Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk Lebanon: Tiada siapa yang menang

Dec 9, 2024 | 5:30 AM
Seorang pegawai tempatan Baalbek, Encik Fayez al Takesh, berdiri di tapak rumah yang rosak di Baalbek di Lebanon selepas gencatan senjata antara Israel dengan Hezbollah, Lebanon, pada 28 November.
Seorang pegawai tempatan Baalbek, Encik Fayez al Takesh, berdiri di tapak rumah yang rosak di Baalbek di Lebanon selepas gencatan senjata antara Israel dengan Hezbollah, Lebanon, pada 28 November. - Foto REUTERS

BAALBEK (Lebanon): Setelah gencatan senjata mengakhiri perang paling dahsyat di Lebanon dalam beberapa dekad, puluhan ribu penduduk kembali ke bandar Baalbek.

Namun, kepulangan mereka bukannya disambut dengan kelegaan tetapi dengan pemandangan yang memilukan – bangunan yang merata dengan tanah, restoran yang hancur dan mayat yang masih terperangkap di bawah runtuhan.

Bagi penduduk, ia bukan sekadar pulang, tetapi juga perjuangan untuk memulihkan kehidupan mereka di tengah runtuhan dan kehilangan.

Bunyi tukul dan gerudi bergema di Baalbek ketika penduduk berusaha membaik pulih apa yang tinggal di kediaman mereka. Di sebalik usaha itu, luka peperangan masih segar.

“Saya seorang wanita tua, tidak terlibat dengan sesiapa. Apa salah saya hingga rumah saya dihancurkan?” luah Cik Taflah Amar, 79 tahun, sambil menyapu serpihan di perkarangan rumahnya, yang merupakan antara beberapa bangunan yang masih tegak berdiri.

“Saya menangis sepanjang hari,” tambahnya dengan suaranya penuh kesedihan.

Bagi ramai yang kembali, Baalbek kini hampir tidak dikenali. Bandar yang pernah menjadi pusat masyarakat kini penuh dengan kehancuran.

Restoran-restoran yang menjadi tempat pertemuan keluarga kini hanya tinggal tiang besi yang bengkok.

“Mengapa mereka sasarkan restoran itu?” soal Cik Basma Yaghi, melihat gambar di telefon bimbitnya – pesta perkahwinan, keluarga menikmati makan tengah hari di restoran tersebut dan gambar kanak-kanak bermain di taman permainan. Semua itu kini tinggal kenangan yang suram.

Baalbek sebelum ini terselamat daripada konflik besar yang kebanyakannya tertumpu di selatan Lebanon.

Namun, serangan besar-besaran oleh Israel pada September menghancurkan banyak kawasan bandar itu.

Sebahagian besar penduduk terpaksa melarikan diri, dan mereka yang tinggal menyaksikan kehancuran yang tidak pernah dialami.

“Kami tidak menjangka serangan sebegini dahsyat,” kata Cik Hind Saydah, yang rumahnya masih dipenuhi habuk walaupun selepas usaha pembersihan.

“Apabila anda meninggalkan rumah anda, anda meninggalkan segalanya,” katanya.

Abangnya, Encik Hassan Saydah, yang mewarisi rumah berusia 150 tahun dari generasi terdahulu, enggan meninggalkan rumah itu walaupun serangan udara memusnahkan kawasan kejiranan mereka dan membunuh ayam peliharaannya.

Namun, kos membaik pulih rumah itu dianggarkan mencecah AS$15,000 ($20,190).

“Saya tidak mampu,” katanya dengan nada putus asa.

Kakak ipar mereka, Cik Samia Baalbaki, yang tidak pernah meninggalkan Baalbek sepanjang hidupnya, buat kali pertama terpaksa melarikan diri.

Kini, beliau kembali dan bergelut memahami makna perang ini.

“Rumah kami musnah. Pemimpin kami juga telah pergi,” katanya, merujuk kepada pemimpin Hezbollah yang terkorban semasa serangan Israel.

Poster-poster pemimpin Hezbollah yang terkorban menghiasi dinding bandar, sebagai tanda sokongan masyarakat kepada kumpulan tersebut.

Namun, papan tanda lain memberi amaran tentang bahaya misil yang tidak meletup – satu peringatan bahawa ancaman masih ada.

Tentera Lebanon masih giat memusnahkan sisa senjata tersebut, mengimbau kembali kekejaman perang yang belum benar-benar berakhir.

Walaupun begitu, kehidupan perlahan-lahan kembali ke Baalbek.

Jalanan yang sunyi kini kembali hidup, pasar-pasar mula dipenuhi pelanggan dan bunyi bising kenderaan mencerminkan usaha penduduk untuk kembali ke rutin harian.

Tetapi trauma perang tetap menjadi bayangan hitam yang sukar dilupakan.

Bagi Encik Mahdi Zeinnedine, seorang pemandu bas berusia 36 tahun, harapannya hanya satu: anak-anaknya dapat kembali dengan selamat.

“Mereka akan sampai dalam masa sejam,” katanya, tersenyum sambil memegang pisang kegemaran anak-anaknya.

Beliau telah menghantar mereka ke Syria semasa perang bermula, tetapi kini berharap gencatan senjata itu memberi peluang untuk hidup dalam damai.

Walaupun gencatan senjata membawa sedikit ketenangan, ramai penduduk Baalbek berasakan bahawa perang itu tidak menghasilkan apa-apa kecuali kehancuran.

Kehilangan nyawa, kemusnahan prasarana, dan trauma psikologi telah meninggalkan parut mendalam di bandar ini.

“Tiada siapa yang menang dalam perang ini,” ujar Cik Samia yang berusaha membina semula kehidupan di tengah kehancuran. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg