Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemimpin dunia sambut baik perjanjian damai AS-Iran
Pemimpin dunia sambut baik perjanjian damai AS-Iran
Pemimpin dunia sambut baik perjanjian damai AS-Iran
WASHINGTON: Pemimpin dunia menyambut baik pengumuman Presiden Donald Trump mengenai persetujuan damai antara Amerika Syarikat dengan Iran yang dijangka menamatkan konflik serantau.
Ia juga dijangka membuka semula Selat Hormuz, laluan maritim penting dunia yang sebelum ini terjejas akibat perang.
Encik Trump berkata perjanjian itu akan membawa kepada pembukaan semula Selat Hormuz pada 19 Jun selepas proses memuktamadkan selesai, sekali gus menamatkan sekatan laut Amerika ke atas pelabuhan Iran.
“Kapal-kapal dunia, hidupkan semula enjin anda,” kata Encik Trump menerusi media sosial, sambil menggambarkan keyakinannya terhadap pemulihan perdagangan global.
Selat Hormuz merupakan laluan utama eksport minyak dan gas dunia.
Ketegangan sejak Februari lalu menyebabkan banyak kapal dagang terkandas dan menjejaskan rantaian bekalan sedunia serta ekonomi antarabangsa.
Konflik tercetus selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada akhir Februari, sebelum Tehran bertindak balas dengan menyasarkan kapal perdagangan di rantau itu.
Iran sebelum ini mencadangkan sistem bayaran tol untuk kapal yang melalui Selat Hormuz dengan kerjasama Oman, namun cadangan tersebut ditentang masyarakat antarabangsa kerana dianggap melanggar undang-undang maritim antarabangsa.
Encik Trump berkata laluan itu akan dibuka semula tanpa sebarang bayaran tol dikenakan.
Walaupun butiran penuh perjanjian belum diumumkan, berita mengenai persetujuan itu segera disambut baik banyak negara yang bergantung kepada kestabilan perdagangan tenaga dunia.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menyambut baik pengumuman tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah kritikal ke arah penyelesaian aman konflik.
“Ini adalah langkah penting ke arah penyelesaian damai yang menyediakan gencatan senjata segera dan kekal serta pembukaan semula Selat Hormuz,” menurut jurucakap beliau.
Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, menyifatkan perjanjian tersebut sebagai “langkah amat penting” untuk menamatkan perang dan memulihkan kestabilan serantau.
“Kebebasan pelayaran tanpa bayaran tol di Selat Hormuz mesti dipulihkan segera,” katanya.
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, turut menyatakan sokongan terhadap usaha membuka semula laluan itu.
Menurut beliau, misi antarabangsa yang diwujudkan bersama Britain bersedia membantu memastikan keselamatan pelayaran.
“Penyambungan semula trafik maritim tanpa sekatan atau bayaran tol adalah syarat penting bagi kestabilan serantau dan ekonomi global,” katanya.
Canselor Jerman, Encik Friedrich Merz, pula berkata perkembangan itu mampu membuka jalan kepada ekonomi dunia yang lebih kukuh dan Asia Barat yang lebih selamat.
Menteri Luar New Zealand, Encik Winston Peters, berkata gangguan di Selat Hormuz sebelum ini memberi kesan besar kepada ekonomi negaranya.
“Perjanjian konstruktif ini adalah langkah penting untuk mengurangkan ketegangan dan memulihkan kestabilan di rantau yang kritikal kepada keselamatan ekonomi sedunia,” katanya.
Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, pula menyifatkan persefahaman itu sebagai perkembangan besar ke arah penyelesaian konflik.
Jepun amat bergantung kepada minyak Asia Barat dengan kira-kira 95 peratus import minyaknya datang dari rantau tersebut.
“Kami berharap pelayaran bebas dan selamat di Selat Hormuz benar-benar dapat dipastikan,” katanya.
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, turut berharap perjanjian itu membuka jalan kepada keamanan berkekalan di Asia Barat.
Britain, Perancis, Jerman dan Italy turut mengeluarkan kenyataan bersama menegaskan bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear.
“Kami bersedia bekerjasama dengan Amerika, Iran dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi memastikan matlamat itu dicapai,” menurut kenyataan tersebut.
Qatar dan Pakistan memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam rundingan damai itu.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, berkata negaranya berharap semua pihak akan meneruskan rundingan seterusnya secara positif dan membina.
Walaupun pengumuman itu disambut baik dunia, beberapa isu utama masih belum diselesaikan termasuk rundingan mengenai program nuklear Iran.
Perkara itu dijangka dibincangkan dalam rundingan susulan dalam tempoh 60 hari selepas perjanjian awal dimeterai.
Pemerhati antarabangsa melihat perkembangan terbaru ini sebagai titik perubahan penting selepas beberapa bulan ketegangan yang menggugat ekonomi dunia dan keselamatan tenaga global.
Dengan pembukaan semula Selat Hormuz dijangka berlaku dalam beberapa hari lagi, pasaran global kini berharap laluan perdagangan utama dunia itu kembali stabil dan mampu memulihkan keyakinan ekonomi antarabangsa. – Agensi berita.
