Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemerintah Yaman disokong Saudi isytihar perang terhadap Houthi
Pemerintah Yaman disokong Saudi isytihar perang terhadap Houthi
SANAA: Pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi pada 4 Oktober mengumumkan kempen ketenteraan besar-besaran terhadap kumpulan Houthi, sekali gus membuka kemungkinan medan perang baru ketika konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran semakin meluas di Timur Tengah.
Ketua pemerintah Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa, Encik Rashad al-Alimi, berkata angkatan bersenjatanya akan berusaha merampas semula wilayah yang jatuh ke tangan Houthi sejak 12 tahun lalu.
Pengumuman itu sekali gus mengurangkan harapan tercapainya gencatan senjata dalam masa terdekat selepas pertempuran antara kedua-dua pihak semakin sengit sejak beberapa minggu lalu.
Encik Al-Alimi menegaskan operasi ketenteraan akan diteruskan “sehingga negara dibebaskan”.
Arab Saudi, yang menjadi penyokong utama pemerintah Yaman dari segi kewangan dan ketenteraan, berikrar memberikan “sokongan operasi penuh” kepada kempen tersebut.
Jurucakap pakatan tentera pimpinan Saudi di Yaman, Mejar Jeneral Turki al-Maliki, berkata Riyadh mempunyai hak mempertahankan dirinya daripada serangan Houthi dan akan menyokong tentera Yaman memerangi kumpulan itu sehingga ancamannya dihapuskan.
Menurut beliau, Houthi sudah menyasarkan kapal dan bandar di Arab Saudi serta mengancam kebebasan pelayaran, selain keselamatan serantau dan antarabangsa.
Amerika Syarikat turut memberikan bantuan kepada Arab Saudi, meskipun Presiden Donald Trump sebelum ini menolak permintaan Riyadh supaya tentera Amerika menyerang sasaran Houthi di Yaman.
Lebih 200 pegawai perisikan dan penganalisis tentera Amerika kini membantu Arab Saudi dari pusat arahan di negara itu, termasuk menganalisis dan memilih sasaran bagi menyokong operasi tentera pemerintah Yaman, menurut pegawai Amerika.
Amerika turut menyediakan khidmat pengisian minyak di udara kepada pesawat perang Saudi yang menjalankan rondaan pertahanan udara.
Arab Saudi juga dilaporkan menghantar penasihat tentera ke Yaman bagi membantu menyelaraskan serangan darat tentera pemerintah.
Markas Pusat Amerika (Centcom), yang menyelia operasi ketenteraan Amerika di Timur Tengah, enggan mengulas.
Kempen terbaru itu merupakan kali kedua pemerintah Yaman cuba menewaskan Houthi dengan sokongan besar Arab Saudi.
Pada 2015, pakatan tentera pimpinan Saudi campur tangan selepas Houthi menawan ibu kota Sanaa dan menggulingkan pemerintah.
Namun, perang yang berlarutan itu gagal mengalahkan Houthi dan menyumbang kepada kematian ratusan ribu orang akibat pertempuran, kebuluran dan penyakit.
Gencatan senjata pada 2022 membawa ketenangan yang rapuh sebelum pertempuran tercetus semula tahun ini.
Keganasan terbaru sudah memburukkan lagi krisis kemanusiaan Yaman. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih 800 orang terbunuh sejak awal Ogos, manakala Program Makanan Sedunia (WFP) berkata lebih 150,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka.
Houthi pula memberi amaran akan menyerang kepentingan Arab Saudi sebagai tindak balas terhadap kempen terbaru itu.
Pegawai politik Houthi, Encik Mohammed al-Bukhaiti, menuduh Riyadh berperang di Yaman untuk “memaksakan penguasaannya dan campur tangan dalam keputusan berdaulat”.
Beliau memberi amaran bahawa setiap serangan Saudi ke atas Yaman akan dibalas dengan serangan terhadap kemudahan minyak di Arab Saudi.
Jurucakap tentera Houthi, Encik Yahya Saree, pula berkata kumpulan itu “tidak akan berhenti melancarkan operasi yang lebih menyakitkan terhadap musuh Saudi”.
Ancaman itu meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan kemudahan tenaga Saudi selepas Houthi pada Sabtu mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyebabkan kebakaran di sebuah kemudahan milik syarikat minyak negara, Aramco, di Riyadh.
Arab Saudi mempertikaikan dakwaan Houthi mengenai serangan tersebut.
Pertempuran terbaru bermula pada Julai selepas Houthi menuduh Arab Saudi mengebom lapangan terbang Sanaa.
Houthi kemudian membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu balistik ke Arab Saudi serta mengisytiharkan sekatan terhadap kapal Saudi di Laut Merah.
Kumpulan itu turut mencapai beberapa kejayaan besar di medan perang sejak pertempuran disambung semula, termasuk menguasai kawasan berhampiran Selat Bab al-Mandab, laluan strategik di hujung selatan Laut Merah.
Pada 4 Oktober, Houthi semakin hampir mengepung Taiz, antara bandar terbesar Yaman, selepas menawan Al-Turbah di selatan bandar itu.
Al-Turbah terletak di laluan utama yang menghubungkan Taiz dengan Aden, pusat sementara pemerintah Yaman. Penguasaannya memberikan Houthi kawalan terhadap laluan bekalan penting dan menyebabkan Taiz semakin terasing.
Taiz dianggap amat strategik kerana terletak di persimpangan antara utara Yaman yang dikuasai Houthi, selatan yang dikawal pemerintah dan pantai Laut Merah.
Bekas pegawai kanan Pentagon bagi Timur Tengah, Encik Dan Shapiro, berkata masih belum jelas sama ada Arab Saudi dan sekutunya di Yaman kini mempunyai keupayaan lebih baik untuk mengalahkan Houthi berbanding ketika kempen terdahulu.
Namun, katanya, satu perkara sudah jelas – Houthi kini mempunyai keupayaan ketenteraan yang jauh lebih besar dan mampu melancarkan serangan yang membawa kerosakan besar di Arab Saudi.
Kempen terbaru itu sekali gus meningkatkan risiko perang Yaman kembali menjadi konflik besar serantau, ketika persaingan antara Iran dan sekutu-sekutu Amerika semakin merebak di Timur Tengah.