NEW YORK: Pemimpin dunia berhimpun di New York mulai 22 September bagi Perbahasan Umum peringkat tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-81, dengan tema “memulihkan kepercayaan”.

Hampir 130 ketua negara dan pemerintah dijangka menghadiri pertemuan ketika konflik berpanjangan bukan sahaja mengancam keselamatan antarabangsa, malah meningkatkan tekanan terhadap ekonomi dunia.

Tema rasmi, ‘Memulihkan kepercayaan, mengurus perubahan: PBB yang berkhidmat untuk semua’, mencerminkan cabaran yang dihadapi masyarakat antarabangsa ketika peperangan, persaingan kuasa besar dan gangguan perdagangan semakin saling berkait.

Sesi Perhimpunan Agung secara rasmi bermula pada 8 September manakala Perbahasan Umum yang menjadi acara kemuncak berlangsung sehingga 26 September sebelum berakhir dengan ucapan penutup pada 28 September.

Perang di Ukraine serta konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran dijangka menjadi antara isu utama perbahasan, dengan kesannya semakin dirasakan jauh di luar medan perang.

Gangguan terhadap eksport makanan, baja dan tenaga melalui Laut Hitam, ketegangan di Selat Hormuz dan Bab el-Mandab serta ancaman terhadap kemudahan minyak di Asia Barat memberi tekanan kepada rantaian bekalan global.

Keadaan itu mencetuskan kebimbangan terhadap kenaikan harga tenaga, makanan dan kos pengangkutan yang boleh mendorong inflasi lebih tinggi, terutama di negara membangun.

Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, memberi amaran bahawa negara miskin dan membangun paling terdedah kepada kesan ekonomi daripada konflik tersebut kerana mempunyai sumber kewangan lebih terhad untuk menangani kenaikan harga.

Negara maju mungkin mempunyai ruang lebih besar untuk menyerap kenaikan kos tenaga dan kadar faedah, tetapi banyak negara membangun berdepan tekanan serentak daripada harga makanan dan bahan api yang tinggi serta gangguan bekalan baja.

Keadaan itu menunjukkan bagaimana konflik yang bermula di satu rantau boleh dengan pantas memberi kesan kepada kehidupan penduduk di negara lain melalui harga makanan, bahan api dan barangan keperluan.

Perang di Ukraine, misalnya, memberi kesan kepada perdagangan melalui Laut Hitam, laluan penting bagi eksport bijirin dan baja ke pasaran antarabangsa.

Di Asia Barat pula, ketegangan di Selat Hormuz menimbulkan kebimbangan kerana laluan sempit itu merupakan antara saluran utama penghantaran minyak dan gas dunia.

Bab el-Mandab, yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden, juga penting kepada perdagangan antarabangsa kerana kapal yang melalui Terusan Suez perlu menggunakan laluan tersebut untuk bergerak antara Asia dan Eropah.

Gangguan di laluan-laluan strategik itu boleh memaksa kapal mengambil perjalanan lebih jauh, sekali gus meningkatkan kos pengangkutan dan akhirnya harga barangan kepada pengguna.

Dalam keadaan tersebut, Encik Guterres berkata dunia semakin berdepan konflik yang lebih banyak dan kompleks pada ketika perpecahan geopolitik turut melemahkan kemampuan masyarakat antarabangsa bertindak secara bersama.

Beliau berkata penglibatan atau kepentingan kuasa besar dalam beberapa konflik utama menyebabkan Majlis Keselamatan PBB semakin sukar mencapai kata sepakat.

“Keadaan dunia semakin buruk,” katanya sambil memberi amaran bahawa golongan paling terdedah terus menanggung kesan paling berat.

Menurut beliau, kebuntuan antara kuasa besar turut menyumbang kepada keadaan apabila undang-undang antarabangsa semakin kerap dilanggar tanpa pertanggungjawaban yang berkesan.

Cabaran itu menjadikan tema “memulihkan kepercayaan” lebih mendesak, bukan sahaja dalam usaha menghentikan peperangan tetapi juga bagi mengelakkan konflik daripada terus menggugat kestabilan ekonomi dunia.

Mengikut tradisi diplomatik PBB, Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, dijadualkan menjadi pemimpin negara pertama berucap dalam Perbahasan Umum, diikuti Presiden Amerika, Encik Donald Trump, sebagai pemimpin negara tuan rumah.

Turut dijadualkan berucap pada hari pembukaan ialah Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan; Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; Raja Abdullah II dari Jordan dan Presiden Kyrgyzstan, Encik Sadyr Japarov.

Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, dan beberapa pemimpin lain turut dijadualkan menyampaikan ucapan sepanjang perhimpunan tersebut.

Perhimpunan tahun ini juga merupakan yang terakhir bagi Encik Guterres sebagai Setiausaha Agung sebelum penggalnya berakhir pada 31 Disember.

Beliau telah menggesa pembaharuan PBB, termasuk Majlis Keselamatan, dengan alasan struktur semasa masih mencerminkan keseimbangan kuasa selepas Perang Dunia Kedua dan tidak sepenuhnya menggambarkan realiti geopolitik hari ini.

Namun, cabaran paling segera yang bakal mendominasi pertemuan di New York ialah bagaimana masyarakat antarabangsa dapat menangani konflik yang semakin saling berkait dengan ekonomi global.

Ketika peperangan mengganggu bekalan tenaga, makanan dan perdagangan, usaha “memulihkan kepercayaan” akan bergantung kepada kemampuan pemimpin dunia mencari ruang kerjasama meskipun hubungan antara kuasa besar semakin tegang. – Agensi berita.