Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin Arab, negara Islam tuntut perang Gaza dihenti segera

Nov 12, 2023 | 3:09 PM
CARI HURAIAN SEGERA: Pemimpin negara semasa sidang puncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh, Arab Saudi, pada Sabtu.
CARI HURAIAN SEGERA: Pemimpin negara semasa sidang puncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh, Arab Saudi, pada Sabtu. - Foto REUTERS

RIYADH: Arab Saudi dan negara-negara Islam yang lain pada Sabtu menggesa agar ditamatkan operasi ketenteraan di Gaza dengan serta-merta.

Mereka turut menolak alasan Israel akan tindakannya terhadap warga Palestin yang dianggap sebagai mempertahankan diri.

Arab Saudi telah berusaha menggesa Amerika Syarikat dan Israel agar menamatkan permusuhan di Gaza, dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, pemimpin de facto kerajaan itu, telah menghimpunkan para pemimpin Arab dan Islam untuk mengukuhkan mesej tersebut. 

Puluhan pemimpin termasuk Presiden Iran, Encik Ebrahim Raisi; Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan; Amir Qatar, Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani; dan Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, yang disambut kembali ke dalam Liga Arab 2023, turut menghadiri sidang itu.

Putera Mohammed mengutuk peperangan itu.

“Kita sedang menghadapi bencana kemanusiaan yang membuktikan kegagalan Majlis Keselamatan dan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan pencabulan terang-terangan Israel terhadap undang-undang antarabangsa,” katanya dalam ucapan di sidang puncak itu. 

Presiden Palestin Encik Mahmoud Abbas menggesa Amerika Syarikat supaya menamatkan “pencerobohan” Israel. 

Timur Tengah berada di ambang tidak menentu sejak kumpulan Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober, mengorbankan lebih 1,400 jiwa. 

Sejak itu, Israel telah meningkatkan serangan ke atas Gaza, di mana 11,078 orang terbunuh sehingga Jumaat, 40 peratus daripada mereka kanak-kanak, menurut pegawai Palestin. 

Pertempuran dipergiat semalaman hingga Sabtu berhampiran hospital-hospital yang penuh sesak di Bandar Gaza, kata seorang pegawai Palestin. 

Seorang bayi meninggal dunia di dalam inkubator di hospital terbesar di Gaza apabila tempat itu kehilangan sumber tenaga, dan seorang pesakit dalam unit jagaan rapi pula terbunuh oleh bom Israel, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

Kunjungan Encik Raisi ke Arab Saudi adalah yang pertama oleh ketua negara itu dalam masa lebih sedekad.

Teheran dan Riyadh secara rasmi mengakhiri permusuhan selama bertahun-tahun di bawah perjanjian pada Mac yang menyaksikan China selaku perantara.

Encik Erdogan pula menyeru agar diadakan persidangan damai antarabangsa untuk mencari penyelesaian kekal bagi konflik antara Israel dengan Palestin.

“Apa yang kita perlukan di Gaza bukan yang berupa (gencatan senjata) seketika selama beberapa jam, sebaliknya kita memerlukan gencatan senjata yang kekal,” kata Encik Erdogan semasa sidang kemuncak itu.

Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, menambah huraian perlu dicari bagi melaksanakan gencatan senjata dengan segera.

Beliau berkata: “OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) mesti menggunakan semua sudut untuk meminta Israel bertanggungjawab ke atas kekejaman kemanusiaan yang telah dilakukannya.” – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg