Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pempengaruh Mexico maut ditembak ketika siaran langsung di TikTok

May 16, 2025 | 6:29 PM
Seorang pereka kandungan dan pempengaruh dari Mexico, Cik Valeria Marquez mati ditembak sewaktu membuat TikTok ‘live’ di tempat sebuah salon, di mana beliau bekerja.
Seorang pereka kandungan dan pempengaruh dari Mexico, Cik Valeria Marquez mati ditembak sewaktu membuat TikTok ‘live’ di tempat sebuah salon, di mana beliau bekerja. - Foto REUTERS

MEXICO – Seorang pempengaruh media sosial dari Mexico City, yang dikenali melalui video tentang kecantikan dan solekan, telah ditembak mati ketika beliau sedang membuat siaran langsung di TikTok. Insiden tragik ini mengejutkan negara yang sememangnya bergelut dengan kadar keganasan atau pembunuhan yang didasari kebencian terhadap kaum wanita (femisid).

Kematian Valeria Marquez, 23, kini sedang disiasat di bawah protokol pembunuhan femisid – menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat pendakwa negeri Jalisco pada malam 13 Mei.

Menurut pihak berkuasa Mexico, femisid boleh melibatkan keganasan yang merendahkan maruah, penderaan seksual, hubungan antara mangsa dengan pembunuh, atau tindakan memperlihatkan tubuh mangsa di tempat awam.

Marquez dibunuh pada 13 Mei di salon kecantikan tempat beliau bekerja di bandar Zapopan, oleh seorang lelaki yang masuk ke premis tersebut lalu melepaskan tembakan, kata kenyataan itu. Tiada suspek dinamakan setakat ini.

Beberapa saat sebelum kejadian, Marquez kelihatan dalam siaran langsung TikTok sedang duduk di meja sambil memegang sebuah patung mainan. Beliau sempat berkata, “mereka datang,” sebelum satu suara menyoalnya:

“Hai, Vale?”

“Ya,” jawab Marquez, sebelum beliau memadamkan bunyi siaran langsung.

Beberapa detik kemudian, beliau ditembak mati. Seseorang lelaki dilihat mengambil telefonnya, dan wajah individu itu kelihatan seketika sebelum siaran video berakhir.

Marquez, yang mempunyai hampir 200,000 pengikut di Instagram dan TikTok, telah menyatakan dalam siaran langsung itu bahawa ada seseorang yang datang ke salon ketika beliau tiada, untuk menghantar sebuah “hadiah mahal.” Marquez yang kelihatan bimbang berkata beliau tidak bercadang untuk menunggu orang itu kembali.

Mexico kini setaraf dengan Paraguay, Uruguay dan Bolivia sebagai negara dengan kadar femisid keempat tertinggi di Amerika Latin dan Caribbean, dengan kadar 1.3 kematian bagi setiap 100,000 wanita pada 2023, menurut data terkini Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Amerika Latin dan Caribbean.

Negeri Jalisco pula berada di tangga keenam daripada 32 negeri di Mexico, termasuk Mexico City, dari segi jumlah pembunuhan, dengan 906 kes direkodkan sejak Presiden Claudia Sheinbaum memulakan pentadbirannya pada Oktober 2024, menurut firma data TResearch. – AGENSI BERITA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg