MELBOURNE: Pembunuh “cendawan” Australia yang baru-baru ini disabitkan kesalahan turut didakwa cuba meracuni suaminya dengan kari ayam korma, menurut tuduhan yang didedahkan pada 8 Ogos selepas perintah larangan laporan dibatalkan.
Tukang masak di rumah, Erin Patterson, didapati bersalah pada Julai lalu kerana membunuh ibu bapa dan ibu saudara suaminya pada 2023 dengan mencampurkan cendawan beracun jenis death cap ke dalam hidangan beef Wellington.
Beberapa siri dakwaan yang berpotensi memburukkan imej Patterson sebelum hidangan itu disajikan telah ditahan daripada juri bagi memberi peluang perbicaraan yang adil kepada ibu kepada dua anak ini.
Hakim Mahkamah Agung, Christopher Beale, pada 8 Ogosi menolak permohonan untuk mengekalkan larangan laporan terhadap dakwaan tersebut.Pihak polis mendakwa Patterson cuba membunuh suaminya yang berpisah dengannya, Encik Simon, sebanyak tiga kali antara 2021 dan 2022.
Dia didakwa menghidangkan hidangan pasta bolognese, kari ayam dan balutan sayur yang beracun, menurut bukti yang baru didedahkan.
Encik Simon memberitahu pada satu perbicaraan pra-perbicaraan pada Oktober 2024 bahawa Patterson pernah memintanya untuk mencuba beberapa jenis kari yang dimasaknya.
“Saya ingat Erin berkata tujuan uji rasa itu adalah supaya dia boleh, saya rasa, menyesuaikan masakan kari pada masa hadapan mengikut cita rasa masing-masing,” katanya.
Encik Simon jatuh sakit selepas memakan ayam kurma yang dihidangkan Patterson semasa percutian berkhemah pada 2022.
“Pada mulanya saya rasa panas, terutama di kepala, kemudian rasa loya, dan akhirnya saya tiba-tiba perlu muntah,” katanya. Beliau kemudian koma sebelum pakar bedah membuang sebahagian ususnya.
Encik Simon kemudiannya memberitahu doktor Christopher Ford bahawa beliau mula mengesyaki Patterson sengaja cuba meracuninya. Dr Ford berkata Encik Simon menjadi bimbang apabila Patterson menawarkan beberapa keping biskut yang dimasak sendiri.
“Simon berasa bimbang untuk makan biskut itu kerana dia merasakan ia mungkin beracun,” kata Dr Ford pada perbicaraan pra-perbicaraan tahun lalu. Beliau memberitahu saya bahawa semasa mereka tiada di rumah, Erin beberapa kali menelefon untuk bertanya sama ada beliau sudah makan biskut itu.”
Pendakwa raya menggugurkan tuduhan tersebut sebelum perbicaraan Patterson bermula, dengan sekatan ketat yang menghalang media daripada melaporkan sebarang butiran.
Pada Julai 2023, Patterson menganjurkan makan malam kecil yang bermula dengan gurauan mesra dan doa bersama tetapi berakhir dengan tiga tetamu meninggal dunia.
Juri yang terdiri daripada 12 orang mendapati wanita berusia 50 tahun itu bersalah membunuh ibu bapa Encik Simon, Encik Don dan Cik Gail Patterson, serta ibu saudaranya, Cik Heather Wilkinson.
Dia juga disabitkan bersalah kerana cuba membunuh suami Cik Heather, Encik Ian, seorang pendeta terkenal di gereja Baptist tempatan.
Perbicaraan Patterson menarik minat podcaster, kru penggambaran dan peminat jenayah sebenar ke bandar luar bandar Morwell, sebuah pekan kecil di negeri Victoria yang lebih dikenali dengan bunga ros pemenang anugerah.
Akhbar dari New York hingga New Delhi mengikuti setiap perkembangan kes yang kini dikenali ramai sebagai “pembunuhan cendawan”.
Sepanjang perbicaraan selama lebih dua bulan, Patterson menegaskan bahawa hidangan daging dan pastri itu secara tidak sengaja tercemar dengan cendawan death cap, kulat paling beracun di dunia.
Cendawan death cap mudah disalah anggap sebagai spesis yang boleh dimakan, dan dilaporkan mempunyai rasa manis yang menyembunyikan toksisiti mautnya.
Patterson akan kembali ke mahkamah pada 25 Ogos untuk prosiding menentukan tempoh hukuman penjara. Pasukan guamannya mempunyai masa 28 hari selepas hukuman dijatuhkan untuk merayu terhadap sabitan jenayah dan hukuman yang dikenakan. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg