WASHINGTON: Pemerintah Amerika Syarikat akan cuba mengalihkan aset Iran kepada negara Teluk bagi membiayai pembinaan semula dan pembaikan kerosakan yang disebabkan oleh Iran, kata satu sumber pada Sabtu (6 Jun), sehari selepas serangan Iran ke atas Kuwait dan Bahrain.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Encik Scott Bessent, turut mengarahkan pasukannya menilai kos kerosakan yang ditanggung sekutu Teluk akibat tindakan Iran, dengan aset Iran mungkin digunakan bagi membiayai pembaikan itu.

Pendedahan itu dibuat sehari selepas penasihat Pemimpin Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei, memberitahu CNN bahawa perjanjian damai bergantung kepada pelepasan aset Iran bernilai AS$24 bilion yang dibekukan oleh Amerika.

Sumber itu tidak menjelaskan jenis aset yang sedang diteliti Jabatan Perbendaharaan. Langkah baru itu juga tidak kelihatan terhad kepada aset yang dibekukan.

Rundingan damai dilihat terhenti walaupun seorang menteri Pakistan tiba di Teheran pada Sabtu dengan membawa surat untuk Pemimpin Tertinggi Iran, Encik Mojtaba Khamenei, menurut berita separuh rasmi Iran, ISNA.

Ancaman pengalihan aset bakal menambah ketegangan terhadap gencatan senjata rapuh antara Amerika dengan Iran sekali lagi diuji hujung minggu ini.

Tentera Amerika menyerang tapak radar Iran di Goruk dan Pulau Qeshm di Selat Hormuz awal Sabtu selepas menembak jatuh dron Iran yang didakwa Pentadbiran Pusat Amerika (Centcom) mengancam lalu lintas perkapalan.

Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berkata pihaknya menyerang pangkalan Amerika di Kuwait dan Bahrain, manakala Kuwait memaklumkan tujuh peluru berpandu balistik dipintas tanpa meragut jiwa.

Bahrain membunyikan siren kecemasan dan mengarahkan penduduk mendapatkan perlindungan.

Iran kemudian mendakwa menyerang pangkalan Amerika Syarikat di kedua-dua negara itu, namun tentera Amerika berkata enam peluru berpandu dipintas dan satu lagi gagal mencapai sasaran.

Kedua-dua negara terlibat dalam rundingan tidak langsung bagi menamatkan perang yang telah berlarutan tiga bulan, namun perjanjian masih sukar dicapai.

Teheran menuntut hak mendapatkan semula hasil minyak bernilai berbilion dolar, pengecualian sekatan eksport minyak mentah, penamatan sekatan terhadap pelabuhannya serta pengaruh ke atas Selat Hormuz.

Media Iran melaporkan Menteri Dalam Negeri Pakistan, Encik Mohsin Naqvi, tiba di Teheran untuk bertemu pegawai Iran dan menyampaikan “surat khas” daripada ketua tentera serta perdana menteri Pakistan kepada Encik Khamenei.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump menghadapi tekanan politik dalam negara yang semakin meningkat susulan kenaikan harga petrol untuk menamatkan perang yang tidak popular itu. Beliau berkata kepada NBC kebanyakan kemudahan pembuatan dron dan peluru berpandu Iran telah dimusnahkan, namun negara itu masih memiliki sekitar 21 hingga 22 peratus stok peluru berpandunya.

Selepas perang bermula pada 28 Februari, Iran menyerang negara Teluk yang menempatkan pangkalan Amerika dan sebahagian besarnya menghentikan perkapalan melalui Selat Hormuz, menaikkan harga minyak dan mengganggu rantaian bekalan dunia, termasuk bantuan kemanusiaan.

Pertempuran kembali memuncak di seluruh rantau meskipun gencatan senjata berkuat kuasa

Dalam konflik berasingan di Lebanon, tiga anggota tentera Lebanon terbunuh dalam serangan Israel di selatan negara itu. Iran menjadikan gencatan senjata antara Israel dengan Hezbollah sebagai syarat bagi sebarang perjanjian damai dengan Washington.

Tentera Lebanon berkata komandernya, Jeneral Rudolf Haykal, berlepas ke Pakistan atas jemputan rakan sejawatannya, manakala pemimpin Hezbollah, Encik Naim Qassem, menolak perjanjian yang diusahakan Amerika bagi menghentikan pertempuran di Lebanon. - Agensi berita