Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin Brics dijangka kecam dasar tarif Trump dalam pertemuan di Rio

Jul 5, 2025 | 4:29 PM
Brics, dagangan dunia, tarif
Sidang Kemuncak Brics 2025 akan diadakan di Muzium Seni Moden (MAM) di Rio de Janeiro, Brazil, pada 6 hingga 7 Julai. - Foto AFP

RIO DE JANEIRO: Para pemimpin pertubuhan antara pemerintah Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) yang akan bertemu di Rio de Janeiro, Brazil, mulai 6 Julai dijangka mengecam dasar perdagangan yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, namun menghadapi masalah untuk mencapai kata sepakat mengenai krisis yang melanda Timur Tengah.

Negara-negara membangun yang mewakili sekitar separuh daripada penduduk dunia dan 40 peratus keluaran ekonomi global itu dijangka bersatu dalam membantah tarif import Amerika yang dianggap tidak adil, menurut para sumber yang mempunyai maklumat mengenai rundingan tersebut.

Sejak mengambil alih jawatan pada Januari, Encik Trump telah mengancam rakan dan pesaing dagang melalui pelbagai jenis tarif.

Langkah terbarunya termasuk penghantaran surat mulai 4 Julai untuk memaklumkan rakan dagang mengenai kadar tarif baru yang dijangka berkuat kuasa pada 9 Julai.

Diplomat daripada 11 negara membangun itu, termasuk Indonesia, Iran, Mesir, Habsyah dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) sedang sibuk merangka kenyataan mengecam ketidaktentuan ekonomi yang didorong oleh langkah tarif Amerika.

Pengisytiharan akhir persidangan tersebut dijangka tidak akan menyebut nama negara atau presidennya secara langsung. Namun, ia dijangka menjadi serangan politik yang jelas ditujukan kepada Washington.

“Kami menjangkakan persidangan dengan nada berhati-hati... sukar untuk menyebut Amerika secara langsung dalam pengisytiharan akhir,” kata Profesor Adjung Marta Fernandez, pengarah Pusat Dasar Brics di Universiti Katolik Pontifikal, Rio.

Tindakan ini khususnya melibatkan China, yang baru-baru ini mengadakan rundingan dengan Amerika untuk mengurangkan tarif timbal balas yang tinggi.

“Ini bukan masa sesuai untuk mencetuskan ketegangan lebih lanjut antara dua ekonomi terkemuka dunia,” kata Profesor Fernandez.

Ditubuhkan dua dekad lalu sebagai forum untuk ekonomi yang berkembang pesat, Brics kini dilihat sebagai satu usaha yang dipacu China untuk menjadi penyeimbang bagi kuasa Barat.

Namun, kesan politik persidangan itu dijangka berkurangan akibat ketidakhadiran Presiden China, Encik Xi Jinping, yang buat kali pertama dalam 12 tahun tidak menghadiri mesyuarat tahunan itu.

“Saya menjangkakan akan ada spekulasi mengenai sebab ketidakhadiran Encik Xi,” kata mantan pengarah China di Majlis Keselamatan Negara Amerika, Encik Ryan Hass.

“Penjelasan paling mudah mungkin memiliki kuasa penerangan yang paling kuat – baru-baru ini, Encik Xi telah menjadi tuan rumah kepada Presiden Lula di Beijing,” tambah Encik Hass.

Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, juga tidak akan hadir secara fizikal di persidangan itu dan akan menyertainya menerusi pautan video, menurut Kremlin.

Ketidakhadiran Encik Putin dan hakikat bahawa Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, menjadi tetamu terhormat di Brazil mungkin turut mempengaruhi keputusan Encik Xi untuk tidak menghadiri persidangan tersebut kerana beliau “enggan kelihatan ditenggelamkan oleh Encik Modi”, jelas Encik Hass.

Bagaimanapun, ketidakhadiran Encik Xi merupakan satu tamparan kepada tuan rumah, Presiden Luiz Inacio Lula da Silva (Lula), yang mahu Brazil memainkan peranan lebih besar di pentas dunia. – AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg