JAKARTA: Pemerintah Indonesia sedang memperhebat usaha untuk memulihkan keyakinan masyarakat dan pelabur terhadap ekonomi negara selepas gelombang protes mahasiswa yang diadakan di beberapa kawasan di Jakarta pada 12 Jun lalu.

Menteri Sekretariat Negara Indonesia, Encik Prasetyo Hadi, berkata pemerintah dalam tempoh satu hingga dua minggu lalu terus memperkukuh koordinasi dan kerjasama antara kementerian serta agensi bagi memastikan kestabilan ekonomi dan pasaran.

“Kami terus mengambil beberapa dasar yang diharapkan dapat mengukuhkan mata wang negara, memperbaiki persepsi awam dan memperkukuh keyakinan pasaran,” katanya dalam sidang media di Kompleks Istana Presiden di Jakarta pada 15 Jun.

Beliau berkata Presiden Prabowo Subianto turut memberi penekanan terhadap beberapa langkah penting yang diyakini mampu meningkatkan keyakinan pelaku ekonomi dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap hala tuju ekonomi negara.

“Presiden sekali lagi menekankan beberapa perkara yang menurut kami merupakan sebahagian daripada usaha untuk memberi keyakinan kepada pelaku ekonomi, yang akhirnya akan memberi keyakinan kepada masyarakat,” katanya.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas kumpulan mahasiswa termasuk Badan Eksekutif Mahasiswa Universitas Indonesia (BEM UI) mengadakan demonstrasi di kawasan Bundaran Hotel Indonesia (HI) di Jakarta Pusat pada 12 Jun lalu.

Dalam protes itu, kumpulan mahasiswa itu mengemukakan beberapa tuntutan kepada pemerintah termasuk menghentikan pemborosan Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN); menurunkan harga barang keperluan asas dan bahan api; menghentikan pengaruh ketenteraan dalam urusan awam; serta mendesak pemerintah mengakui kesilapan dan berhenti mengelak daripada kritikan rakyat.

Menurut Encik Prasetyo, antara langkah utama yang ditekankan Presiden ialah usaha melonggarkan beberapa peraturan dan mempercepat proses kelulusan lesen serta pelaburan bagi mewujudkan iklim perniagaan yang lebih mesra pelabur.

Katanya, langkah itu penting untuk membentuk suasana pelaburan yang lebih kompetitif dan membantu memperkukuh ekosistem ekonomi nasional.

Selain itu, Presiden Prabowo turut memberi perhatian terhadap usaha mempercepat pembangunan industri pemprosesan dan memperkukuh sektor perindustrian negara.

Arahan itu diberikan kepada Menteri Pelaburan merangkap Ketua Badan Koordinasi Penanaman Modal (BKPM) serta Ketua Pegawai Eksekutif Danantara, Encik Rosan Roeslani.

Encik Prasetyo berkata pengukuhan nilai rupiah berkait rapat dengan prestasi eksport dan import Indonesia.

Menurut beliau, usaha memperkukuh pelaburan dan sektor perindustrian diyakini mampu mengurangkan kebergantungan terhadap produk import selain meningkatkan nilai tambah hasil keluaran tempatan.

Beliau berkata pemerintah berharap produk yang dihasilkan melalui proses pemprosesan tempatan dapat memberikan pulangan ekonomi lebih besar kepada negara dalam jangka panjang.

Selain itu, katanya, pemerintah turut melihat keyakinan pelabur asing terhadap Indonesia masih berada pada tahap positif berdasarkan sambutan terhadap penerbitan bon global pertama oleh Danantara Indonesia.

Beliau menegaskan kestabilan politik dan ekonomi amat penting bagi memastikan iklim perniagaan negara terus berkembang.

Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat, pemain pasaran dan sektor ekonomi supaya bekerjasama dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

“Mari kita bersama-sama, seluruh masyarakat, pelaku pasaran dan pelaku ekonomi berganding bahu serta bekerja keras untuk memulihkan dan memperkukuh ekonomi kita,” katanya.

Pada sidang media sama, Encik Rosan berkata kejayaan penerbitan bon global sulung Danantara Indonesia membuktikan bahawa pelabur asing masih mempunyai keyakinan tinggi terhadap ekonomi Indonesia.

Menurut beliau, PT Danantara Investment Management (DIM) berjaya menerbitkan bon antarabangsa pertama bernilai AS$1.5 bilion ($1.9 bilion).

Katanya, penerbitan bon itu menerima sambutan sangat menggalakkan daripada pasaran kewangan antarabangsa apabila nilai tempahan mencecah sekitar AS$4.6 bilion, lebih tiga kali ganda daripada jumlah terbitan.

“Ini membuktikan bahawa keyakinan pelabur terhadap Indonesia masih tinggi dan ia adalah sesuatu yang nyata,” katanya.

Encik Rosan berkata sambutan memberangsangkan itu menunjukkan pelabur global masih melihat Indonesia sebagai destinasi pelaburan yang mempunyai potensi pertumbuhan jangka panjang. – Agensi berita.