Sidang bersama Parlimen dan Senat Thailand yang dimulakan pagi Khamis untuk membahas dan mengundi bagi memilih seorang perdana menteri baru negara Gajah Putih itu, menyaksikan pemimpin Parti Move Forward (MFP), Encik Pita Limjaroenrat, satu-satunya nama yang calonkan.
Beliau dicalonkan oleh pemimpin Parti Pheu Thai, Encik Cholnan Srikaew, dan disokong oleh 302 anggota Dewan Parlimen.
Menurut perlembagaan negara itu, seseorang calon mesti mendapatkan sekurang-kurangnya 376 undi daripada 500 orang anggota Dewan dan 250 senator untuk menyandang jawatan perdana menteri. Lapan parti sekutu dalam perikatan sekarang ini mempunyai 312 suara dalam Parlimen.
Encik Pita mencapai kemenangan dalam pilihan raya yang diadakan pada Mei, apabila pengundi menolak pemerintahan tentera, sejak berlaku rampasan kuasa pada 2014. Namun beliau memerlukan sokongan daripada anggota Dewan yang dilantik pemimpin tentera yang sama itu, untuk peroleh majoriti.
Beliau juga menghadapi cabaran undang-undang pada saat-saat akhir, yang cuba menafikan kelayakannya. Bagaimanapun, pemimpin MFP berusia 42 tahun itu yakin beliau akan dapat melepasi pengundian itu.
“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk menggambarkan visi saya dan menjelaskan segala keraguan di kalangan senator,” katanya dipetik oleh akhbar Thailand berbahasa Inggeris, Bangkok Post.
“Ini juga satu perkara biasa untuk berkuasa di negara ini...saya teruja dan berharap dapat mengaturnya sehingga impian saya dan rakyat Thailand tercapai,” kata beliau.
Perkembangan di Thailand ini mendapat perhatian banyak negara terutama di kalangan negara Asia Tenggara.
Perbahasan pada Khamis itu bermula dengan Encik Pita dan MFP menerima serangan terhadap saranan meminda undang-undang berkaitan hukuman bagi kesalahan menegur istana dan Raja Thailand.
Serangan pertama dilancarkan anggota parlimen (AP) dari Parti Bhumjaithai, Encik Chada Thaised, yang pertama berucap dalam perbahasan itu, di mana Parlimen dijadualkan mengundi pada 5 petang waktu tempatan.
Encik Chada berkata partinya, Bhumjaithai, tidak akan memilih Encik Pita sebagai perdana menteri Thailand yang ke-30 kerana MFP mahu meminda Artikel 112 perlembagaan, yang seharusnya dikekalkan demi melindungi institusi diraja negara itu.
Dalam respons terhadap bidasan itu, Encik Pita berhujah bahawa “mereka yang lebih tua daripada saya mempunyai satu sikap, mereka yang sebaya saya pula memiliki sikap yang lain dan mereka yang lebih muda dari saya pula mempunyai pemikiran berbeza”.
“Adalah menjadi tugas anggota parlimen untuk menyelesaikan perselisihan ideologi ini menerusi perbahasan, dengan nada sopan dan beralasan bagi mencari huraian bagi negara ini. Ini adalah perbahasan bagi mengundi memilih Perdana Menteri, bukan perbahasan tentang pindaan undang-undang,” ujarnya.
Jika Encik Pita tidak dipilih sebagai perdana menteri kali ini, pengundian akan dijadualkan pula pada 19 Julai, dan seorang calon baru akan dinamakan, menurut anggota Parti Pheu Thai, Encik Sutin Klangsaeng.
Seorang senator, Encik Kittirat Ratanawaraha, dilaporkan sebagai berkata kebanyakan senator akan mengundi berkecuali dan kurang 10 senator yang akan mengundi memilih Encik Pita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg