MANILA, 14 Mac – Hanya beberapa minit selepas bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, digari dan dibawa menaiki pesawat ke The Hague bagi menghadapi pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan, Presiden semasa, Ferdinand Marcos Jr, tampil menafikan sebarang unsur politik di sebalik penahanan mengejut itu.
“Ini bukan soal politik,” tegas Encik Marcos kepada wartawan. “Kita hanya memenuhi tanggungjawab antarabangsa kita sebagai negara anggota.”
Namun begitu, penahanan Encik Duterte pada 11 Mac, hanya sebulan selepas anak perempuannya yang juga Naib Presiden, Cik Sara Duterte, dipecat melalui proses pemecatan rasmi, jelas mencerminkan betapa kedudukan politik keluarga Duterte kini semakin rapuh.
Menurut Encik Michael Henry Yusingco, felo kanan di Pusat Dasar Awam Ateneo, kedudukan politik keluarga Duterte sememangnya sudah tidak stabil sejak awal.
“Keadaan mereka sudah pun goyah sebelum semua ini berlaku,” katanya, merujuk kepada data awal tinjauan untuk pilihan raya separuh penggal Mei nanti.
Setakat ini, hanya tiga calon dari parti PDP Laban pimpinan Encik Duterte dijangka mampu menawan satu daripada 12 kerusi Senat. Sebaliknya, gabungan pemerintah New Philippines Alliance pimpinan Marcos mempunyai lapan calon yang mendahului saingan.
Senator yang dipilih nanti bakal memainkan peranan penting dalam perbicaraan terhadap Naib Presiden Sara, yang didakwa atas tuduhan rasuah dan konspirasi untuk membunuh bekas rakan gandingannya, Encik Marcos.
“Dengan kuasa penuh Marcos ke atas institusi kerajaan penting, kita tak boleh tolak kemungkinan bahawa ini mungkin penamat kepada dinasti Duterte,” tambah Encik Yusingco, namun mengingatkan bahawa masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan muktamad.
Keretakan hubungan antara keluarga Marcos dan Duterte sudah mula kelihatan seawal kemenangan besar mereka dalam pilihan raya 2022. Ketegangan memuncak apabila Sara tidak diberikan jawatan Menteri Pertahanan yang diidamkannya.
Konflik ini akhirnya meledak ketika proses pemecatan Sara — diketuai oleh Speaker Dewan Rakyat, Encik Martin Romualdez, sepupu Marcos sendiri.
Dalam perbalahan terbuka antara kedua-dua dinasti, Encik Duterte secara terbuka menuduh Encik Marcos penagih dadah, manakala Encik Marcos pula mengkritik keras kempen perang dadah berdarah yang dilaksanakan ketika era Duterte.
“Penahanan ini tidak akan berlaku jika hubungan mereka tidak retak,” kata Dr Jean Franco, pensyarah kanan di Jabatan Sains Politik Universiti Filipina.
Encik Duterte, 79 tahun, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila sejurus pulang dari Hong Kong — dipercayai cuba memanfaatkan sentimen simpati dengan menggambarkan dirinya sebagai mangsa politik.
Namun menurut Encik Richard Heydarian, penganalisis politik, taktik itu memakan diri.
“Pemerintah lebih bijak. Mereka sudah bersedia dan terus menghantarnya ke The Hague tanpa ruang untuk taktik melengah-lengahkannya,” katanya.
Encik Yusingco pula tidak yakin penahanan ini akan mengubah pandangan pengundi.
“Rakyat tidak akan simpati semata-mata kerana beliau ditahan,” ujar Encik Heydarian.
Bagi Dr Franco, masa depan politik keluarga Duterte bergantung kepada satu perkara: karisma Encik Duterte yang sukar ditandingi oleh anak-anaknya.
“Karisma Duterte itu hanya ada pada si bapa. Anak-anaknya tidak mewarisi aura yang sama di mata penyokong tegar,” katanya.
Menggantung harapan kepada Encik Duterte yang kini semakin uzur dan ditahan di The Hague sebagai lambang kebangkitan politik keluarganya adalah satu jangkaan yang sukar untuk direalisasikan. Namun Yusingco mengingatkan:
“Jangan sesekali pandang rendah kemampuan ahli politik seperti Duterte. Dia masih ada penyokong dan rangkaian.”
Walau begitu, bagi Dr Franco, pemecatan Cik Sara mungkin menjadi isyarat sebenar kepada pengakhiran pengaruh keluarga itu.
“Namun dalam politik Filipina, apa-apa pun boleh berlaku. Mereka sentiasa boleh menjenamakan semula diri mereka,” katanya. - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg