JAKARTA: Spekulasi terus meningkat mengenai kesihatan mantan Presiden, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, tetapi pemerintah Indonesia menutup mulut dan hanya memberikan sedikit penjelasan mengenai rawatan perubatan yang biasanya diberikan kepada bekas ketua negara.
Encik Jokowi, yang melepaskan jawatan pada Oktober 2024, tidak hadir dalam acara-acara negara.
Ini termasuk sambutan ulang tahun ke-79 Polis Negara baru-baru ini, juga dikenali sebagai Hari Bhayangkara, yang dihadiri oleh Presiden Prabowo Subianto dan mantan presiden lain.
Mantan presiden berusia 64 tahun itu sebaliknya memilih untuk menghabiskan masa di Bali bersama isteri dan cucunya, seperti yang ditunjukkan dalam catatan media sosialnya.
Ahli politik kanan dan orang kepercayaan rapatnya, Encik Luhut Pandjaitan melawat Encik Jokowi dan berkongsi butirannya dengan ketara menggunakan gambar lama Encik Jokowi dan bukannya yang terbaru di Instagram.
Encik Luhut menyifatkan pertemuan selama sejam itu sebagai hangat, sambil menyatakan walaupun Encik Jokowi masih belum pulih sepenuhnya, beliau tetap bersemangat dan terus meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
“Mereka berdua berkongsi bahawa pemeriksaan kesihatan baru-baru ini menunjukkan perkembangan positif dalam kesihatannya. Lega mendengarnya secara langsung,” tulis Encik Luhut dalam catatannya pada 2 Julai.
Sebelum berpisah, Encik Luhut dan isteri mendoakan agar mantan presiden itu cepat sembuh.
“Semoga Allah angkat segala penyakitnya dan kembalikan kekuatan agar dapat kembali beraktiviti dengan penuh semangat seperti biasa,” tambahnya.
Kebimbangan orang ramai terhadap kesihatan Encik Jokowi pertama kali muncul pada akhir Mei selepas gambar menunjukkan beliau mengalami bengkak dan bintik-bintik hitam di muka dan lehernya semasa temu bual dengan media di luar kediaman peribadinya di Surakarta, Jawa Tengah.
Perubahan yang ketara pada kulitnya telah mencetuskan spekulasi meluas, dengan sesetengahnya mengaitkan keadaan kulitnya dengan penyakit autoimun seperti vitiligo atau psoriasis, manakala yang lain menyatakan beliau mungkin menghidap penyakit yang lebih teruk seperti Sindrom Stevens-Johnson (SJS), gangguan yang sering disebabkan oleh tindak balas alahan.
Kekurangan ketelusan mengenai kesihatan Encik Jokowi telah mencetuskan gelombang spekulasi dalam talian, termasuk dakwaan bahawa mantan presiden itu telah dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal pada Jun.
Pembantunya, Encik Syarif Muhammad Fitriansyah menafikan khabar angin itu dan menolak kebimbangan mengenai kesihatan Encik Jokowi.
Beliau menyatakan Encik Jokowi hanya mengalami “alahan kulit” yang mungkin disebabkan oleh cuaca semasa lawatan lewat April ke Vatican, bagi acara pengebumian mendiang Paus (Pope) Francis bagi pihak Presiden Prabowo. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg