JEDDAH: Pemimpin negara-negara Teluk berkumpul di Arab Saudi bagi membincangkan krisis serantau yang tercetus akibat perang Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, dalam pertemuan bersemuka pertama mereka pada 28 April sejak konflik itu bermula dua bulan lalu.

Pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC) disambut oleh Putera Mahkota Saudi Arabia, Putera Mohammed bin Salman, ketika tiba di Jeddah untuk membincangkan beberapa isu berkaitan perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk usaha menyelaras tindak balas bersama terhadap krisis yang sedang berlaku.

“Semasa sidang kemuncak itu, beberapa topik dan isu berkaitan perkembangan serantau dan antarabangsa dibincangkan, selain penyelarasan usaha untuk bertindak balas terhadapnya,” menurut Agensi Berita Saudi (SPA).

Antara pemimpin yang hadir ialah Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Al-Khaled Al-Hamad Al-Sabah; Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa; dan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Pertemuan itu berlangsung ketika negara-negara Teluk berdepan tekanan keselamatan dan ekonomi menyusuli serangan peluru berpandu dan dron Iran, yang menyasarkan prasarana tenaga, kemudahan awam, syarikat berkait Amerika serta pangkalan tentera di rantau itu.

Perang itu bermula selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu.

Sejak itu, ribuan serangan peluru berpandu dan dron dilaporkan dilancarkan ke arah negara-negara GCC, termasuk Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Seorang pegawai Teluk yang bercakap kepada Reuters dengan syarat tidak dinamakan berkata mesyuarat luar biasa GCC di Jeddah itu bertujuan merangka tindak balas terhadap serangan Iran.

Sidang kemuncak itu juga dilihat penting kerana ia berlangsung ketika Amerika sedang mempertimbangkan cadangan Iran untuk menamatkan perang dan membuka semula Selat Hormuz, laluan strategik yang hampir tertutup sepanjang konflik itu.

Selat Hormuz adalah antara laluan tenaga paling penting di dunia.

Pada waktu aman, kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia melalui perairan itu.

Penutupan atau gangguan di laluan berkenaan memberi kesan besar kepada perdagangan tenaga global dan kestabilan ekonomi antarabangsa.

Negara-negara GCC menegaskan bahawa Selat Hormuz mesti dibuka semula dan sebarang perjanjian untuk menamatkan perang itu perlu membawa kepada penyelesaian kekal serta jangka panjang.

Dalam hantaran di media sosial selepas mesyuarat itu, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani berkata sidang kemuncak tersebut mencerminkan “pendirian Teluk yang bersatu” terhadap perang itu.

Beliau berkata negara-negara Teluk perlu memperhebat penyelarasan bagi mencari laluan diplomatik untuk memelihara keselamatan dan kestabilan rantau itu.

Sidang kemuncak Jeddah turut berlangsung ketika UAE mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada Opec dan Opec+ bagi memberi tumpuan kepada “kepentingan nasional”.

Langkah itu dilihat memberi tamparan besar kepada kumpulan negara pengeksport minyak tersebut.

Terdahulu, Kementerian Luar Qatar memberi amaran mengenai risiko konflik di Teluk menjadi “konflik beku”, iaitu keadaan tegang yang tidak benar-benar selesai dan boleh meletus semula pada bila-bila masa.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed al-Ansari, berkata rantau itu tidak mampu berdepan satu lagi pusingan pertempuran.

“Kami tidak mahu melihat permusuhan kembali berlaku di rantau ini dalam masa terdekat. Kami tidak mahu melihat konflik beku yang akhirnya kembali dicairkan setiap kali ada alasan politik,” katanya.

Sepanjang perang, semua enam negara GCC dilaporkan mengalami kerosakan pada prasarana tenaga utama, selain serangan ke atas kemudahan awam dan aset berkait Amerika.

Namun GCC turut berdepan kritikan dari dalam rantau itu sendiri, khususnya daripada UAE, yang menyifatkan tindak balas politik dan ketenteraan majlis tersebut sebagai lemah.

Penasihat Diplomatik Presiden UAE, Encik Anwar Gargash, berkata negara-negara GCC memang saling membantu dari segi logistik, tetapi gagal menunjukkan pendirian politik dan ketenteraan yang kuat.

“Memang benar, dari segi logistik, negara-negara GCC menyokong antara satu sama lain, tetapi dari segi politik dan ketenteraan, saya fikir kedudukan mereka adalah yang paling lemah dalam sejarah.

“Saya menjangkakan pendirian lemah seperti itu daripada Liga Arab, dan saya tidak terkejut dengannya, tetapi saya tidak menjangkakannya daripada GCC, dan saya terkejut dengannya,” katanya pada satu persidangan di UAE pada 27 April. – Agensi berita.