BANGKOK: Seorang lelaki Thailand dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 3 Oktober kerana membunuh ahli politik pembangkang Kemboja, Encik Lim Kimya, di Bangkok awal tahun 2025 ini. Keputusan mahkamah itu disambut lega oleh keluarga mangsa tetapi menimbulkan desakan agar dalang di sebalik serangan itu didedahkan.
Hakim Mahkamah Jenayah Bangkok berkata tertuduh utama, Ekkalak Paenoi, telah mengaku bersalah atas tuduhan menembak mati Encik Lim Kimya pada 7 Januari ketika bekas ahli parlimen itu melawat Bangkok bersama isterinya.
“Tindakan defendan pertama telah menyebabkan kerugian besar kepada plaintif. Oleh kerana dia mengaku bersalah, hukuman dijatuhkan sebagai penjara seumur hidup,” kata hakim.
Ekkalak ditangkap sehari selepas kejadian di Kemboja dan sebelum ini mengaku melakukan pembunuhan dalam rakaman siaran langsung. Perbicaraan kes itu bermula 30 September lalu dan hanya mengambil masa tiga hari sebelum keputusan diumumkan.
Cik Anne-Marie Lim, balu kepada Lim Kimya, hadir memberi keterangan pada perbicaraan minggu ini. Peguamnya, Encik Nadhthasiri Bergman, berkata keluarga bersyukur keadilan ditegakkan terhadap penembak, tetapi persoalan tentang dalang sebenar masih belum terjawab.
“Anne-Marie mungkin berpuas hati dengan keputusan hari ini, tetapi beliau masih ingin tahu siapa yang mengarahkan pembunuhan ini,” kata Encik Bergman kepada wartawan di luar mahkamah.
“Kami tahu suspek lain berada di Kemboja, dan pihak berkuasa Thailand boleh membantu mendesak proses ekstradisi supaya mereka dibawa ke muka pengadilan.” Encik Bergman menegaskan keperluan siasatan mendalam. “Beliau mahu pihak berkuasa menyiasat sehingga ke akar umbi,” tambahnya.
Mahkamah pada 3 Oktober turut membebaskan tertuduh kedua, warga Thailand Chakrit Buakhil, yang dituduh membantu Ekkalak melarikan diri ke sempadan Kemboja. “Anak guam saya hanya pemandu dan tidak tahu apa yang berlaku,” kata peguamnya, Encik Natchapong Moosakopas, kepada AFP.
Kedua-dua tertuduh hadir di mahkamah dengan pakaian banduan dan tangan bergari ketika mendengar keputusan. Media tempatan sebelum ini melaporkan Ekkalak dibayar 60,000 baht (S$2,386) untuk melakukan pembunuhan, namun polis berkata dia mendakwa tidak menerima bayaran dan hanya melakukannya untuk “membalas budi”.
Pembunuhan Encik Lim Kimya mencetuskan ketegangan politik antara pengkritik pemerintah Kemboja dengan bekas pemimpin Encik Hun Sen, yang dituduh pihak pembangkang sebagai dalang. Namun Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, menafikan sebarang penglibatan kerajaan atau ayahnya dalam kes itu.
Encik Hun Sen memerintah hampir empat dekad sebelum menyerahkan kuasa pada 2023 dan sering dituduh menindas pembangkang menggunakan sistem kehakiman.
Kes ini dijangka terus menimbulkan tekanan politik dan diplomatik, terutama desakan agar siasatan tidak berhenti setakat pembunuh upahan, tetapi merungkai siapa sebenarnya yang merancang serangan itu. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg