WASHINGTON: Pemenang pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 5 November akan mentadbir negara yang mempunyai lebih 330 juta penduduk, tetapi pertandingan itu hampir pasti akan diputuskan oleh hanya puluhan ribu pengundi di segelintir negeri.
Ini kerana hanya tujuh daripada 50 negeri yang menyaksikan persaingan hebat.
Selebihnya kecondongan pengundi memilih Demokrat atau Republikan adalah jelas, menurut tinjauan pendapat umum.
Di antara tujuh negeri penentu itu, Pennsylvania, yang paling ramai penduduk, menonjol sebagai negeri yang paling berkemungkinan untuk menentukan sama ada calon Demokrat, Cik Kamala Harris atau calon Republikan, Encik Donald Trump, bakal menerajui Amerika.
Strategi calon mencerminkan realiti ini, dengan sebahagian besar perbelanjaan iklan dan acara kempen mereka ditujukan kepada tujuh negeri yang boleh bertukar sokongan kepada parti politik.
Tidak seperti pilihan raya lain, Pilihan Raya Presiden tidak berdasarkan undi popular semata-mata.
Sebaliknya, di bawah sistem yang dikenali sebagai badan perwakilan pemilih, calon yang menang di setiap negeri, serta Washington DC, menerima undi pilihan raya negeri itu, yang sebahagian besarnya berdasarkan penduduknya.
Seorang calon perlu memenangi majoriti 538 undi atau sekurang-kurangnya 270 undi, yang mungkin berlaku walaupun beliau kehilangan keseluruhan undi nasional seperti yang dihadapi Encik Trump ketika memenangi Rumah Putih pada 2016.
Sekiranya berlaku seri 269-269, Dewan Perwakilan Amerika akan memilih pemenang, dengan setiap delegasi negeri mendapat satu undian – senario yang menurut penganalisis mungkin akan memihak kepada mantan Presiden Trump.
Jika setiap negeri selain daripada medan pertempuran mengundi seperti yang dijangkakan, itu akan memberikan Naib Presiden Cik Harris sebanyak 226 undi dan Encik Trump sebanyak 219 undi, dengan baki 93 undi untuk direbut.
Tujuh negeri yang boleh menjadi penentu itu ialah Michigan, Pennsylvania dan Wisconsin serta Arizona, Georgia, Nevada dan North Carolina.
Michigan, Pennsylvania dan Wisconsin telah menjadi kubu Demokrat untuk satu generasi.
Tetapi, pada 2016, Encik Trump hampir memenangi ketiga-tiga negeri itu ketika menentang calon Demokrat Cik Hillary Clinton.
Empat tahun kemudian, Encik Joe Biden memenangi jawatan presiden selepas menawan semula Michigan, Wisconsin dan Pennsylvania untuk Demokrat yang turut mencatatkan kemenangan mengejut di Georgia dan Arizona, dua negeri yang secara sejarah mengundi Republikan.
Sehingga 3 November, tinjauan pendapat awam oleh New York Times menunjukkan kesemua tujuh negeri medan pertempuran menyaksikan pertarungan sengit. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg