Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembunuhan Haniyeh dibimbangi cetus balas dendam, tingkat konflik

Aug 1, 2024 | 2:27 PM
Hamas
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), atas permintaan Iran, mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan pembunuhan pemimpin kanan Hamas, Encik Ismail Haniyeh, pada 31 Julai. - Foto EPA-EFE

KAHIRAH/DUBAI: Pembunuhan pemimpin kumpulan Hamas, Encik Ismail Haniyeh, di ibu negara Iran, Teheran, pada awal pagi 31 Julai menimbulkan ancaman balas dendam ke atas Israel dan mencetuskan kebimbangan konflik di Gaza bertukar menjadi perang Timur Tengah yang lebih meluas.

Kumpulan Palestin itu dan Pengawal Revolusi Iran mengesahkan kematian Encik Haniyeh.

Pengawal berkata ia berlaku beberapa jam selepas beliau menghadiri majlis angkat sumpah jawatan presiden baru Iran, Encik Masoud Pezeshkian.

Walaupun serangan itu diandaikan secara meluas dilakukan oleh Israel, pemerintah Perdana Menteri Benjamin Netanyahu tidak membuat pengakuan bertanggungjawab dan berkata ia tidak akan membuat ulasan mengenai pembunuhan tersebut.

Encik Haniyeh, yang biasanya berpangkalan di Qatar, menjadi wajah diplomasi antarabangsa Hamas ketika perang meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober.

Beliau mengambil bahagian dalam rundingan tidak langsung untuk mencapai gencatan senjata di kawasan Palestin, Jaluran Gaza.

Pembunuhan itu berlaku kurang 24 jam selepas Israel mendakwa telah membunuh komander tentera paling kanan Hezbollah di Beirut, ibu kota Lebanon, sebagai tindak balas terhadap serangan roket maut di Bukit Golan, yang diduduki Israel.

Dua sumber keselamatan Lebanon mengesahkan pada 31 Julai bahawa mayat ketua operasi Hezbollah, Encik Fuad Shukr, ditemui dalam runtuhan akibat serangan udara di pinggir selatan Beirut.

Peristiwa terbaru itu nampaknya menghalang peluang sebarang perjanjian gencatan senjata dalam perang hampir 10 bulan di Gaza antara Israel dengan Hamas, yang disokong Iran.

Sayap bersenjata Hamas berkata dalam satu kenyataan pembunuhan Encik Haniyeh akan “membawa pertempuran ke dimensi baru dan mempunyai kesan besar”.

Berikrar untuk membalas dendam, Iran mengisytiharkan tiga hari berkabung nasional dan berkata Amerika Syarikat memikul tanggungjawab kerana sokongannya pada Israel.

Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berkata Israel telah menyediakan alasan untuk “hukuman keras terhadap dirinya sendiri” dan menjadi kewajipan Teheran untuk membalas dendam susulan kematian Encik Haniyeh.

Tentera Iran telah melakukan serangan terus ke atas Israel sebelum ini dalam perang Gaza.

Badan keselamatan tertinggi Iran bertemu untuk memutuskan strategi sebagai reaksi terhadap pembunuhan itu, kata sumber yang mengetahui tentang situasi tersebut.

Di Baitulmakdis, seorang jurucakap pemerintah Israel enggan mengulas mengenai pembunuhan Encik Haniyeh tetapi berkata negaranya berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap sebarang tindak balas Iran.

Setiausaha Negara Amerika, Antony Blinken, pada satu acara di Singapura, mengetepikan soalan mengenai pembunuhan Encik Haniyeh tetapi berkata perjanjian gencatan senjata di Gaza adalah kunci untuk mengelakkan peningkatan konflik serantau yang lebih meluas.

Beliau memberitahu media bahawa Amerika tidak menyedari atau terlibat dalam pembunuhan itu.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, pula berkata menerusi wadah X:

“Pembunuhan politik dan berterusan menyasarkan orang awam di Gaza sementara perbincangan diteruskan membawa kita bertanya, bagaimana pengantaraan boleh berjaya apabila satu pihak membunuh perunding pada pihak lain?”

Mesir berkata pembunuhan itu menunjukkan kekurangan kemahuan politik pada pihak Israel untuk meredakan ketegangan. China, Russia, Turkey dan Iraq turut mengutuknya.

Ribuan penunjuk perasaan pro-Palestin berarak di tengah bandar Istanbul bagi membantah pembunuhan pemimpin Hamas itu.

Penunjuk perasaan turut melaungkan slogan, ‘kematian kepada Israel’, dan mengibarkan bendera Turkey serta Palestin ketika perarakan di Fatih, Istanbul. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg