JAKARTA: Selepas berjaya ‘memimpin’ Encik Gibran Rakabuming Raka mara menyertai Pilihan Raya Presiden, dengan semakan kehakiman yang diberikan oleh Mahkamah Perlembagaan, Encik Almas Tsaqibbirru kini menyaman anak sulung Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo.
Encik Gibran didakwa gagal menunaikan kewajipannya sebagai Datuk Bandar Solo.
Encik Almas sebelum ini pernah menyaman Encik Gibran atas dakwaan yang sama, pada 22 Januari, tetapi hakim menolak saman yang didaftarkannya.
Dalam saman pertama itu, Encik Almas berasa dirugikan oleh Encik Gibran sejumlah 10 juta rupiah ($850).
Dalam saman kedua ini dibenarkan oleh hakim mahkamah Kota Solo, Encik Bambang Aryanto, dan disahkan pada 1 Februari.
Encik Almas mendakwa Encik Gibran “seharusnya menunjukkan niat baik dengan mengucapkan terima kasih kepadanya, yang telah memberi peluang sehingga dapat maju” dalam Pilihan Raya Presiden, kata Encik Bambang, dipetik Kompas.
Encik Almas juga mendakwa bahawa semasa mengemukakan saman, beliau telah mengeluarkan belanja bagi mendapatkan khidmat guaman.
Oleh itu, beliau “meminta pembayaran secara tunai dan segera dalam jangka waktu paling lambat 14 hari”.
Pencalonan Encik Gibran untuk menjadi naib presiden dibolehkan berikutan keputusan Mahkamah Perlembagaan yang menghapuskan syarat umur minimum 40 tahun untuk calon presiden atau naib presiden, dengan syarat mereka dipilih untuk jawatan serantau.
Terdapat klausa bahawa calon presiden atau naib presiden boleh berumur kurang 40 tahun, jika calon berkenaan telah berkhidmat atau sedang berkhidmat sebagai pemimpin wilayah yang dipilih.
Perubahan itu dibuat oleh Encik Almas dengan memfailkan petisyen itu bahawa Encik Gibran layak di bawah klausa itu kerana Encik Gibran telah berkhidmat dengan cemerlang dengan membawa Surakarta mencapai pertumbuhan ekonomi yang ketara sejak memulakan penggalnya sebagai datuk bandar pada 2021.
Encik Gibran dipilih sebagai datuk bandar Surakarta pada 2020.
Ketika diminta mengulas tentang perkembangan terbaru itu, Encik Gibran mengatakan beliau akan mengambil tindakan lanjut mengenai perkara itu, katanya dipetik Kompas, sambil berjalan menuju kenderaannya.
Kemudian ketika disentuh tentang apakah ada perjanjian antara dirinya dengan Encik Almas, Encik Gibran berkata beliau tidak mengetahui hal tersebut.
“Saya tidak tahu,” ujarnya lalu menutup pintu keretanya dan berlalu meninggalkan Balai Kota Solo. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg