BELEM, Brazil: Para pemimpin dunia yang menghadiri sidang puncak iklim di Brazil melancarkan dana pada 6 November untuk menyelamatkan hutan seantero dunia, dengan cepat memperoleh lebih AS$5 bilion (S$6.52 bilion) dalam ikrar untuk memberi ganjaran kepada negara-negara tropika yang melestari hutan.
Komitmen awal beberapa negara itu masih jauh daripada apa yang diperlukan untuk dana tersebut menarik pelaburan swasta, tetapi Presiden Brazil Encik Luiz Inacio Lula da Silva masih menyifatkan Kemudahan Hutan Tropika Selama-lamanya (TFFF) itu sebagai sesuatu yang belum pernah terjadi sebelumnya.
Akhirnya, Brazil penaja politik dana tersebut berusaha untuk mendapatkan pembiayaan sebanyak AS$125 bilion bagi membayar sebahagian keuntungan kepada negara-negara membangun yang lestarikan setiap hektar hutan di negara masing-masing.
Pelabur swasta juga akan menerima pulangan daripada dana yang dilaburkan terutamanya dalam bon pasaran baru muncul.
“Dana sedemikian, yang akan membantu kami, datang pada masa yang tepat,” kata Encik Abe Assamoi, wakil Ivory Coast, sebuah bandar di pinggir hutan hujan Amazon.
“Kita sememangnya telah kehilangan banyak hutan, tetapi kita telah melaksanakan strategi komprehensif untuk menghutankan semula negara kita. Kita mempunyai matlamat yang bercita-cita tinggi tetapi ini memerlukan wang,” tambahnya.
Dana itu dilancarkan di Belem pada 6 November ketika ketua-ketua negara bertemu menjelang pusingan tahunan rundingan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermula minggu depan.
Pengurus dana membayangkan untuk mengumpul sumbangan awal sebanyak AS$10 bilion dalam tempoh setahun, angka yang disemak semula ke bawah berikutan respons awal yang hambar.
AS$10 bilion itu harus ditingkatkan kepada AS$25 bilion dalam jangka masa panjang – wang permulaan yang kemudiannya akan menarik pelaburan swasta bernilai AS$100 bilion lagi.
Brazil berharap dana itu akan mewujudkan aliran pendapatan jangka panjang, alternatif kepada negara-negara tropika yang menebang hutan untuk meriah keuntungan ekonomi.
Hutan bumi sering digambarkan sebagai paru-parunya, mengeluarkan oksigen dan menyerap karbon yang memanaskan planet sambil menempatkan pelbagai jenis haiwan dan tumbuhan.
Brazil telah membuat ikrar pertama sebanyak AS$1 bilion untuk dana itu, yang dipadankan oleh negara perhutanan Indonesia.
United Kingdom berkata ia tidak akan menyumbang, sementara Finland menyatakan ia “sukar untuk mencari sumber baru” dalam iklim ekonomi yang tidak menentu.
Perancis menjanjikan €500 juta (S$752.66 juta), Portugal menambah US$1 juta dan Jerman membuat komitmen yang tidak dinyatakan. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg