Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin Syria lancar pelan satukan puak bersenjata

Dec 26, 2024 | 12:47 PM
Pasukan keselamatan dikerah di luar Katedral Ortodoks Yunani St George semasa misa pagi Krismas di bandar pesisir Latakia, Syria, pada 25 Disember.
Pasukan keselamatan dikerah di luar Katedral Ortodoks Yunani St George semasa misa pagi Krismas di bandar pesisir Latakia, Syria, pada 25 Disember. - Foto AFP

DAMSYIK: Kepimpinan baru Syria telah mengambil langkah menyatukan pelbagai puak pemberontak di bawah satu pemerintahan, dalam usaha terkini memperkukuh kuasa ke atas negara selepas penggulingan mantan Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad.

Menurut laporan agensi berita rasmi Syria, Sana, beberapa puak pemberontak telah bersetuju dibubarkan dan diserap di bawah kementerian pertahanan.

“Mereka sedang berusaha membina sebuah negara,” kata Cik Dareen Khalifa, penasihat kanan di Kumpulan Krisis Antarabangsa, sebuah organisasi yang meneliti krisis sejagat..

“Anda tidak boleh membina sebuah negara sementara terdapat banyak militan yang bergerak bebas melakukan tindakan mereka sendiri,” katanya.

Di tengah-tengah usaha untuk membubarkan puak pemberontak, berlaku pertempuran di beberapa bahagian negara pada 25 Disember apabila pentadbiran tentera Syria yang baru, mengejar bekas pasukan yang setia kepada rejim Assad.

Di Tartus, sebuah bandar pelabuhan utama di pantai Mediterranean, pertempuran antara pasukan tentera dengan lelaki bersenjata mengorbankan 14 anggota pasukan keselamatan dan mencederakan 10 yang lain, kata Menteri Dalam Negeri sementara, Encik Mohammed Abdul Rahman.

Beliau menyalahkan serangan hendap oleh penyokong rejim Assad yang terdahulu atas kejadian tersebut.

Pentadbiran tentera Syria turut melaksanakan operasi keselamatan di kampung al-Jobeh dan bandar Damsyik serta Homs untuk menangkap pasukan daripada rejim Assad yang telah melepaskan tembakan ke arah orang awam.

Perintah berkurung dikenakan di Homs, Tartus, dan Latakia dari 8 malam 25 Disember hingga 8 pagi 26 Disember.

Encik Ahmed al-Sharaa, pemimpin pemberontak yang menggulingkan Encik Assad, juga telah mengambil tindakan lain baru-baru ini yang bertujuan membina sebuah negara baru.

Pentadbirannya melantik seorang perdana menteri sementara bagi memimpin kerajaan peralihan sehingga Mac 2025 dan berjanji bahawa jawatankuasa undang-undang akan merangka perlembagaan baru.

Cik Khalifa, berkata beliau bertemu dengan Encik al-Sharaa awal sebelum ini dan berpendapat pembubaran puak pemberontak menjadi keutamaan utama bagi pemimpin baru Syria.

Ini kerana “puak yang tidak terkawal” bertindak di beberapa kawasan luar bandar Syria.

Perjanjian menyatukan pemberontak dilaporkan pada 24 Disember.

Gambar yang disiarkan di media sosial pada hari yang sama menunjukkan Encik al-Sharaa bertemu dengan puluhan pemimpin puak pemberontak, ramai daripada mereka memakai seragam tentera.

Encik al-Sharaa, yang dahulunya dikenali dengan nama Abu Mohammad al-Jolani, telah menghadiri mesyuarat rasmi dengan memakai sut perniagaan dan bukannya seragam tentera.

Sejak kumpulannya, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), menumbangkan Encik Assad, beliau telah menampilkan diri sebagai negarawan dan kurang sebagai pemimpin pemberontak.

Di samping itu, beliau turut mengemukakan pendirian politik yang lebih sederhana walaupun mempunyai kaitan dengan ekstremis Islam pada masa lalu.

Laporan Sana menyatakan bahawa semua puak pemberontak menandatangani perjanjian perpaduan pada 24 Disember.

Pegawai media baru dengan Pasukan Demokratik Syria, Farhad Shami, berkata kumpulannya tidak menentang secara prinsip untuk diserap ke dalam angkatan tentera Syria yang baru.

Bagaimanapun, perkara itu memerlukan perbincangan dengan pemimpin baru di Damsyik tanpa campur tangan kuasa serantau.

Beliau berkata Pasukan Demokratik Syria ingin berbincang dengan rakan sejawat mereka di Damsyik mengenai memerangi ISIS, merangka perlembagaan baharu yang menjamin hak semua rakyat Syria, mengadakan pilihan raya, dan membentuk kerajaan yang bersifat terangkum. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg