ISKANDAR PUTERI: Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Malaysia dengan Singapura dijangka dimeterai pada 8 Disember.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Memorandum Persefahaman (MOU) berkenaan kini dalam proses akhir untuk dimuktamadkan.
“Ia adalah hasil kerja keras pelbagai kementerian serta agensi di peringkat Pusat dan negeri serta rakan sejawat di Singapura.
“Di samping mesyuarat yang dilaksanakan melalui pembentukan kumpulan-kumpulan kerja, kandungan perjanjian itu diperincikan lagi dalam Bengkel Perundingan Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Singapura Bagi Pembangunan JS-SEZ yang diadakan pada 28 hingga 30 Ogos lalu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menjawab soalan lisan, Datuk Jefridin Atan (PH-Kukup), dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada 3 Oktober di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Johor, berkaitan tarikh pemeteraian perjanjian JS-SEZ oleh kerajaan Malaysia dan Singapura, serta persiapan menghadapi kesan apabila zon ekonomi itu dilaksanakan nanti.
Datuk Onn Hafiz berkata kerajaan Johor turut merancang beberapa strategi bagi menangani peningkatan kos sara hidup khususnya membabitkan nilai hartanah yang dijangka meningkat di Johor Bahru, susulan pelaksanaan JS-SEZ.
Beliau berkata itu antara cabaran utama dikenal pasti dan perlu diatasi kerajaan negeri serta Pusat dalam memastikan pelaksanaan JS-SEZ dapat memberi manfaat kepada semua golongan.
“JS-SEZ dijangka membawa peningkatan dalam nilai hartanah serta kos sara hidup di kawasan sekitarnya.
“Ini memberi cabaran kepada rakyat tempatan, terutama bagi golongan kurang mampu (B40) dan pertengahan (M40) yang mungkin menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi yang pesat.
“Bagi menangani isu itu, kita merangka dasar bertujuan meningkatkan kuantiti projek perumahan mampu milik untuk rakyat Johor terutama di kawasan JS-SEZ,” katanya.
Datuk Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap berkata antara cabaran lain perlu ditangani ialah persaingan tenaga kerja mahir dan risiko berlaku ketidakseimbangan pembangunan, prasarana dan ekonomi antara daerah di negeri itu.
“Antara tindakan telah dan sedang dilaksanakan termasuk membangunkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor atau Johor Talent Development Council (JTDC), selain memperkasa usahawan tempatan supaya mereka mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Tumpuan pembangunan yang intensif di kawasan JS-SEZ juga berpotensi menyebabkan ketidakseimbangan pembangunan di kawasan luar bandar atau yang tidak termasuk dalam zon ekonomi ini.
“Namun, Johor beriltizam memastikan pembangunan yang berlaku di JS-SEZ akan diluaskan ke daerah lain, demi memastikan pembangunan seimbang dan inklusif,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg