Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rancangan negara Arab bina semula Gaza dijangka cecah AS$20b

Feb 19, 2025 | 2:11 PM
Presiden Mesir Encik Abdel Fattah al-Sisi dijangka berkunjung ke Riyadh, Arab Saudi, pada 20 Februari bagi membincangkan rancangan negara Arab untuk membangunkan semula Gaza.
Presiden Mesir Encik Abdel Fattah al-Sisi dijangka berkunjung ke Riyadh, Arab Saudi, pada 20 Februari bagi membincangkan rancangan negara Arab untuk membangunkan semula Gaza. - Foto REUTERS

KAHIRAH/RIYADH: Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dijangka berkunjung ke Riyadh, Arab Saudi pada 20 Februari bagi membincangkan rancangan negara-negara Arab untuk membangunkan semula Gaza yang menelan belanja AS$20 bilion ($26.8 bilion), kata dua sumber keselamatan Mesir.

Negara Arab dijangka membincangkan rancangan pascaperang untuk Gaza bagi menentang cadangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduk Palestin secara paksa.

Arab Saudi, Mesir, Jordan, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar bersedia mengkaji dan membincangkan rancangan tersebut apabila mereka dijangka bertemu di ibu negara Arab Saudi itu pada 21 Februari.

Rancangan itu kemudian akan dibentangkan dalam sidang puncak Arab yang dijadual berlangsung di Kahirah pada 4 Mac, kata empat sumber yang mengetahui mengenai perkara itu.

Negara Arab kecewa dengan rancangan Encik Trump untuk “membersihkan” rakyat Palestin dari Gaza dan menempatkan mereka di Jordan dan Mesir.

Idea itu segera ditolak oleh Kahirah dan Amman. Wilayah Gaza dilihat oleh negara Arab sebagai sangat tidak stabil.

Cadangan Arab, kebanyakannya berdasarkan rancangan Mesir, melibatkan pembentukan jawatankuasa kebangsaan Palestin untuk mentadbir Gaza tanpa penglibatan Hamas dan penyertaan antarabangsa dalam pembinaan semula tanpa memindahkan penduduk Palestin ke negara lain.

Dana sekitar AS$20 bilion bagi projek itu dijangka disumbangkan oleh negara Arab dan Teluk, kata sumber itu lagi.

Pakar akademik, Encik Abdulkhaleq Abdullah, berpendapat rancangan itu mungkin boleh menjadi insentif yang baik untuk Encik Trump menerimanya.

“Ini akan memberi manfaat kepada banyak syarikat Amerika dan Israel,” tambah beliau.

Kabinet Penguasa Palestin berkata dalam satu kenyataan pada 18 Februari bahawa fasa pertama rancangan yang dibincangkan itu akan menelan belanja sekitar AS$20 bilion dalam tempoh tiga tahun.

Sumber Mesir berkata perbincangan masih dijalankan mengenai saiz sumbangan kewangan oleh negara di rantau itu.

“Perbualan saya dengan pemimpin Arab, terbaru dengan Raja Abdullah dari Jordan, telah meyakinkan saya mereka mempunyai penilaian yang benar-benar realistik tentang peranan mereka yang sepatutnya,” kata Senator Amerika, Encik Richard Blumenthal, di Tel Aviv semasa lawatan ke Israel pada 17 Februari.

Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, berkata Israel sedang menunggu untuk menilai rancangan tersebut tetapi memberi amaran sebarang rancangan melibatkan Hamas tidak akan diterima. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg