KAHIRAH: Parti pembangkang Mesir mendakwa bahawa individu yang ingin menyokong calon yang diharapkan menentang Presiden Abdel Fattah al-Sisi dalam pilihan raya pada Disember berulang kali dihalang berbuat demikian.
Calon berpotensi mesti mendapat sokongan sekurang-kurangnya 25,000 orang awam dari 15 daerah gabenor berbeza, atau 20 anggota parlimen, dan mendaftar pencalonan mereka selewat-lewatnya pada 14 Oktober untuk pemilihan presiden dari 10 hingga 12 Disember.
Tetapi mereka yang cuba mengemukakan sokongan untuk calon selain Encik Sisi mendapati pejabat notari awam tidak boleh diakses dan dilindungi oleh aktivis atau samseng propemerintah, dakwa anggota Pergerakan Demokrasi Awam (CDM), yang berusaha menyatukan beberapa pembangkang Mesir.
Pihak Berkuasa Pilihan Raya Kebangsaan Mesir berkata ia telah menyiasat aduan dan dakwaan sedemikian dan mendapatinya tidak berasas.
Ia sebaliknya menyatakan pihaknya telah mengarahkan pejabat notari supaya melanjutkan waktu mereka untuk membolehkan orang ramai mendaftar.
Pada satu sidang media di Kahirah, CDM mengemukakan individu yang mendakwa menghadapi masalah membuat pendaftaran itu.
Cik Rania el-Sheikh berkata ketika beliau cuba mendaftar sokongan bagi bekas anggota parlimen, Encik Ahmed el-Tantawy – tokoh paling terkemuka yang berhasrat menentang Encik Sisi – para samseng mencetuskan pergaduhan di pejabat notari dan beliau ditarik oleh seorang wanita, manakala seorang rakan sekerja lelakinya dipukul di bahu. Di tempat lain, orang ramai ditolak, katanya.
Malah, pekerja sektor awam siap dengan alasan seperti sistem tidak berfungsi, Internet tidak berfungsi dan bekalan elektrik terputus.
Encik Magdy Hamdan, seorang pegawai Parti Konservatif, berkata beliau disekat daripada mengemukakan pengesahannya di pejabat notari dan apabila beliau cuba memasuki kali kedua, sekumpulan lelaki membawa masuk beberapa pemungut sampah serta pengemis dan kemudian menyembur mereka dan beliau dengan air.
Penyokong Encik Tantawy turut mengadu bahawa individu yang cuba mendaftar sokongan untuknya disekat dan lebih 80 penyokongnya ditahan.
Diminta mengulas, perkhidmatan maklumat negara Mesir merujuk kepada kenyataan pihak berkuasa pilihan raya yang menafikan sebarang pelanggaran.
Encik Sisi, yang dikatakan bertindak keras terhadap pembangkang dijangka dipilih bagi penggal ketiga pada Disember.
Apabila beliau secara rasmi mengumumkan pencalonannya awal minggu ini, beliau menggalak orang ramai supaya mengambil bahagian dalam pilihan raya dan memilih calon mengikut kesesuaian mereka.
“Memandangkan saya telah menyahut seruan rakyat sebelum ini, saya menyahut seruan mereka lagi dengan mengumumkan hasrat saya untuk bertanding.
“Ini sekali gus memenuhi impian saya untuk mengisi jawatan bagi penggal baru kelak,” kata Encik Sisi di hadapan khalayak ramai yang bersorak di Ibu Negara Pentadbiran Baru (NAC), iaitu nama sementara ibu negara baru Mesir, di timur Kahirah. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg