Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin dunia gesa Israel, Hezbollah elak konflik meruncing

Sep 23, 2024 | 2:57 PM
Roket yang diluncurkan Hezbollah melanda daerah Kiryat Bialik, bandar terbesar Israel di utara Haifa, menyebabkan sebuah bangunan dan beberapa kereta terbakar.
Roket yang diluncurkan Hezbollah melanda daerah Kiryat Bialik, bandar terbesar Israel di utara Haifa, menyebabkan sebuah bangunan dan beberapa kereta terbakar. - Foto AFP

HAIFA (Israel): Hezbollah dan Israel mengancam meningkatkan serangan rentas sempadan di sebalik gesaan antarabangsa agar mereka meredakan ketegangan dan sekali gus mengelak tercetusnya peperangan.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dalam komennya selepas serangan roket yang hebat dari Lebanon, berkata bahawa Israel telah memberikan “pukulan hebat ke atas Hezbollah yang tidak pernah dibayangkan”.

Timbalan ketua Hezbollah, Encik Naim Qassem, berkata kumpulan itu berada dalam “fasa baru” dalam pertempuran menentang Israel.

Mereka menyatakan demikian selepas serangan ke atas utara Israel yang menyebabkan ratusan ribu orang melarikan diri ke tempat perlindungan dan kerosakan di kawasan Haifa.

“Tiada negara boleh bertolak ansur dengan serangan ke atas rakyatnya,” kata Encik Netanyahu.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, berkata: “Tindakan ketenteraan akan berterusan sehingga kita mencapai tahap yang membolehkan penduduk di utara Israel pulang dengan selamat ke rumah mereka”.

Ketua Tentera Israel, Leftenan Jeneral Herzi Halevi, dalam satu kenyataan video berikrar untuk “menyerang sesiapa sahaja yang mengancam” warga Israel.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berkata pentadbirannya “akan melakukan segala yang kami mampu untuk mengelakkan perang yang lebih luas daripada meletus”.

Menjelang Perhimpunan Agung tahunan, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, memberi amaran tentang risiko Lebanon menjadi “satu lagi Gaza”.

Kesatuan Eropah yang terdiri daripada 27 negara “sangat bimbang” tentang keganasan yang semakin meningkat dan menggesa gencatan senjata “segera”, kata ketua dasar luarnya, Encik Josep Borrell.

Setiausaha Luar Britain, Encik David Lammy, menggesa kedua-dua pihak supaya mencapai “gencatan senjata segera” berikutan “peningkatan yang membimbangkan”.

Tentera Israel berkata lebih 150 roket, peluru berpandu dan dron ditembak ke wilayahnya pada waktu malam dan awal 22 September, kebanyakannya dari Lebanon.

Serangan Hezbollah ke atas Kiryat Bialik berhampiran bandar terbesar Israel di utara Haifa itu, menyebabkan sebuah bangunan terbakar, sebuah lagi mengalami kerosakan ringan dan beberapa kenderaan terbakar.

Serangan udara Israel di kubu kuat Hezbollah di selatan Beirut pada 20 September telah membunuh ketua Pasukan Radwan elit Hezbollah Ibrahim Aqil dan 44 yang lain.

Ia berlaku selepas beberapa siri letupan peranti komunikasi Hezbollah yang mengorbankan 39 orang dan mencederakan hampir 3,000 orang.

Lebanon mempersalahkan Israel atas serangan dengan meletupkan alat kelui dan ‘walkie-talkie’ yang digunakan anggota Hezbollah. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg