.

Anggota bomba dan penyelamat dilihat berada di tengah-tengah serpihan pesawat Jeju Air berhampiran tempat kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di Korea Selatan.
Anggota bomba dan penyelamat dilihat berada di tengah-tengah serpihan pesawat Jeju Air berhampiran tempat kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan di Korea Selatan. - Foto AFP

Menurut pegawai, cuaca buruk dan sekumpulan burung yang bertembung dengan pesawat merupakan antara kemungkinan punca nahas yang mengakibatkan penumpang tercampak dari pesawat dan menyebabkannya “hampir musnah sepenuhnya”.

Mengikut garis masa kejadian yang dikeluarkan oleh Kementerian Darat, Infrastruktur dan Pengangkutan di Korea, menara kawalan Lapangan Terbang Antarabangsa Muan telah memberi amaran kepada Pesawat Jeju Air 2216 mengenai ‘serangan’ burung pada sekitar 8.57 pagi (waktu tempatan).

Seminit kemudian, juruterbangnya membuat panggilan kecemasan atau mayday. Dalam masa dua minit, pesawat itu cuba mendarat di arah bertentangan landasan selepas diberi kebenaran oleh pegawai kawalan lapangan terbang.

Kemalangan tersebut berlaku tiga minit kemudian, pada 9.03 pagi. Dua kotak hitam pesawat telah ditemui dan siasatan sedang dijalankan.

Seorang saksi memberitahu agensi berita Yonhap bahawa beliau melihat percikan api di sayap kanan pesawat itu beberapa saat sebelum pesawat terhempas.

Encik Yoo Jae-yong, 41 tahun, yang tinggal di rumah sewa berhampiran lapangan terbang, berkata: “Saya memberitahu keluarga saya ada masalah dengan pesawat apabila saya terdengar letupan yang kuat.”

Seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Cho, berkata beliau melihat cahaya yang menyilaukan di udara, diikuti dengan dentuman yang agak panjang. Asap kemudian berkepul di udara, sebelum kedengaran letupan.

Encik Kim Yong-cheol teringat mendengar bunyi seperti bahan logam yang dikikis beberapa minit sebelum nahas.

Lelaki berusia 70 tahun itu berkata beliau mendongak dan melihat pesawat itu cuba mendarat buat kali kedua, sebelum ia terhempas dan terbakar.

Tragedi ini merupakan kemalangan udara paling teruk membabitkan syarikat penerbangan Korea Selatan dalam hampir tiga dekad, menurut data pemerintah.

Ketua pegawai eksekutif Jeju Air, Encik Kim E-bae, telah memohon maaf kepada keluarga mangsa penerbangan itu. Dalam satu taklimat singkat bersama media, Encik Kim berkata usaha untuk membantu mereka yang sedang berduka adalah keutamaan utama buat masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jeju Air, Encik Kim E-bae (tiga dari kanan), dan pegawai lain tunduk bagi memohon maaf atas insiden pesawat syarikat itu yang terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan, semasa satu sidang media.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jeju Air, Encik Kim E-bae (tiga dari kanan), dan pegawai lain tunduk bagi memohon maaf atas insiden pesawat syarikat itu yang terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, Korea Selatan, semasa satu sidang media. - Foto REUTERS

Sementara itu, keluarga penumpang pesawat Jeju Air itu mula berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan sekitar sejam selepas insiden tersebut.

Akhbar Guardian melaporkan suasana yang hiba menjadi semakin tegang selepas saudara-mara diberitahu oleh pegawai bomba terdapat harapan tipis untuk menyelamatkan penumpang yang masih belum ditemui. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg