SPH Logo mobile
Langgan|

Pempengaruh China tular TikTok galak pembeli AS lawan tarif

Pempengaruh China tular TikTok galak pembeli AS lawan tarif

Apr 15, 2025 | 3:19 PM

Pempengaruh China tular TikTok galak pembeli AS lawan tarif

Seorang peniaga menunggu pelanggan di reruai seterika elektrik di pesta perniagaan Canton Fair di Guangzhou, selatan China, pada 15 April. Sejak Encik Donald Trump menjadi presiden Amerika Syarikat pada Januari, Amerika dan China bergelut dalam perang tarif, dengan Amerika mengenakan tarif hingga 145 peratus ke atas import dari China.
Seorang peniaga menunggu pelanggan di reruai seterika elektrik di pesta perniagaan Canton Fair di Guangzhou, selatan China, pada 15 April. Sejak Encik Donald Trump menjadi presiden Amerika Syarikat pada Januari, Amerika dan China bergelut dalam perang tarif, dengan Amerika mengenakan tarif hingga 145 peratus ke atas import dari China. - Foto AFP

BEIJING: Pengguna TikTok di Amerika Syarikat kini dibanjiri video daripada pempengaruh China yang menggalak pembeli Amerika melawan tarif Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dengan membeli terus dari “kilang dunia” iaitu China.

Kebanyakan video itu dirakam di kilang di China yang dikatakan membekalkan barangan kepada jenama terkenal Amerika seperti Lululemon Athletica dan Nike.

Matlamat pempengaruh itu ialah “mendedahkan” betapa majoriti barangan pengguna sebenarnya dihasilkan di China, ekonomi kedua terbesar dunia.

Ramai antara mereka turut berkongsi pautan laman web dan maklumat hubungan untuk membolehkan penonton membuat tempahan terus daripada pembekal.

Sebuah video, @LunaSourcingChina, mendakwa sebuah kilang menjual seluar yoga Lululemon pada harga sekitar AS$5 ($6.58), walaupun ia dijual di Amerika pada harga melebihi AS$100. “Mutu dan bahan hampir sama,” katanya.

Beberapa video yang tular sejak kebelakangan ini menarik perhatian selepas video bertajuk ‘China exposed the truth’ (China mendedahkan kebenaran) meraih 8.3 juta tontonan dan 492,000 ‘like’ (suka) setakat 14 April.

Video yang dikatakan mendedahkan pembekal China kepada Lululemon meraih 2.6 juta tontonan dan lebih 215,000 tanda ‘like’, manakala klip ‘How we bypass tariffs’ (Bagaimana kami mengelak tarif) mendapat hampir satu juta tontonan dan 118,000 tanda ‘like’.

Jumlah besar video dengan tema yang sama dalam tempoh masa singkat menunjukkan reaksi popular terhadap serangan tarif Presiden Amerika, Encik Donald Trump, termasuk cukai 145 peratus ke atas barangan China.

Walaupun tidak jelas bagaimana pesanan dari pembekal China dapat elak tarif – pengecualian cukai untuk bungkusan kecil dihentikan mulai 2 Mei – video-video itu menggambarkan reaksi global terhadap tarif Encik Trump dan kenyataan Rumah Putih yang berkata langkah ekonomi itu demi kepentingan rakyat Amerika.

Limpahan hantaran itu juga mencerminkan keberkesanan pencipta kandungan China dalam mempengaruhi kehidupan harian orang biasa di Amerika.

Algoritma TikTok, dan kemampuannya mempengaruhi maklumat yang dilihat oleh berjuta-juta pengguna Amerika, adalah salah satu faktor utama di belakang usaha pemerintah Amerika memaksa pemiliknya dari China, ByteDance, melepaskan kawalan terhadap operasi antarabangsa mereka.

TikTok tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk komen.

Aplikasi media sosial China lain, seperti Xiaohongshu, atau Red Note, juga semakin popular dalam kalangan pengguna muda Amerika berikutan ketidakpastian mengenai akses ke TikTok.

“Hantaran-hantaran ini lebih bersifat konfrontasi dan mengejek Amerika, berbanding menggambarkannya sebagai ancaman,” kata Dr Tom Harper, pensyarah dalam bidang hubungan antarabangsa China di Universiti East London.

Beberapa video secara langsung mengkritik dasar perdagangan Amerika dan menggesa rakyat Amerika supaya bertindak.

Pada 11 April, Amerika mengumumkan pengecualian tarif bagi beberapa produk China, termasuk barangan elektronik, komputer dan semikonduktor, walaupun tidak diketahui berapa lama pengecualian itu akan bertahan.

Bagaimanapun, pengecualian itu tidak akan mempengaruhi kebanyakan barang yang dieksport oleh China ke Amerika, termasuk pakaian dan aksesori yang dihasilkan oleh pembekal China.

Satu lagi soalan penting yang timbul daripada video-video itu ialah sama ada kilang-kilang tersebut mempunyai perjanjian tidak didedahkan (‘non-disclosure agreement’) dengan pelanggan antarabangsa mereka, dan bagaimana video-video itu berpotensi mempengaruhi hubungan perniagaan jangka panjang antara jenama dengan pengilang mereka. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg