Topik diikuti
Pergi ke BHkuPembantu juruterbang Flydubai didakwa rancang rempuh pesawat ke lapangan terbang Israel
Pembantu juruterbang Flydubai didakwa rancang rempuh pesawat ke lapangan terbang Israel
Pembantu juruterbang Flydubai didakwa rancang rempuh pesawat ke lapangan terbang Israel
BAITULMAKDIS: Pembantu juruterbang Flydubai yang dituduh menyerang kapten pesawat dengan kapak kecemaasan didakwa sudah merancang untuk merampas dan merempuh sebuah pesawat ke Lapangan Terbang Ben Gurion, dekat Tel Aviv, sebelum menyertai syarikat penerbangan itu.
Dua pegawai Israel yang mengetahui siasatan berkata pembantu juruterbang warga Oman itu memberitahu penyiasat Amiriah Arab Bersatu (UAE) bahawa beliau sengaja mencari syarikat penerbangan yang mempunyai laluan ke Tel Aviv sebelum memohon bekerja dengan Flydubai.
Seorang lagi sumber yang diberi taklimat mengenai siasatan UAE berkata suspek merancang merempuh Penerbangan FZ1073 ke Lapangan Terbang Ben Gurion pada 30 September.
Menurut sumber itu, beliau pernah mengendalikan penerbangan ke Tel Aviv awal tahun 2026 dan ketika itu juga didakwa berniat merampas serta merempuh pesawat, tetapi membatalkan rancangan tersebut.
Tidak jelas mengapa beliau berubah fikiran, namun sumber berkata suspek dipercayai mengenali seseorang di dalam pesawat ketika itu.
Semua sumber bercakap dengan syarat identiti mereka dirahsiakan kerana siasatan masih berjalan.
Pendakwa Raya UAE sebelum ini menyifatkan kejadian dalam Penerbangan FZ1073 sebagai “serangan pengganas”, dengan pembantu juruterbang itu dituduh menyerang kapten menggunakan kapak kecemasan di dalam kokpit.
Dua sumber mengenal pasti suspek sebagai Hamam al-Hammami, warga Oman.
Pihak berkuasa UAE dan Flydubai belum mendedahkan identitinya secara rasmi.
Beliau kini ditahan di UAE tetapi belum diketahui sama ada sebarang pertuduhan rasmi sudah dikenakan atau beliau sudah melantik peguam.
Menurut laporan media Israel, suspek didakwa merancang membunuh kapten pesawat, Encik Smit Machchhar, sebelum meneruskan penerbangan seperti biasa sehingga mendapat kebenaran mendarat di Ben Gurion.
Beliau kemudian didakwa mahu merempuh pesawat ke sebuah bangunan atau pesawat lain di lapangan terbang itu.
Rancangan tersebut dipercayai bertujuan mengelakkan pihak berkuasa mengesan rampasan pesawat terlalu awal, sekali gus mengurangkan masa untuk mereka bertindak.
Media Israel melaporkan suspek merancang mengambil alih pesawat ketika ia berada di ruang udara Jordan dan menghampiri Israel.
Jika gagal sampai ke Ben Gurion, beliau didakwa mempertimbangkan sebuah bangunan tinggi di Tel Aviv atau kemudahan tentera Amerika Syarikat di Jordan sebagai sasaran alternatif.
Menurut laporan Jerusalem Post, suspek memberitahu penyiasat bahawa beliau meneliti syarikat penerbangan yang mempunyai laluan ke Tel Aviv sebelum memilih Flydubai.
“Saya mencari syarikat penerbangan yang terbang ke Tel Aviv. Sebab itu saya memilih Flydubai. Saya merancangnya sebelum diterima bekerja,” katanya seperti dipetik laporan itu.
Beliau juga dilaporkan beberapa kali terbang ke Ben Gurion selepas menyertai Flydubai dan menggunakan satu penerbangan pada Jun untuk mengumpulkan maklumat bagi serangan yang dirancang.
Insiden pada 30 September berlaku ketika FZ1073 dalam penerbangan dari Dubai menuju Tel Aviv dengan membawa lebih 170 penumpang dan anak kapal, kebanyakannya warga Israel.
Encik Machchhar, warga India, berkata pembantu juruterbang itu meminta untuk bersembahyang tidak lama sebelum serangan berlaku.
Tidak lama kemudian, beliau diserang berulang kali dengan kapak kecemasan.
Walaupun cedera parah, Encik Machchhar berjaya membuka pintu kokpit, membolehkan anak kapal dan individu lain di dalam pesawat masuk serta menundukkan suspek.
Pesawat itu dilaporkan kehilangan ketinggian lebih 16,000 kaki dalam masa kira-kira 30 saat ketika kejadian.
Dua juruterbang Flydubai yang tidak bertugas dan kebetulan berada dalam penerbangan tersebut kemudian mengambil alih kawalan pesawat.
Pesawat itu dialihkan ke Lapangan Terbang Tabuk di barat laut Arab Saudi dan mendarat dengan selamat.
Suspek ditahan pihak berkuasa Saudi sebelum dipindahkan ke UAE pada 1 Oktober untuk siasatan lanjut.
Encik Machchhar terselamat dan kini dilaporkan semakin pulih.
Tindakannya membuka pintu kokpit meskipun cedera dipuji kerana membolehkan orang lain campur tangan sebelum pesawat dapat dirampas sepenuhnya.
Insiden itu turut mencetuskan persoalan mengenai bagaimana suspek dibenarkan mengendalikan penerbangan ke Israel.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata juruterbang yang merupakan warga negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, termasuk Oman, tidak sepatutnya dibenarkan mengendalikan penerbangan ke negara itu.
Beliau kemudian mengarahkan semakan terhadap syarikat penerbangan asing yang mengendalikan penerbangan ke Israel.
Pihak berkuasa juga sedang meneliti latar belakang suspek, termasuk laporan bahawa beliau sebelum ini pernah digugurkan daripada tugas penerbangan di Oman berhubung kebimbangan mengenai bahan atau pandangan berunsur ekstremis.
Siasatan turut diperluas ke Australia kerana suspek pernah mengikuti pengajian di RMIT University di Melbourne, Victoria, kira-kira sedekad lalu. Sebuah pasukan antipengganasan Australia kini menyiasat kemungkinan kaitannya dengan negara itu.
Penyiasat UAE dan negara lain masih berusaha menentukan sama ada suspek bertindak bersendirian atau mempunyai hubungan dengan mana-mana pertubuhan ekstremis.
Setakat ini, tiada bukti menunjukkan penglibatan Iran, manakala motif penuh serta kemungkinan hubungan suspek dengan pihak lain masih dalam siasatan. - Agensi berita