PONTIANAK: Pemerintah Indonesia berdepan saman berkumpulan berhubung dakwaan “kecuaian serius” dalam mencegah dan menangani kebakaran hutan dan tanah yang mencetuskan jerebu tebal di Kalimantan Barat pada 2026 ini.

Presiden Prabowo Subianto dan beberapa pegawai kanan pemerintah pusat serta wilayah dinamakan antara 10 defendan dalam saman yang difailkan oleh pertubuhan masyarakat sivil dan penduduk terjejas.

Perbicaraan pertama kes itu berlangsung di Mahkamah Daerah Pontianak pada 7 Oktober, namun tiada wakil defendan pemerintah pusat hadir, menyebabkan prosiding ditangguhkan hingga 21 Oktober.

Saman berkumpulan itu difailkan bulan lalu oleh empat plaintif, termasuk cabang Kalimantan Barat bagi Perikatan Masyarakat Adat Nusantara (AMAN), pertubuhan Pemuda Katolik Kalimantan Barat, Perkumpulan Laman Punyung Indonesia dan seorang penduduk, Encik Sisilius Rami.

Mereka diwakili pasukan guaman Nafas Kalbar yang terdiri daripada 14 peguam.

Selain Presiden Prabowo, defendan lain termasuk Naib Presiden, Encik Gibran Rakabuming Raka; Kementerian Perhutanan; Kementerian Alam Sekitar dan Badan Pengendalian Alam Sekitar; Ketua Polis Negara; Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB); Menteri Kesihatan; Menteri Kewangan; Gabenor Kalimantan Barat; serta Ketua Polis Kalimantan Barat.

Sebanyak 14 lagi kementerian, agensi dan pegawai pemerintah turut disenaraikan sebagai pihak berkaitan.

Plaintif mendakwa pemerintah gagal mengambil langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang mencukupi meskipun kebakaran hutan dan tanah serta jerebu merupakan masalah berulang yang risikonya sudah lama diketahui.

Peguam plaintif, Encik Glorio Sanen, berkata tindakan undang-undang itu bertujuan mencari penyelesaian terhadap masalah kebakaran yang berlaku hampir setiap tahun dan membawa kesan besar terhadap kesihatan, pendidikan, pengangkutan serta kegiatan ekonomi.

“Kami berasa sedih dan kesal dengan ketidakhadiran mereka,” katanya mengenai ketiadaan defendan pemerintah pusat pada perbicaraan pertama.

Namun, beliau berkata keadaan jerebu yang menjejaskan penerbangan mungkin menyebabkan sesetengah pegawai tidak dapat melakukan perjalanan ke Pontianak.

Kebakaran hutan dan tanah yang melanda beberapa bahagian Indonesia sejak beberapa minggu lalu menghasilkan asap tebal sehingga menjejaskan bukan sahaja Kalimantan dan Sumatera, malah jerebu turut merebak ke Malaysia dan Singapura.

Keadaan itu bertambah buruk akibat cuaca kering yang dikaitkan dengan fenomena El Nino.

Di Kalimantan Barat, pencemaran udara mencapai paras berbahaya di beberapa kawasan pada September, dengan jarak penglihatan dilaporkan merosot hingga kurang satu kilometer.

BNPB merekodkan 1,337 kes jangkitan pernafasan akut di 14 daerah dan bandar di wilayah itu setakat 8 September.

Keadaan jerebu turut memaksa pihak berkuasa melanjutkan pembelajaran dari rumah bagi pelajar sekolah dari 7 hingga 11 September.

Lebih 2,610 titik panas pula dikesan di Kalimantan Barat pada 25 Ogos, termasuk 64 lokasi yang mempunyai kebakaran aktif.

Lebih 38,000 hektar kawasan di wilayah itu dilaporkan terbakar dari awal tahun hingga Jun.

Pemerintah telah mengerahkan anggota pemadam kebakaran di darat, pesawat dan helikopter untuk operasi pengeboman air, selain menjalankan operasi pengubahsuaian cuaca bagi menghasilkan hujan di kawasan terjejas.

Polis turut meningkatkan tindakan terhadap pihak yang disyaki menyebabkan kebakaran.

Ketua Polis Negara ketika itu, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, berkata sekitar 200 laporan polis berkaitan kebakaran telah diterima dan 138 suspek dikenal pasti dalam kes membabitkan perbuatan sengaja atau kecuaian.

Namun, plaintif berhujah tindakan selepas kebakaran berlaku sahaja tidak mencukupi.

Ketua Pelaksana Harian AMAN Kalimantan Barat, Encik Tono, berkata saman itu bertujuan mendesak pemerintah mengubah pendekatannya daripada sekadar memadamkan kebakaran kepada sistem yang memberi tumpuan lebih besar terhadap pencegahan, pengawasan, penguatkuasaan undang-undang, pemulihan alam sekitar dan perlindungan penduduk.

Saman ini bukan bertujuan mencari kesalahan pemerintah, sebaliknya mahu memastikan pemerintah melaksanakan tanggungjawabnya melindungi masyarakat dan alam sekitar serta mengambil langkah supaya kebakaran hutan dan tanah tidak terus berulang,” katanya ketika saman itu difailkan pada September.

Plaintif turut meminta mahkamah mengarahkan pemerintah mengisytiharkan kebakaran hutan dan tanah serta jerebu di Kalimantan Barat sebagai bencana nasional.

Pengisytiharan itu, menurut mereka, diperlukan bagi membolehkan langkah pemulihan lebih menyeluruh dilaksanakan, termasuk menyediakan dana kecemasan kepada pemerintah wilayah dan daerah yang terjejas.

Mereka turut menuntut kos rawatan bagi penduduk yang mengalami masalah pernafasan ditanggung, selain penyediaan ubat-ubatan dan oksigen serta program pemulihan kesihatan jangka panjang.

Plaintif juga mahu operasi memadam kebakaran di tanah gambut dipertingkat, kawasan terbakar dipulihkan dan audit alam sekitar dijalankan.

Mereka menuntut penguatkuasaan undang-undang yang telus terhadap individu atau syarikat yang didapati bertanggungjawab menyebabkan kebakaran.

Menurut Encik Tono, masalah kebakaran hutan dan tanah tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu memadamkan api kerana ia turut berkait dengan pengurusan tanah gambut, kesihatan awam, penggunaan tanah, penguatkuasaan undang-undang dan kehidupan masyarakat setempat.

“Masyarakat tidak boleh hanya menjadi penerima kesan. Mereka harus menjadi bahagian penting dalam setiap dasar penanganan dan pencegahan kebakaran hutan dan tanah,” katanya.

Kes itu dijadual kembali ke Mahkamah Daerah Pontianak pada 21 Oktober. - Agensi berita