DAMSYIK: Pihak berkuasa baharu Syria melancarkan operasi keselamatan besar-besaran di wilayah pantai Tartous pada 26 Disember, susulan serangan yang meragut nyawa 14 anggota polis sehari sebelumnya.
Menurut laporan agensi berita, Sana, operasi itu bertujuan memburu saki-baki militan rejim mantan Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, yang digulingkan pada 8 Disember.
Keganasan itu merupakan cabaran terbesar kepada pemimpin baru oleh kumpulan Islam sunni, setelah berjaya menamatkan pemerintahan Encik Assad.
Wilayah Tartous, yang menjadi kawasan utama masyarakat Alawite, sebuah cabang kecil Syiah telah menyaksikan pergolakan paling dahsyat sejak kejatuhan rejim lama.
Pihak berkuasa keselamatan menyatakan operasi itu bertujuan “mengawal keamanan, kestabilan, dan keharmonian masyarakat, serta memburu saki-baki militan Assad di hutan dan bukit-bukit di wilayah itu”.
Dalam pada itu, pemerintah Damsyik memberi amaran mengenai usaha mencetuskan perpecahan sektarian selepas video yang menunjukkan kebakaran sebuah keramat Alawite di Aleppo tular di media sosial.
Kementerian Dalam Negeri Syria memaklumkan bahawa kumpulan tidak dikenali dipercayai menjadi dalang kejadian itu dan pihaknya berikrar melindungi semua tapak keagamaan.
Hayat Tahrir al-Sham (HTS), bekas sekutu Al-Qaeda yang kini memimpin pemerintah baru, telah berjanji untuk melindungi kumpulan minoriti.
Bagaimanapun, kebimbangan terus memuncak dalam kalangan masyarakat Alawite dan minoriti lain, termasuk Kristian, yang takut akan kemungkinan penerapan dasar keislaman yang lebih keras.
Di kawasan kejiranan Alawite di Damsyik, penduduk di sana, Sheikh Ali Dareer, melaporkan kejadian serangan terhadap kediaman dan mereka yang menginap di sana berdasarkan identiti agama mereka.
“Kami sudah menghulurkan tangan perdamaian kepada pemerintah baru tetapi terdapat banyak pelanggaran,” kata Sheikh Dareer.
Beliau turut menyebut beberapa kejadian apabila individu Alawite dipukul di pusat pemeriksaan.
Namun, seorang anggota HTS di kawasan itu menafikan penglibatan kumpulannya dalam kejadian sedemikian, sambil menambah: “Ini adalah usaha untuk mencetuskan perselisihan dan kami enggan terjebak.”
Gabenor baru wilayah Latakia yang bersebelahan dengan Tartous, Encik Mohammed Othman, mengadakan pertemuan dengan pemimpin agama Alawite bagi memupuk “keamanan masyarakat dan kedamaian sivil”.
Agensi berita Sana melaporkan bahawa pihak pemerintah telah melarang penyebaran kandungan media berunsur sektarian yang boleh menyemarakkan perpecahan.
Di tengah-tengah ketegangan itu, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memberi amaran keras kepada golongan muda Syria agar bersatu melawan ancaman yang menggugat kestabilan negara.
“Syria tidak lagi selamat, pemuda Syria mesti bertekad untuk menentang mereka yang mencetuskan ketidakstabilan ini,” katanya.
Bagaimanapun, Menteri Luar Negeri Syria yang baru dilantik, Encik Asaad Hassan al-Shibani, memberi amaran kepada Iran agar menghormati kedaulatan Syria.
“Kami menyalahkan mereka dan bertanggungjawab atas kekacauan yang berlaku dan meminta mereka menghormati kehendak rakyat Syria,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg