BANGKOK: Pembukaan semula lalu lintas di Jalan Samsen, Bangkok, yang terjejas akibat lubang benam besar di hadapan Hospital Vajira, ditangguhkan tanpa tarikh baru selepas pihak berkuasa memutuskan untuk merobohkan bangunan Balai Polis Samsen terlebih dahulu.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn, pada 7 Oktober.
Menurut Encik Phiphat, kerja-kerja pembaikan lubang benam tidak dapat disiapkan mengikut jadual awal untuk membolehkan pembukaan semula laluan secara separa pada 8 Oktober.
“Pembukaan semula lalu lintas tidak boleh dilakukan seperti yang dirancang kerana bangunan balai polis mesti dirobohkan terlebih dahulu bagi memastikan keselamatan,” katanya pada sidang media.
Beliau menjelaskan, pembinaan semula jalan hanya boleh diteruskan selepas struktur balai polis yang rosak dirobohkan kerana ia kini tidak stabil dan boleh membahayakan pengguna jalan serta pasukan penyelamat.
Encik Phiphat berkata beliau bersama Perdana Menteri Anutin Charnvirakul telah meninjau kawasan runtuhan pada 6 Oktober. Susulan lawatan itu, Perdana Menteri mengarahkan agar keseluruhan bangunan balai polis dirobohkan selepas laporan terbaru menunjukkan pergerakan tanah yang serius.
“Salah satu tiang asas telah retak, dan kerosakan merebak ke tiang lain sehingga keupayaan menanggung beban bangunan berkurangan dengan ketara,” jelasnya.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, turut melaporkan pergerakan tanah baru yang menyebabkan kerosakan tambahan pada cerucuk sokongan bangunan, sekaligus mengesahkan risiko keselamatan semakin meningkat.
Bagi mengurangkan risiko kepada pekerja, kerja-kerja merobohkan bangunan yang bermula 6 Oktober dilaksanakan menggunakan robot kawalan jauh.
“Saya tidak dapat pastikan bila perobohan dan pembaikan lubang benam akan selesai, tetapi kami berusaha menyiapkannya secepat mungkin,” kata Encik Phiphat sambil menegaskan bahawa keselamatan adalah keutamaan.
Beliau juga menyatakan pihak kementerian bersama agensi berkaitan akan membuat pemeriksaan menyeluruh di kawasan berkenaan sebelum membuka semula laluan kepada kenderaan.
Lubang benam yang muncul pada 23 September itu berukuran kira-kira 30 meter kali 30 meter dengan kedalaman 20 meter. Kejadian dipercayai berpunca daripada paip air yang bocor sehingga menyebabkan tanah mendap dan merosakkan terowong transit bawah tanah yang sedang dibina.
Dengan risiko keselamatan yang tinggi, pihak berkuasa menegaskan pembukaan semula jalan hanya akan dilakukan apabila keadaan benar-benar selamat untuk orang ramai.
“Keselamatan pengguna jalan adalah keutamaan kami. Kami faham kesulitan yang dialami, tetapi langkah ini perlu bagi mengelakkan tragedi lebih besar,” tegas Encik Phiphat. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg