Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump laksana tarif baru, pasaran goncang

Rumah Putih sedia buka pintu rundingan dengan rakan dagang, AS naikkan tarif China kepada 104 peratus
Apr 9, 2025 | 1:38 PM
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berucap dalam majlis makan malam anjuran Jawatankuasa Kongres Republikan Kebangsaan (NRCC) yang berlangsung di Washington, DC, pada 8 April 2025.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berucap dalam majlis makan malam anjuran Jawatankuasa Kongres Republikan Kebangsaan (NRCC) yang berlangsung di Washington, DC, pada 8 April 2025. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Donald Trump melaksanakan satu lagi pusingan tarif yang tinggi terhadap barangan import, termasuk barangan dari China, dengan kenaikan cukai import mencecah 104 peratus, berkuat kuasa mulai tengah malam 9 April waktu Amerika.

Tindakan itu, yang dikritik meluas oleh sekutu dan pakar ekonomi, telah menggoncang pasaran global dan mencetuskan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat.

Dalam kenyataan di Rumah Putih, Encik Trump berkata pendekatannya “cukup kontroversial dan menggoncang pasaran,” namun beliau tetap mempertahankan langkah tersebut sebagai strategi memberi tekanan terhadap negara-negara yang didakwanya mengamalkan dasar perdagangan yang tidak adil.

“Kita ada banyak negara yang datang untuk buat perjanjian,” kata beliau pada 8 April. “Saya tahu apa yang saya buat,” tegasnya lagi sambil menambah bahawa satu tarif besar akan dikenakan ke atas produk farmaseutikal tidak lama lagi.

Beliau turut mendakwa bahawa hasil tarif yang dikutip kini mencecah AS$2 bilion ($2.7 bilion) sehari, sambil menyatakan bahawa beliau lebih senang mengutip hasil berbanding membuat rundingan.

Kenaikan tarif terbaru ini berlaku selepas China memperhebatkan tentangan terhadap Amerika.

Malah, China menyifatkan tindakan Washington sebagai bentuk “ugutan” dan berikrar akan “berhadapan dengan tegas hingga ke penghujungnya.”

Beijing turut menolak dakwaan Presiden Trump bahawa mereka terdesak untuk mencapai perjanjian.

“China juga mahu buat perjanjian, sangat mahu, tapi mereka tidak tahu bagaimana hendak mulakan,” tulis Trump di media sosial. “Kita tunggu panggilan mereka. Ia akan berlaku!”

Kesatuan Eropah (EU), menerusi Presiden Suruhanjaya Cik Ursula von der Leyen, telah menghubungi Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, bagi menggesa agar ketegangan perdagangan tidak terus memuncak.

EU dijangka mengumumkan langkah balas minggu depan terhadap tarif 20 peratus yang dikenakan oleh Encik Trump ke atas produk dari Eropah.

Di Canada, pemerintah mengesahkan tarif balas akan dikenakan ke atas kereta import dari Amerika Syarikat bermula 9 April. Perancis pula menggesa Presiden Trump mempertimbang semula tindakannya, tetapi menyatakan, “jika EU perlu bertindak balas, maka kita akan bertindak”.

Kesan serta-merta dapat disaksikan di Wall Street apabila indeks S&P 500 merosot sebanyak 1.6 peratus, manakala Nasdaq mencatat kejatuhan 2.2 peratus. Nilai yuan luar pesisir China turut merosot ke paras terendah berbanding dolar Amerika Syarikat, manakala harga minyak mentah susut di bawah AS$60 — kali pertama sejak tahun 2021.

Walaupun menghadapi tentangan, Encik Trump kekal berpendirian bahawa tarif adalah instrumen terbaik mengembalikan industri pembuatan ke Amerika dan telah mewujudkan tawaran rundingan dari negara seperti Jepun, Korea Selatan, Vietnam, Israel dan Argentina.

Namun, pakar ekonomi memberi amaran bahawa langkah ini boleh melonjakkan kadar inflasi dan mempercepat kemelesetan.

Cik Karoline Leavitt, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, berkata:
“Presiden telah arahkan agar setiap negara yang menghubungi Amerika diberikan rundingan berdasarkan kes demi kes. Tapi beliau tetap dengan rancangannya, tarif ini akan dilaksanakan.”

Encik Trump turut berdepan kritikan dari dalam negaranya sendiri. Usahawan terkemuka Encik Elon Musk mengecam penasihat perdagangan Rumah Putih, Encik Peter Navarro, dengan menyifatkannya sebagai “lebih bodoh daripada seguni batu,” selepas Encik Navarro merendah-rendahkan Tesla sebagai sekadar “syarikat pemasang kereta.”

Encik Trump menegaskan: “Saya tidak akan berundur. Negara lain lebih memerlukan Amerika berbanding kita memerlukan mereka. Dan saya yakin pendekatan ini akan mengembalikan kekuatan industri negara kita.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg