Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin Timur Tengah, dunia Islam zahir takziah atas pemergian Pope Francis

Apr 22, 2025 | 11:04 AM
Penganut Kristian menghadiri misa khas untuk mendiang Paus Francis di Gereja Katolik Saint Francis of Assisi di Dubai pada 21 April 2025. Paus Francis, yang akan dikenang dalam sejarah sebagai pontif radikal dan pembela golongan tertindas, meninggal dunia pada usia 88 tahun pada hari yang sama. Beliau dikenali kerana membawa wajah Gereja Katolik yang lebih berbelas kasihan dan inklusif.
Penganut Kristian menghadiri misa khas untuk mendiang Paus Francis di Gereja Katolik Saint Francis of Assisi di Dubai pada 21 April 2025. Paus Francis, yang akan dikenang dalam sejarah sebagai pontif radikal dan pembela golongan tertindas, meninggal dunia pada usia 88 tahun pada hari yang sama. Beliau dikenali kerana membawa wajah Gereja Katolik yang lebih berbelas kasihan dan inklusif. - Foto AFP

DUBAI: Para pemimpin dari seluruh Timur Tengah dan dunia Islam menyampaikan ucapan takziah dan penghormatan atas pemergian Paus Francis yang meninggal dunia pada pagi 21 April dalam usia 88 tahun. Vatican pada 22 April mengesahkan bahawa beliau meninggal dunia akibat strok yang menyebabkan koma dan kegagalan jantung yang tidak dapat dipulihkan.

Kepausannya selama 12 tahun meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja dalam kalangan 1.3 bilion umat Katolik di seluruh dunia, tetapi juga dalam masyarakat antarabangsa, termasuk dunia Islam dan golongan bukan Katolik. Sebagai paus pertama dari Argentina, beliau dikenali kerana pendekatannya yang sederhana, keberaniannya melaksanakan reformasi dalam Gereja Katolik, serta komitmennya terhadap perpaduan antara agama dan pembelaan terhadap golongan tertindas.

Setiausaha Agung Liga Dunia Islam, Dr. Mohammed bin Abdulkarim Al-Issa, yang pernah bertemu Paus Francis di Vatican pada Disember 2024, menyifatkan hubungan peribadi mereka sebagai titik tolak kerjasama erat antara kedua-dua institusi.
“Persahabatan kami telah mengukuhkan usaha bersama dalam memperjuangkan nilai kemanusiaan sejagat, keamanan global, dan menolak fahaman pelampau serta konflik antara agama dan tamadun,” kata beliau kepada Arab News.
Beliau menambah, “Paus Francis adalah insan bijaksana, berprinsip, dan banyak menyumbang kepada dunia Islam serta perjuangan kemanusiaan.

Majlis Ulama Muslim yang dipengerusikan oleh Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed Al-Tayyeb, turut menyatakan rasa dukacita dan menyampaikan takziah kepada pemimpin Gereja Katolik serta umat Kristian di seluruh dunia. Dalam kenyataan majlis itu di platform X menekankan bahawa: “Paus Francis mengabdikan seluruh hidupnya kepada nilai-nilai dialog, toleransi, hidup bersama, keamanan, dan persaudaraan insan.”

Majlis ijuga mengenang peranan penting Paus dalam merintis Dokumen Persaudaraan Kemanusiaan, yang ditandatangani bersama Sheikh Ahmed dan dianggap sebagai dokumen penting dalam sejarah moden hubungan antara agama.

Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah El-Sisi, menggambarkan Paus sebagai “suara kedamaian, kasih dan belas ihsan,” manakala Raja Jordan, King Abdullah II menulis: “Takziah setulusnya kepada saudara-saudari Kristian di seluruh dunia. Paus Francis dikagumi sebagai ‘Paus Rakyat’. Beliau menyatukan manusia melalui kelembutan, kerendahan hati dan kasih sayang.”

Presiden Amiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed, menzahirkan penghormatan melalui X: “Saya mengucapkan takziah kepada seluruh umat Katolik atas pemergian Paus Francis, yang sepanjang hayatnya berusaha menggalakkan prinsip keamanan dan saling memahami.”

Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al-Maktoum pula menyifatkan Paus sebagai “pemimpin agung yang komited kepada perdamaian dan perpaduan antara agama. Warisannya akan terus hidup.”

Raja Arab Saudi, Salman Abdulaziz Al Saud, dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman turut menghantar kiriman takziah rasmi kepada Vatican dan komuniti Katolik global, menurut laporan Agensi Berita Saudi.

Presiden Lebanon, Jeneral Joseph Aoun, presiden Kristian Arab satu-satunya di rantau ini, berkata Paus Francis adalah “sahabat karib Lebanon”. “Kami tidak akan melupakan seruan beliau untuk melindungi identiti Lebanon dan kepelbagaian agama yang menjadi kekuatan negara ini,” katanya sambil menyifatkan pemergian Paus sebagai “kehilangan besar buat seluruh kemanusiaan.”

Presiden Penguasa Palestin, Encika Mahmoud Abbas, pula menyifatkan Paus Francis sebagai “sahabat sejati rakyat Palestin”, dan memuji beliau kerana mengiktiraf negara Palestin dan membenarkan benderanya dikibarkan di Vatican. “Hari ini, kami kehilangan seorang pemimpin yang berdiri bersama kami dalam perjuangan keadilan,” katanya.

Komuniti Kristian di Gaza turut berkabung, mengenangkan hubungan rapat Paus dengan mereka melalui panggilan video dan doa sejak bermulanya konflik di wilayah itu.

Turkey, Iran, Israel dan Indonesia turut mengeluarkan kenyataan rasmi menyampaikan takziah. Presiden Israel Encik Isaac Herzog menyifatkan Paus sebagai “lelaki beriman yang penuh belas kasihan,” manakala Presiden Turkey Recep Tayyip Erdogan memuji usaha Paus dalam merapatkan hubungan antara agama.

Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menulis di Instagram: “Pesanan Paus tentang kesederhanaan, kepelbagaian, membela yang miskin dan menjaga sesama akan kekal sebagai teladan buat kita semua.”

Sijil kematiannya turut mendedahkan bahawa beliau menghidap diabetes jenis 2 — suatu fakta yang tidak diketahui sebelum ini. Jenazah beliau kini ditempatkan di Gereja kecil Santa Marta sebelum dipindahkan ke Basilika Santo Petrus untuk penghormatan umum bermula 23 April.

Pengebumian dijangka berlangsung antara 25 hingga 27 April, dan Paus akan disemadikan di Basilika Santa Maria Maggiore, seperti yang diwasiatkan. Dalam wasiatnya, beliau hanya mahu satu perkataan tertulis di batu nesannya: Franciscus — nama Latin beliau.

“Kita bukan sekadar kehilangan pemimpin agama, tetapi suara hati nurani dunia,” kata Kardinal Kevin Farrell dalam pengumuman rasmi Vatican. “Paus Francis telah pergi, tetapi warisan belas kasihan, perpaduan dan keberanian beliau akan terus menyinari dunia.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg