RIO DE JANEIRO: Pemimpin-pemimpin kumpulan negara membangun Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) yang semakin berkembang dijadual berhimpun di Rio de Janeiro, Brazil, pada 6 Julai.
Dalam sidang puncak itu, mereka dijangka menyeru kepada pembaharuan institusi-institusi tradisional Barat serta mengangkat peranan kumpulan tersebut sebagai pembela kerjasama pelbagai hala dalam dunia yang semakin berpecah belah.
Dengan forum seperti Kumpulan Tujuh (G7) dan Kumpulan 20 (G20) yang terjejas akibat perpecahan dalaman, serta pendekatan ‘America First’ oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang mengutamakan kepentingan Amerika berbanding negara lain, peluasan keanggotaan Brics telah membuka platform baru untuk penyelarasan diplomatik.
“Dalam menghadapi kebangkitan semula perlindungan perdagangan, menjadi tanggungjawab negara-negara membangun untuk mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala dan membaharui seni bina kewangan antarabangsa,” kata Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva (Lula), dalam forum perniagaan Brics pada 5 Julai.
Presiden Lula berkata negara-negara Brics kini mewakili lebih separuh daripada penduduk dunia dan 40 peratus keluaran ekonomi global.
Kumpulan Brics menghimpunkan pemimpin dari Brazil, Russia, India dan China dalam sidang puncak pertamanya pada 2009.
Kumpulan itu kemudian disertai Afrika Selatan, dan pada 2024, Mesir, Habsyah, Indonesia, Iran, Arab Saudi serta Amiriah Arab Bersatu (UAE) menganggotainya sebagai anggota penuh.
Sidang kemuncak kali ini merupakan yang pertama melibatkan penyertaan Indonesia.
“Kekosongan yang ditinggalkan oleh pihak lain segera diisi oleh Brics,” kata seorang diplomat Brazil yang enggan dinamakan.
Walaupun G7 masih memegang kuasa yang besar, sumber itu menambah bahawa “pengaruhnya tidak lagi seperti dahulu”.
Namun, wujud persoalan mengenai matlamat bersama dalam kumpulan Brics yang semakin rencam kerana ia kini merangkumi pesaing serantau serta ekonomi pesat membangun.
Sidang puncak 2025 ini turut menjadi tumpuan kerana Presiden China, Encik Xi Jinping, memilih untuk menghantar perdana menterinya sebagai wakil, manakala Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, menyertai persidangan ini secara dalam talian berikutan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Namun, ramai pemimpin negara lain akan berhimpun untuk perbincangan di Muzium Seni Moden Rio pada 6 dan 7 Julai, termasuk Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, dan Presiden Afrika Selatan, Encik Cyril Ramaphosa.
Lebih 30 negara telah menyatakan minat untuk menyertai Brics, sama ada sebagai anggota penuh atau rakan dialog.
Peluasan keanggotaan Brics telah memperkukuh pengaruh diplomatik kumpulan itu, yang beraspirasi untuk mewakili negara-negara membangun di Dunia Selatan (Global South), sambil mempergiat seruan bagi pembaharuan institusi global seperti Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
Peluasan keanggotaan Brics juga meningkatkan cabaran kumpulan itu dalam mencapai kata sepakat mengenai isu geopolitik yang kontroversial.
Menjelang sidang puncak, para perunding menghadapi kesukaran mencari kesepakatan dalam mengeluarkan kenyataan bersama mengenai pengeboman Gaza, konflik Israel-Iran dan cadangan pembaharuan Majlis Keselamatan, menurut dua sumber yang enggan nama mereka didedahkan.
Dalam pada itu, Brics juga akan meneruskan kritikan secara halus terhadap dasar tarif Amerika yang diumumkan Presiden Trump.
Dalam mesyuarat para menteri pada April, kumpulan tersebut menyuarakan kebimbangan terhadap “langkah perlindungan satu hala yang tidak berasas, termasuk kenaikan tarif timbal balik yang tidak terkawal”. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg