Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembantu rumah Indonesia, Filipina antara mangsa kebakaran apartmen HK

Dec 1, 2025 | 1:12 PM
kebakaran Wang Fuk Court, hong kong, tai po
Hadirin menyertai perhimpunan pada 30 November, bagi memanjatkan doa anjuran masyarakat Muslim Indonesia, bagi memperingati mangsa kebakaran maut yang berlaku pada 28 November di kompleks perumahan, Wang Fuk Court di Tai Po, Hong Kong. - Foto REUTERS

HONG KONG: Ratusan pekerja migran berkumpul meratapi rakan-rakan mereka yang terkorban dalam kebakaran paling dahsyat di Hong Kong dalam lebih seabad, memenuhi Victoria Park dengan tangisan dan doa sepanjang hujung minggu 30 November.

Mereka bukan sahaja bersedih atas kehilangan itu, bahkan turut bimbang akan nasib rakan-rakan yang masih belum ditemui.

Daripada 146 mangsa yang terkorban dalam tragedi yang memusnahkan menara apartmen Wang Fuk Court, di Tai Po, sekurang-kurangnya 10 ialah pekerja migran.

Menurut rekod konsulat yang dikumpulkan agensi berita, AFP, puluhan lagi masih hilang.

“Kami hanya mahu kepastian. Setiap hari kami menunggu berita,” kata seorang pekerja Indonesia yang kehilangan dua rakan.

Seorang pekerja Filipina pula berkata: “Kebakaran ini bukan sahaja meragut nyawa, malah menjadikan hidup kami tidak menentu. Kami sangat takut.”

Satu kain rentang diletakkan di tanah berbunyi: “Kepada mereka yang telah pergi: Penghormatan tertinggi kepada kesetiaan dan keberanian pekerja migran.”

Lebih 200 pekerja migran kebanyakannya dari Filipina dan Indonesia tinggal di kompleks perumahan Wang Fuk Court, iaitu lokasi kebakaran tujuh blok apartmen lebih 30 tingkat yang musnah dijilat api pada 28 November.

Pekerja Indonesia, Cik Cucu Susilawati, yang tinggal di tingkat 16, hanya sempat melarikan diri sehelai sepinggang.

“Saya turun tangga secepat mungkin… saya tidak sempat capai apa-apa,” katanya, masih terkejut.

Bagi Cik Sudarsih, yang bekerja di Hong Kong selama 15 tahun, dua rakan rapatnya hilang selepas tragedi itu.

“Semoga Tuhan memberkati mereka. Kami berdoa mereka ditemui cepat dan selamat,” katanya.

Di Central, kira-kira 100 pekerja Filipina mengadakan perjumpaan dan berdoa.

“Kami berharap tiada lagi korban dalam tragedi ini,” kata Cik Dolores Balladares, Pengerusi United Filipinos in Hong Kong – kumpulan kumpulan yang membantu migran Filipina di luar negara.

Namun, di sebalik kekalutan itu, muncul kisah keberanian.

Warga Filipina yang baru sehari tiba di Hong Kong, Cik Rhodora Alcaraz, berada bersama bayi berusia tiga bulan ketika asap memenuhi apartmen majikannya.

Dalam laporan yang tular, Cik Alcaraz, didakwa melindungi bayi tersebut dengan tubuhnya.

Apabila pasukan bomba menemuinya, beliau masih mendakap bayi itu.

Cik Alcaraz kini dilapor berada di Unit Jagaan Rapi (ICU).

Rakannya, Cik Michelle Magcale, berkata: “Saya sangat sedih… saya tak mampu ungkapkan perasaan ini. Dia menyelamatkan satu nyawa. Kami amat bersyukur.”

Hong Kong mempunyai hampir 370,000 pekerja migran, majoritinya wanita dari Indonesia dan Filipina.

Mereka menjaga kanak-kanak, warga emas dan menguruskan rumah dalam bandar yang semakin menua penduduknya.

Namun peraturan pemerintah menetapkan mereka mesti tinggal bersama majikan, menyebabkan ramai terperangkap dalam ruang sempit di apartmen tinggi seperti Wang Fuk Court.

“Ramai yang kehilangan tempat tinggal dan mungkin kehilangan pekerjaan,” kata Setiausaha Kesatuan Pekerja Migran Indonesia, Cik Sring Sringatin.

Beliau menjelaskan majikan yang kehilangan rumah mungkin tidak lagi mampu membayar gaji, menyebabkan pekerja terancam dihantar pulang.

Peraturan Hong Kong mensyaratkan pekerja mencari majikan baharu dalam tempoh dua minggu atau pulang ke negara asal satu tempoh yang sangat singkat dalam keadaan darurat seperti itu.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Cik Yvonne Mewengkang, berkata satu pasukan khas telah ditubuhkan.

“Kami sedang menyelaraskan bantuan dengan keluarga mangsa di Indonesia dan menyediakan maklumat yang diperlukan,” katanya.

Menurutnya, beberapa mangsa telah dikenal pasti, manakala yang lain memerlukan proses DNA. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg