Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemimpin Tertinggi Iran dilapor semakin aktif ketika rundingan berterusan
Pemimpin Tertinggi Iran dilapor semakin aktif ketika rundingan berterusan
Pemimpin Tertinggi Iran dilapor semakin aktif ketika rundingan berterusan
WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, berkata pemimpin tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, masih hidup dan dipercayai semakin aktif dalam urusan pentadbiran negara itu ketika rundingan antara Teheran dan Washington terus berlangsung dalam suasana tegang selepas perang besar Asia Barat.
Encik Rubio membuat kenyataan itu ketika memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika pada 2 Jun.
“Saya fikir terdapat petunjuk bahawa beliau semakin terlibat pada tahap tertentu, walaupun semua komunikasinya dilakukan secara bertulis dan melalui orang tengah,” katanya.
Kenyataan Encik Rubio menjadi antara pengesahan paling jelas daripada Washington mengenai keadaan Mojtaba Khamenei sejak beliau dilantik menggantikan bapanya, Ali Khamenei, yang terbunuh dalam gelombang pertama serangan Amerika dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu.
Sejak mengambil alih jawatan tertinggi negara itu, Encik Mojtaba tidak pernah muncul secara terbuka dan keadaan kesihatannya menjadi tanda tanya selepas dilaporkan cedera dalam serangan berkenaan.
Encik Rubio berkata terdapat tanda-tanda bahawa kepimpinan Iran kini lebih terbuka untuk membincangkan beberapa aspek program nuklear yang sebelum ini dianggap sensitif.
Menurut beliau, rundingan dengan Iran masih berjalan walaupun berdepan banyak halangan dan ketidakpercayaan antara kedua-dua pihak.
“Ada kemungkinan perjanjian boleh dicapai hari ini, esok atau minggu depan,” katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa Iran perlu menerima sekatan ketat dan jangka panjang terhadap program nuklearnya sebelum sebarang sekatan ekonomi boleh dilonggarkan.
Encik Rubio berkata antara syarat utama Washington ialah Iran mesti membuka semula Selat Hormuz dan menghentikan sekatan terhadap laluan perkapalan antarabangsa.
“Mereka perlu mengumumkan dengan jelas bahawa Selat Hormuz kini dibuka dan mereka tidak lagi mengenakan sebarang bayaran atau ancaman terhadap kapal,” katanya.
Beliau turut berkata Iran perlu bersetuju mengurangkan atau menamatkan aktiviti pengayaan uranium yang menjadi punca utama sekatan antarabangsa dikenakan terhadap negara itu.
“Iran dikenakan sekatan kerana uranium diperkaya tahap tinggi dan aktiviti nuklear mereka. Jika mereka bersetuju melepaskan perkara itu, maka akan ada pengurangan sekatan,” katanya.
Ketegangan di Selat Hormuz sejak perang tercetus pada Februari lalu memberi kesan besar kepada ekonomi dunia kerana laluan itu sebelum ini mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas asli cecair global.
Iran secara efektif menutup laluan strategik tersebut selepas konflik dengan Amerika dan Israel memuncak.
Perang yang kini memasuki bulan keempat turut menyebabkan ribuan orang terbunuh, terutama di Iran dan Lebanon.
Konflik itu juga mencetuskan peningkatan mendadak harga tenaga global selain memperluaskan pertempuran ke Lebanon apabila kumpulan Hezbollah terlibat dalam serangan rentas sempadan dengan Israel.
Israel kemudian melancarkan serangan besar ke atas beberapa kawasan di Lebanon termasuk sebahagian Beirut.
Sementara itu, Presiden Amerika, Donald Trump, menolak laporan bahawa rundingan dengan Iran telah terhenti.
Dalam kenyataan di platform Truth Social, Encik Trump berkata komunikasi antara kedua-dua negara masih berlangsung secara berterusan.
“Perbincangan antara kami berjalan secara berterusan,” katanya.
“Ke mana ia akan membawa, tiada siapa tahu. Tetapi seperti yang saya katakan kepada Iran, sudah tiba masanya untuk membuat perjanjian, satu cara atau yang lain.”
Bagaimanapun, media Iran melaporkan Teheran masih meneliti cadangan terbaru Washington dan belum berhubung dengan Amerika sejak beberapa hari lalu.
Agensi berita separa rasmi Mehr memetik sumber yang rapat dengan pasukan rundingan Iran sebagai berkata Teheran mengambil pendekatan “tegas” kerana menganggap Amerika gagal mematuhi syarat gencatan senjata sebelum ini.
Sumber itu turut menyatakan Iran masih tidak mempercayai Washington selepas siri serangan dan tekanan ketenteraan yang berlaku sepanjang konflik.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Encik Rafael Grossi, berkata Iran telah menghentikan banyak aktiviti nuklear yang sebelum ini dijalankan di negara tersebut.
Beliau berkata sebarang perjanjian damai masa depan perlu mempunyai mekanisme pengesahan dan pemantauan yang kukuh bagi memastikan Iran mematuhi syarat dipersetujui.
Penganalisis melihat kenyataan Encik Rubio mengenai Mojtaba Khamenei sebagai petanda bahawa Amerika kini memberi perhatian lebih serius terhadap struktur kepimpinan baharu Iran selepas kematian Ali Khamenei.
Dalam masa sama, rundingan yang masih rapuh menunjukkan konflik Asia Barat belum benar-benar berakhir walaupun gencatan senjata sementara telah dicapai sejak April lalu. - Agensi berita
