Singapura dan Malaysia akan berusaha ke arah menandatangani Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) semasa Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-11.
Draf perjanjian itu dibincangkan oleh Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) dalam sebuah mesyuarat khas pada 7 November di Johor Bahru, menurut satu kenyataan bersama JMCIM.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, dan Menteri Ekonomi Malaysia, Encik Mohd Rafizi Ramli.
Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; dan pegawai kanan dari kededua negara.
JS-SEZ bermatlamat membawa manfaat bersama kepada perniagaan dan orang ramai dari kededua negara, termasuk meningkatkan aliran barangan dan orang ramai, menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan, dan menyokong pembangunan bakat.
Kenyataan bersama itu menambah bahawa JMCIM akan berusaha ke arah “menyegarkan struktur organisasinya (JS-SEZ) pada tahun akan datang untuk lebih menyokong cita-cita dan pembangunan JS-SEZ, sambil memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang lain, seperti pengangkutan dan alam sekitar”.
JMCIM berharap dapat bersidang lagi pada separuh pertama 2025 di Malaysia untuk mengekalkan momentum positif kerjasama dua hala itu.
JS-SEZ diumumkan secara rasmi pada Oktober 2023 semasa lawatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Singapura bagi Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10.
Projek itu bakal dibangunkan di kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang, Johor, membabitkan kawasan seluas 3,505 kilometer persegi di selatan Johor. Keluasannya dianggarkan lebih empat kali ganda saiz Singapura.
Sebelum ini, rancangan Malaysia hendak memuktamadkan perjanjian JS-SEZ pada September dibatalkan, dan perbincangan lanjut dijangka diadakan hingga Rahat Pemimpin ke-11 yang berkemungkinan diadakan pada Disember.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg