BANGKOK: Ketua pembangkang utama Thailand bersama sembilan anggota Parlimen (AP) lain dibicarakan di Mahkamah Agung pada 30 Jun atas dakwaan melanggar etika selepas cuba meminda undang-undang penghinaan terhadap institusi diraja negara itu.

Perbicaraan melibatkan 44 defendan termasuk pemimpin Parti Rakyat, Encik Natthaphong Ruengpanyawut, yang partinya muncul sebagai parti kedua terbesar dalam pilihan raya umum Februari lalu.

Kes itu berkait dengan cadangan pindaan terhadap undang-undang lese-majeste yang dikemukakan oleh parti terdahulu mereka, Parti Move Forward, pada 2021.

Undang-undang berkenaan melindungi raja dan keluarga diraja daripada kritikan, dengan hukuman maksimum sehingga 15 tahun penjara bagi setiap kesalahan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nasional Thailand (NACC) memfailkan saman sivil terhadap 44 ahli politik semasa dan bekas ahli politik itu pada April lalu atas dakwaan melanggar etika sebagai wakil rakyat.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan larangan seumur hidup daripada memegang jawatan politik selain hilang hak mengundi selama 10 tahun.

Pendakwa raya pada 30 Jun menyerahkan senarai 17 saksi kepada Mahkamah Agung termasuk pegawai Parlimen dan pegawai NACC.

Saksi pertama dijangka memberi keterangan pada 25 Ogos. Dua lagi sesi pendengaran ditetapkan berlangsung pada September dan Oktober.

Menurut wartawan agensi berita AFP, tiada seorang pun AP yang dibicarakan hadir di mahkamah pada 30 Jun.

Kesemua tertuduh sebelum ini merupakan anggota Parti Move Forward yang mencetuskan gelombang sokongan besar dalam pilihan raya 2023 menerusi agenda reformasi politik dan institusi negara.

Namun, Mahkamah Perlembagaan Thailand membubarkan parti itu pada 2024 selepas memutuskan cadangan pembaharuan institusi diraja yang dibawa parti tersebut dianggap sebagai cubaan menggugat sistem raja berperlembagaan negara itu.

Majoriti bekas anggota Move Forward kemudian menubuhkan Parti Rakyat yang kini menjadi pembangkang utama Thailand.

Seramai 10 AP yang sedang dibicarakan pada 30 Jun turut dipilih semula dalam pilihan raya Februari lalu di bawah parti baharu itu.

Encik Natthaphong sebelum ini menegaskan usaha reformasi undang-undang tersebut bukan bertujuan melemahkan sistem monarki Thailand.

“Usaha pembaharuan ini tidak pernah bertujuan menggugat sistem demokrasi di bawah institusi raja,” katanya pada sidang media April lalu selepas Mahkamah Agung menerima kes itu.

Beliau berkata perjuangan partinya melangkaui kepentingan politik semata-mata dan bertujuan memastikan keadilan lebih baik kepada rakyat.

“Matlamat kami lebih besar daripada kerjaya politik. Ia mengenai memastikan kesaksamaan untuk rakyat,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya akan mempertahankan kes tersebut di mahkamah demi mempertahankan hak ahli Parlimen dalam sistem demokrasi berparlimen.

“Kami akan melawan kes ini di Mahkamah Agung untuk mempertahankan hak AP dalam sistem demokrasi berparlimen dan memastikan demokrasi Thailand benar-benar berkhidmat kepada rakyat,” katanya lagi.

Kes itu sekali lagi meletakkan isu kebebasan bersuara dan reformasi politik di Thailand dalam perhatian antarabangsa.

Undang-undang lese-majeste Thailand dianggap antara yang paling ketat di dunia dan sering menjadi topik sensitif dalam politik negara itu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan aktivis prodemokrasi dan generasi muda Thailand semakin lantang menggesa pembaharuan institusi politik termasuk undang-undang berkaitan diraja.

Namun, pihak konservatif dan penyokong institusi monarki melihat undang-undang tersebut sebagai elemen penting bagi melindungi kestabilan negara dan kedudukan raja sebagai simbol perpaduan nasional.

Perbicaraan terhadap pemimpin pembangkang itu dijangka terus mendapat perhatian meluas kerana ia boleh memberi kesan besar terhadap landskap politik Thailand dan masa depan gerakan reformasi demokratik di negara itu. - Agensi berita