Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin Islam sertai sidang damai di Rome, gesa henti konflik sejagat

Oct 27, 2025 | 11:10 AM
Pemimpin Islam, sidang damai di Rome, hentikan konflik global
Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed Al-Tayeb, berucap dalam Sidang Antarabangsa Dialog dan Doa Demi Keamanan, di Rome, Italy, yang mengangkat tema, ‘Keberanian Demi Keamanan’. - Foto KOMUNITI SANT’EGIDIO

ROME: Para pemimpin Islam terkemuka berkumpul di Rome untuk menghadiri, Sidang Antarabangsa bagi Dialog dan Doa untuk Keamanan, dari 26 hingga 28 Oktober dalam usaha mengukuhkan dialog dan kerjasama demi keamanan dunia.

Antara tokoh utama yang hadir ialah Sheikh Ahmed Al-Tayeb, Imam Besar Al-Azhar dan Pengerusi Majlis Ulama Tertinggi Mesir, serta Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Encik Nasaruddin Umar.

Persidangan tahunan bertema, Berani Demi Keamanan, itu dianjurkan oleh Komuniti Sant’Egidio dan menghimpunkan pemimpin sejagat berpengaruh dari pelbagai latar agama dan budaya.

Turut hadir ialah Ketua Gereja Katolik, Pope (Paus) Leo XIV; Presiden Italy, Encik Sergio Mattarella; dan Ratu Mathilde dari Belgium, selain cendekiawan dan sarjana agama dari seluruh dunia.

Dalam sesi pembukaan persidangan, Sheikh Al-Tayeb menyampaikan ucaptama mengenai pentingnya mencapai keamanan yang berpaksikan keadilan.

Beliau menekankan tanggungjawab moral dan kemanusiaan pemimpin agama dalam menamatkan peperangan dan pertikaian.

“Agama-agama di dunia memikul amanah besar untuk mempertahankan maruah manusia dan menentang kezaliman,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelum persidangan.

Sepanjang lawatannya, Imam Besar dijadual mengadakan pertemuan dengan Paus Leo serta beberapa tokoh antarabangsa lain.

Perbincangan itu dijangka memberi tumpuan kepada isu semasa yang menjejas keamanan dunia khususnya pencerobohan berterusan ke atas Gaza dan Tebing Barat.

“Suara bersama kita mesti semakin kuat dalam menyeru dihentikan segala krisis, peperangan dan penindasan,” tegas beliau.

Menurut penganjur, persidangan kali ini turut menegaskan kepentingan memelihara perjanjian damai Sharm El-Sheikh sebagai asas kestabilan serantau dan sejagat.

Dengan konflik di Gaza masih berlarutan, seruan untuk keamanan yang berasaskan keadilan kini menjadi lebih mendesak berbanding sebelumnya.

Pertemuan empat mata antara Sheikh Al-Tayeb dengan Paus Leo di Rome kali ini mencatat lembaran baru hubungan dialog antara dua institusi agama terbesar dunia, selepas pemeteraian Dokumen Persaudaraan Kemanusiaan di Abu Dhabi pada 2019.

Kerjasama itu bertujuan memperluas inisiatif bersama bagi mempromosi keamanan, keadilan sosial dan toleransi antara umat manusia.

Encik Nasaruddin yang turut menghadiri persidangan tersebut untuk memperingati mendiang Paus Francis.

Menurut beliau, nilai yang diperjuangkan dalam deklarasi bersama Istiqlal pada 2024 perlu terus dipelihara.

“Saya hadir di Rome dan Vatikan bagi memperingati mendiang Paus Francis dalam pertemuan damai antarabangsa ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Jakarta.

Beliau mengimbas kembali detik bersejarah bersama Paus Francis di Masjid Istiqlal, Jakarta, pada September 2024.

“Kami menandatangani Deklarasi Istiqlal bagi menjunjung kemanusiaan, dialog dan perlindungan alam sekitar. Semangat sejagat ini kekal hidup meskipun Paus Francis telah tiada,” ujarnya.

Dalam lawatan sama, beliau dijadual bertemu masyarakat diaspora Indonesia di Vatican dan Italy, selain menghadiri acara rasmi anjuran Kedutaan Indonesia.

Hubungan kedua-dua pihak terus berkembang, termasuk lawatan Paus Francis ke Jakarta pada 2024 serta penghantaran delegasi Indonesia ke upacara pengebumian beliau pada April 2025.

Pada Mei, Presiden Prabowo Subianto menyampaikan tahniah kepada Paus Leo XIV atas pelantikannya dan menghantar wakil rasmi ke majlis pertabalan di Vatican.

Encik Nasaruddin menyatakan semangat deklarasi damai selari dengan falsafah kebangsaan Indonesia.

“Nilai keamanan dan keharmonian antara agama seiring dengan motto negara kami, Bhinneka Tunggal Ika - Bersatu dalam Kepelbagaian,” kata beliau.

Persidangan di Rome itu menjadi medan penting bagi tokoh-tokoh agama dunia menyatukan suara menolak keganasan.

“Keamanan memerlukan keberanian, keberanian untuk berdiri bersama manusia lain, tanpa mengira bangsa atau agama,” kata penganjur, Komuniti Sant’Egidio. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg