DOHA: Qatar, sebuah negara Teluk yang kaya dengan gas dan selama ini dikenali sebagai pengantara diplomatik antara Amerika Syarikat dengan Iran, kini berdepan realiti baharu yang menggoncang asas strategi keselamatannya.

Perang antara Amerika, Israel dengan Iran bukan sahaja memberi kesan langsung kepada keselamatan negara itu, malah mencetuskan kejutan ekonomi dan politik yang mendalam.

Sebagai sekutu rapat Washington dan pada masa yang sama mengekalkan hubungan baik dengan Teheran, Qatar sebelum ini berusaha keras mengelakkan konflik berskala besar.

Namun, apabila usaha tersebut gagal, negara kecil itu terperangkap di tengah-tengah pertembungan kuasa besar yang tidak dapat dikawalnya.

Seorang penganalisis, Encik Rashid Al-Mohanadi, dari Pusat Penyelidikan Dasar Antarabangsa di Qatar, menyifatkan keadaan itu sebagai “kejutan strategik” yang tidak dijangka.

“Terdapat andaian bahawa langkah besar seperti memulakan perang dengan Iran akan sekurang-kurangnya dibincangkan dengan negara Teluk,” katanya.

“Kami menyangka hubungan kami dengan Amerika Syarikat lebih kukuh daripada itu.”

Namun realiti di lapangan menunjukkan sebaliknya.

Qatar menjadi sasaran lebih 700 serangan peluru berpandu dan dron oleh Iran, yang menyasarkan negara-negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera Amerika.

Walaupun sistem pertahanan udara berjaya mengelakkan korban jiwa dalam kalangan orang awam, kesannya terhadap ekonomi dan operasi negara amat ketara.

Konflik tersebut memaksa Qatar menghentikan sementara pengeluaran gas asli cecair di kemudahan utamanya di Ras Laffan, yang merupakan nadi ekonomi negara itu.

Gangguan kepada eksport melalui Selat Hormuz, laluan utama tenaga sejagat, turut menjejas bekalan tenaga dunia.

Menteri Tenaga Qatar, Encik Saad al-Kaabi, mengakui skala kerosakan yang besar.

“Serangan ini telah membawa seluruh rantau ini mundur antara 10 hingga 20 tahun. Dianggarkan kerugian tahunan sekitar AS$20 bilion ($25.44 bilion), bersamaan 37 peratus daripada hasil kerajaan,” kata beliau.

Kesan konflik itu tidak terhad kepada Qatar sahaja.

Negara seperti Italy dan Jepun turut rasai gangguan bekalan tenaga.

Qatar sendiri menyumbang lebih satu pertiga pengeluaran helium dunia, yang penting untuk teknologi perubatan seperti mesin MRI serta industri semikonduktor.

Dalam konteks ini, pakar ekonomi, Encik Farouk Soussa, dari Goldman Sachs, menyatakan bahawa Qatar masih mempunyai keupayaan kewangan untuk bertahan.

“Berita baiknya, Qatar mempunyai rizab kewangan yang kukuh,” katanya.

Namun beliau turut mengingatkan bahawa model ekonomi negara itu sebagai hab sejagat mungkin terjejas.

Kesan langsung konflik juga dapat dilihat dalam sektor pelancongan dan penerbangan.

Kegiatan pelancongan merosot, penerbangan Qatar Airways terganggu, dan ramai ekspatriat memilih untuk meninggalkan negara itu buat sementara waktu.

Ini menjejas imej Qatar sebagai pusat perniagaan dan pelaburan yang stabil.

Lebih penting, perang ini telah memaksa Qatar dan negara Teluk lain menilai semula pendekatan mereka terhadap Iran dan Amerika.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Qatar bersama Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) telah cuba menjalin hubungan lebih baik dengan Teheran sebagai pendekatan pragmatik untuk mengurangkan risiko konflik.

Namun, perkembangan terkini menunjukkan hubungan tersebut tidak menjamin keselamatan.

Pada masa sama, pergantungan kepada perlindungan Amerika turut dipersoal.

Penyelidik di Pusat Kajian Teluk, Universiti Qatar, Dr Sinem Cengiz, menyifatkan keadaan itu sebagai detik penting bagi rantau tersebut.

“Ini adalah saat yang membuka mata bagi negara-negara Teluk,” katanya.

Beliau menambah bahawa negara Teluk kini menyedari had sebenar pengaruh mereka terhadap dasar luar Amerika terutama apabila keputusan Washington dilihat lebih dipengaruhi oleh kepentingan Israel.

Pandangan itu turut disokong oleh Dr Dina Esfandiary dari Bloomberg Economics.

“Mereka bergantung kepada Amerika Syarikat, dan pilihan alternatif sangat terhad.

“Ini juga satu tamparan realiti bahawa pengaruh mereka, khususnya terhadap pentadbiran Trump (Presiden Amerika, Encik Donald Trump), tidak sekuat yang disangka,” katanya.

Keadaan itu menimbulkan dilema strategik yang sukar.

Di satu pihak, negara Teluk memerlukan perlindungan keselamatan daripada Amerika.

Di pihak lain, mereka tidak boleh mengabaikan kepentingan hubungan dengan Iran sebagai jiran serantau yang berpengaruh.

Bagi Qatar, dilema itu lebih ketara kerana saiznya yang kecil dan kedudukannya di antara dua kuasa besar serantau iaitu Iran dan Arab Saudi.

Dengan kurang daripada 400,000 warga negara, Qatar selama ini bergantung kepada strategi diplomasi aktif dan peranan sebagai pengantara untuk memastikan kelangsungan keselamatannya.

Negara itu juga berusaha menjadikan dirinya penting dalam ekonomi sejagat melalui eksport gas serta penglibatan dalam rundingan diplomatik dengan pelbagai pihak termasuk Iran, Russia dan Hamas.

Namun perang ini menunjukkan had kepada pendekatan tersebut.

Walaupun mempunyai hubungan rapat dengan Washington dan Teheran, Qatar tetap tidak dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa konflik.

Lebih membimbangkan, kepercayaan terhadap kestabilan serantau kini terhakis.

Walaupun gencatan senjata diumumkan pada 7 April, ketidaktentuan masih berlarutan.

Banyak pihak mempersoalkan sama ada keamanan jangka panjang dapat dicapai.

Menurut penganalisis, masa depan Qatar kini bergantung kepada bagaimana susunan geopolitik baharu di rantau itu akan terbentuk selepas perang.

Jika ketegangan berterusan, peranan Qatar sebagai hab pelaburan dan diplomasi sejagat mungkin terjejas.

Namun, jika kestabilan dapat dipulihkan, negara itu berpotensi bangkit semula dengan memanfaatkan kekuatan ekonominya.

Seperti yang dirumuskan oleh Encik Soussa, “Kemungkinan keyakinan hilang sepenuhnya mungkin keterlaluan. Tetapi semuanya bergantung kepada bagaimana keadaan rantau ini selepas perang.”

Dalam erti kata lain, perang ini bukan sekadar konflik ketenteraan, tetapi titik perubahan strategik bagi Qatar dan seluruh rantau Teluk.

Ia memaksa negara kecil untuk menilai semula pergantungan, keutamaan dan masa depan mereka dalam dunia yang semakin tidak menentu. – Agensi berita.